suria

Mimpi arwah ibu jadi 'wake up call', bekas jurutera akhirnya bangkit cipta nama dalam fotografi

SETIAP insan pastinya pernah berhadapan dengan detik-detik hitam dalam kehidupan masing-masing.

Apa yang membezakan kita tentunya bagaimana seseorang itu kembali bangkit untuk meneruskan perjalanan hidup.

Terbaharu, perkongsian kisah jatuh bangun jurufoto popular, Hishamudin Hashim atau Abeden di Twitter ternyata menarik perhatian ramai.

Siapa sangka, disebalik paparan karya kreatif di laman sosial miliknya, tersembunyi kisah hidup yang perit sehingga menjadikan siapa Abeden pada hari ini.

Mengulas perkongsian itu yang menerima lebih 3,000 ulang kicau (Retweet) sejak dimuat naik pada Ahad, Abeden berkata dia sekadar berkongsi secara suka-suka untuk bercerita mengenai perubahan dirinya.

Abeden menjalankan kelas fotografi hasil permintaan ramai.

“Saya buat bebenang (thread) tersebut untuk berkongsi kisah saya, bermula dengan masalah, mesti ada penyelesaiannya.

“Apabila saya jatuh dulu, saya sedar ada bakat dalam bidang fotografi. Apa yang penting, sebagai manusia kita buat sesuatu mesti ada tujuan,” ujarnya sewaktu dihubungi mStar Online pada Isnin.

Bercerita lanjut, Abeden yang bekerja sebagai jurutera bermula pada 2012 nekad untuk meninggalkan kerjaya itu empat tahun kemudian.

Ujarnya, biarpun menerima gaji sekitar RM6,000 ke RM7,000 sebulan, dia seolah-olah tidak mempunyai tujuan hidup sepanjang empat tahun dalam bidang itu lebih-lebih lagi setelah kematian ibunya, Rahimah Awang Kechik pada 2012.

Ujar Abeden, dia berjinak-jinak dalam bidang fotografi kerana tuntutan kerjanya sebagai jurutera yang memerlukan dia merakam foto-foto projek yang dijalankannya.

“Bila tak ada mak, saya rasa macam tak ada tempat bergantung. Hilang keredaan, tak dapat rasa doa seorang ibu.

“Saya pergi kerja rasa tak ikhlas, tak suka orang sekeliling, sentiasa rasa nak marah, jadi tak berkat sehinggalah saya buat keputusan untuk berhenti dalam tempoh 24 jam.

“Sewaktu menganggur, saya hilang semangat, tak jaga diri, tak jaga makan. Rasa tak berguna, rasa nak tamatkan hidup ini. Saya hilang minat pada semua benda,” luahnya lagi.

Namun, segalanya mula berubah apabila Abeden bermimpi akan arwah ibunya pada satu malam, sekitar Jun 2016.

Antara karya kreatif yang dihasilkan Abeden.

Menurut jejaka berusia 31 tahun itu, arwah ibunya ada berbisik menyampaikan pesanan dalam mimpi itu sehingga dia menangis dan mula memikirkan jalan penyelesaian untuk semua masalah yang membelenggu dirinya.

“Mulut arwah mak tak bergerak tapi saya dengar dia bercakap. Dia tanya mana anak mak yang bagus, kenapa lari, kenapa menyorok?

“Dia juga cakap dia tahu saya bagus dan sentiasa ada untuk saya. Dua minggu saya cari jawapan, baru saya sedar bakat saya dalam bidang fotografi,” jelas Abeden yang menyifatkan mimpi tersebut sebagai 'wake up call' untuk dirinya.

Dia yang berasal dari Gua Musang, Kelantan mengakui mula berjinak-jinak dalam bidang itu kerana tuntutan kerja sebagai jurutera untuk merakam foto-foto bagi laporan projek.

Selain fotografi, Abeden juga seorang usahawan yang menjalankan perniagaan baju.

Bertitik tolak dari situ, dia yang sering berkongsi hasil karyanya di laman sosial meraih peminat tersendiri sehingga menerima banyak permintaan untuk mengadakan kelas fotografi.

Selain kelas fotografi persendirian, Abeden juga pernah dijemput untuk berkongsi pengalaman dan kepakarannya di beberapa institut pengajian tempatan seperti Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Teknologi Malaysia Melaka (UteM) dan Universiti Kuala Lumpur (UniKL).

Bercerita mengenai kebangkitan dari detik gelap dalam hidupnya, Abeden berkata segalanya perlu dimulakan dengan diri sendiri terlebih dahulu.

Paparan skrin thread kisah hidup Abeden yang dimuat naik ke laman Twitter.

“Saya mula dengan memperbaiki diri sendiri, jaga makan dan jaga kesihatan. Saya juga berjaya kurangkan sekitar 18 ke 20 kilogram dalam tiga bulan.

“Saya juga ada bersenam, bina badan dan orang mula perasan perubahan saya. Bila terima pujian semangat pun datang, pengikut di laman sosial pun bagi energy yang positif, minta saya share tip dan sebagainya.

“Kita sebenarnya lagi kuat dari apa yang kita sangka. Jangan pernah salahkan diri sendiri. Tuhan dah cipta semua orang dengan kelebihan masing-masing, tinggal kena cari sendiri sahaja,” kata Abeden lagi.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain