suria

Tudung tak sama warna rambut, Sailor Moon muslimah dikritik tak buat kaji selidik

GARA-gara memakai tudung putih yang dianggap tidak mengikut warna asal rambut karakter Sailor Moon, seorang gadis yang pertama kali mencuba aktiviti cosplay teruk dikecam komuniti tersebut.

Menurut Nureen Batrisyia Mohd Nizam, 17, dia serik dengan kejadian itu dan enggan lagi turut serta dalam aktiviti berkaitan dengannya pada masa akan datang.

"Sebenarnya ada satu acara yang bertemakan cosplay dan anime, saya pilih watak Sailor Moon sebab saya rasa ia agak terkenal dan kostumnya juga senang untuk dicari.

"Apabila saya post gambar tu ke Instagram, saya teruk dikecam komuniti cosplayer sebab rambut Sailor Moon warna kuning, saya pula pakai tudung putih.

"Saya memang tak ada pengetahuan pasal anime, mereka kata kalau berhijab, kena pakai warna kuning bagi sama dengan rambut karakter itu.

"Mereka fanatik dengan hobi mereka, ada sesetengah yang bagi komen kasar, memang saya terasa hati dan sedih," ujar Nureen sewaktu dihubungi mStar Online.

Menurut gadis yang menetap di Bandar Sri Damansara itu, dia membeli kostum berkenaan dengan harga RM180 di sebuah pusat beli belah, di ibu kota baru-baru ini.

Antara komen yang diterima di Instagram milik gadis itu.

Mengulas komen segelintir individu yang menuduh dia tidak membuat sebarang kajian mengenai karakter itu, Nureen mengakui tidak pernah menonton siri Sailor Moon sebelum ini.

"Saya tak pernah tengok pun cerita Sailor Moon, saya pun tak suka anime. Saya pakai ni sebab nak ikut tema acara sahaja, rasa pelik pula kalau nak sertai tapi tak pakai pakaian macam ni.

"Lagi kelakar, ada yang kecam saya selepas itu mereka hantar mesej (DM) supaya sertai acara cosplay.

"Dah kecam selepas itu ajak masuk pertandingan pula. Saya memang serik. Ini merupakan kali pertama dan terakhir saya pakai macam ni," ujarnya lagi.

Dalam pada itu, perkongsian foto Nureen di laman Instagram yang menggayakan pakaian Sailor Moon itu turut dihujani pelbagai komen.

Ada yang mempertikai, tak kurang juga yang mempertahankan gadis itu.

Sailor Moon merupakan anime dari Jepun yang pernah popular suatu ketika dahulu. Ia turut digilai ramai di Malaysia.

"Saya sebagai cosplayer ni pun kalau cosplay salah memang orang akan kecam. Ini perkara benar dalam komuniti cosplay. Sebab itu kita orang beritahu, lepas ni kalau nak cosplay boleh. Buat sedikit kaji selidik mengenai karakter itu," tulis seorang individu.

"Sailor Moon? Ini memalukan, langsung tak nampak macam dia. Kalau nak cosplay, sekurang-kurangnya buat kajian dulu," tulis seorang lagi pelayar Instagram.

Segelintir individu lain bagaimanapun mempertahankan gadis itu sambil meminta komuniti cosplay supaya bertenang dan tidak mengambil serius isu berkenaan.

"You guys yang cosplayer ni kan. Benda macam ni tak ada apa nak digaduhkan pun. Benda remeh, cuba gaduhkan pasal benda lain," tulis seorang lagi individu.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain