suria

Jurugambar hilang sabar tegur bridesmaid 'lebih sudu dari kuah', ganggu kelancaran majlis

BAGAIKAN menjadi kewajipan untuk setiap pengantin mempunyai barisan pengiring atau pengapit (bridesmaid) dalam majlis perkahwinan mereka.

Selain memeriahkan acara dan menjadi pelengkap majlis terutama ketika bersanding, kehadiran pengapit juga banyak membantu melancarkan sesebuah majlis.

Namun yang tidak seronoknya, wujud pula segelintir mereka yang mementingkan diri sendiri sehingga menyusahkan orang sekeliling.

Terbaharu, teguran seorang jurufoto muda terhadap golongan itu menerusi laman Twitter menarik perhatian ramai sehingga menerima lebih 20,000 ulang kicau (Retweet).

Menurut Amirul Aiman Ruslam, 23, ada sesetengah bridesmaid yang tidak memberi laluan kepada keluarga pengantin untuk mengambil gambar terlebih dahulu sewaktu majlis dijalankan.

“Pengalaman ini bukan saya seorang sahaja yang kena, rakan-rakan jurufoto pun turut mengalami benda sama.

“Sepatutnya bagi laluan kepada pihak keluarga dahulu serta saudara-mara dan tetamu lain. Sebaiknya bridesmaid paling last sebab banyak shoot yang nak dibuat dengan mereka.

“Apabila berlaku situasi ini, saya akan ambil juga gambar mereka, lepas tu saya tegur elok-elok suruh turun dulu. Tapi ada juga yang buat muka tak puas hati dan kata saya tunjuk pandai,” ujarnya sewaktu dihubungi mStar Online pada Khamis.

Menurut jurufoto muda yang juga penuntut bidang Usuluddin di Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) kampus Bangi itu, kehadiran bridesmaid  turut menjadi cabaran dan menguji kesabarannya sepanjang empat tahun berkecimpung dalam bidang ini.

Paparan skrin perkongsian Amirul di laman Twitter.

Malah, wujud juga situasi tertentu sehingga ia menambah tugas asal seseorang jurufoto perkahwinan.

“Biasanya ada juga yang hulur telefon masing-masing untuk ambil gambar. Kadang-kadang ada 10 orang, lapan orang yang hulur telefon.

[ Yang menjadikan lagi sakit hati tu, aku ingatkan bridesmaid ni nak ambil gambar banyak-banyak ni, sebab mereka nak balik awal. Rupanya outdoor pun mereka ikut sekali]

[Amirul Aiman Ruslam]

“Biasanya saya layan satu atau dua telefon sahaja. Sebab saya juga harus fokus pada tugas untuk hasilkan gambar pengantin menggunakan kamera saya,” katanya lagi.

Menerusi beberapa siri tweet yang dimuat naik oleh Aiman, dia juga bercerita mengenai tetamu majlis termasuk warga tua bertongkat yang terpaksa menunggu untuk bergambar dengan pengantin gara-gara kehadiran kumpulan pengiring yang tidak peka dengan keadaan sekeliling.

Amirul kini berada di tahun akhir pengajian di KUIS dan sudah empat tahun bekerja sebagai jurufoto secara sambilan.

“Yang menjadikan lagi sakit hati tu, aku ingatkan bridesmaid ni nak ambil gambar banyak-banyak ni, sebab mereka nak balik awal. Rupanya outdoor pun mereka ikut sekali,” tulisnya di Twitter.

Menurut pemuda kelahiran Bachang, Melaka itu, dia menasihati agar kumpulan ini lebih bertimbang rasa dan tidak membuat perkara yang boleh menjejaskan kelancaran majlis.

Dalam pada itu, segelintir netizen turut berkongsi perkara sama menerusi ruangan balas tweet tersebut.

“Selalu dah nampak kes macam ni... Keluarga pengantin pula berbaris macam kat mesin ATM,” tulis @heartless8377.

“Betul, aku pun tak tau apa guna bridesmaid ni, memasing nak melawa je bukan nak tolong apa yang patut,” tulis seorang lagi individu.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain