TUKANG masak terkenal, Chef Wan, menyelar tindakan jutawan kosmetik, Amin Abdullah yang menggunakan bahasa kurang sopan ketika membuat review makanan di sebuah restoran di Melaka baru-baru ini sebagai perbuatan kurang ajar. Chef Wan atau nama sebenarnya Datuk Redzuawan Ismail, 62, berkata meskipun setiap individu mempunyai hak untuk mengkritik namun ia harus dilakukan secara berhemah, lebih-lebih lagi apabila orang Melayu dan Islam dikenali dengan ketinggian moralnya. "Saya pun macam orang lain, pernah makan dan kecewa dengan rasa masakan itu tapi untuk merendahkan mereka dengan caci hamun adalah kurang ajar. Senang cakap, itu bukan style orang Melayu kita. "Dan bukan pula tak boleh komplen... sebaiknya tegurlah secara berhemah. "Kita tak boleh nak jadi terlalu sombong, angkuh dan rasa berkuasa. Untuk apa menyakitkan hati orang,” katanya ketika dihubungi mStar Online, Selasa. Chef Wan pernah menjalani penggambaran masakan di luar negara seperti Brazil, Argentina dan Chile. Chef Wan berkata, meskipun sudah bergelar profesional dan berada lebih 30 tahun dalam dunia penyediaan makanan, dia sendiri tidak berani menggunakan bahasa-bahasa kesat untuk mengkritik masakan mana-mana tukang masak. "Orang yang nak buat review makanan ni pun kena tengok juga... sebab bukan semua mereka ada cita rasa yang baik dan suka-suka nak buka mulut lebih-lebih lagipun mereka ni bukan orang yang tau pasal masak pun. "Kita yang dah bertahun-tahun masak dah profesional dalam bidang ni pun tak berani nak guna bahasa-bahasa kasar. "Nak buat food review ni sepatutnya dilakukan seseorang yang dah ada pengalaman untuk menegur. Kau komen lebih-lebih, ibarat letak pasir dalam periuk nasi orang pun tak bagus. Kan rezeki orang tu," katanya yang sedang sibuk menjalani penggambaran Rasa Nostalgia Ramadan yang bakal ditayangkan bulan puasa nanti. ARTIKEL BERKAITAN: Makan licin, 'food review' kasar... Anak pemilik restoran gesa 'doktor' usahawan kosmetik mohon maaf ARTIKEL BERKAITAN: “Ahli politik pun kena kritik” - Jutawan kosmetik akan terus buat 'food review' telus, enggan mohon maaf Dalam pada itu, Chef Wan berkata, sebaiknya jutawan kosmetik berkenaan memberi idea menambah baik resepi daripada memberi kritikan kurang sopan yang bersifat menjatuhkan. "Sekali pun nak komen jangan sampai terzahir bahasa, sikap dan peradaban yang buruk dalam diri. Kita orang Melayu ni ada adab. "Kita nak buat baik, kita pergi mengajar, pergi sedekah buku resipi dekat tempat-tempat yang masakannya tak sedap daripada setakat nak maki hamun orang. "Beri mereka resepi. Itu cara saya. Percayalah, kebanyakan mereka akan gembira sekiranya resipi yang diberi itu membuatkan pelanggan mereka lebih ramai datang makan,” katanya. Chef Fazley Yaakob berpendapat sesiapa sahaja perlu lebih sensitif dalam membuat ulasan. Turut senada dengan Chef Wan adalah penyanyi dan chef selebriti Datuk Fazley Yaakob, 40, yang berpendapat jutawan kosmetik berkenaan seharusnya lebih peka dalam memberi ulasan agar ia lebih diterima masyarakat tempatan. "Food review adalah sesuatu yang kita perlu buat secara berhemah. Satu benda yang kita kena akur, rakyat Malaysia penuh dengan sopan santun dan sikap merendah diri dalam apa juga perkara. Apatah lagi seseorang itu dianggap profesional dalam bidang mereka. "Kalau dibandingkan dengan program masakan oversea, memang ada skrip-skrip yang memerlukan kita memberi kritikan negatif, tetapi budaya tempatan kita berbeza. Apatah lagi apabila kita memikirkan rezeki sesebuah kedai tu. "Mengkritik dengan perkataan yang kurang manis, bayangkan anak-anak yang membaca, orang lain yang baca, ia melambangkan cara masyarakat itu dididik," katanya. Jutawan kosmetik dengan gelaran 'doktor' didakwa mengeluarkan kenyataan kurang sopan di laman Facebooknya selepas makan di sebuah restoran di Melaka. Bagaimanapun, Fazley berkata, kritikan yang diberikan itu seharusnya diambil sebagai semangat untuk menjadi lebih baik. "Saya kenal dengan ramai pekerja makanan antarabangsa dan lokal malah mereka juga berpendapat tidak perlu mengkritik sehingga menjatuhkan air muka seseorang. "Kritikan yang pedas itu adalah lazim. Jadi kita harus bersikap terbuka. "Jangan kita mudah putus asa bila ada orang membenci. Orang yang mengkritik ni kita anggap satu pengajaran. Tapi untuk orang yang mengkritik sampai membenci, kita anggap satu pintu tertutup, 10 pintu lain terbuka," katanya yang terbuka untuk merasai makanan di restoran terbabit. Perkongsian Faris mendapat pelbagai reaksi netizen yang berang dengan sikap biadab jutawan kosmetik berkenaan. mStar Online sebelum ini melaporkan mengenai sikap seorang jutawan kosmetik menggunakan bahasa kurang sopan ketika membuat ulasan makanan di sebuah restoran ikan bakar di Melaka. Tindakannya itu kemudian mengundang kemarahan netizen di media sosial sebaik anak pemilik restoran berkongsi mengenai insiden itu menerusi bebenang di laman Twitter miliknya. Jutawan kosmetik, Amin Abdullah bagaimanapun tampil menyangkal dakwaan dia bersikap biadab sebaliknya menganggap ia kritikan bersifat telus, tidak berat sebelah atau menjaga hati mana-mana pihak.