suria

"Masalah rumah tangga? Netizen ni macam duduk serumah dengan Acap"

Mohd Zahiruddin menafikan dakwaan rumah tangga Acap bermasalah.

MOHD Zahiruddin, abang kepada peserta larian Gopeng Ultra Trail (GUT) 2019, Mohamad Ashraf Hasan kesal dengan dakwaan segelintir pihak yang mendakwa misteri kehilangan pemuda itu ada kaitan dengan masalah rumah tangganya.

Malah anak kedua daripada enam beradik itu menafikan bahawa Mohd Ashraf atau lebih dikenali sebagai Acap ada masalah dengan isterinya yang dikenali sebagai Hamiza.

"Tak adalah. Mereka ok sahaja. Tak ada masalah keluarga pun. Saya nampak mereka bahagia.

"Netizen ni pandai-pandai je. Mereka kata begitu seolah-olah mereka duduk serumah dengan Ashraf," katanya ketika dihubungi mStar Online pada Jumaat.

ARTIKEL BERKAITAN: Orang Asli hampa hanya jumpa harimau... akui 'kes Acap berbeza'

ARTIKEL BERKAITAN: Kecoh Acap tiada di Gopeng... "Kalau betul nampak dia di Johor, tolong jumpa saya" - Abang

Sejak kehilangan Acap, netizen tertanya-tanya mengenai status pemuda itu dan isterinya kerana Hamiza jarang dilihat bersama keluarga suaminya sepanjang misi mencari dan menyelamat (SAR).

Situasi itu menyebabkan timbul spekulasi bahawa rumah tangga mereka sedang bergolak sehingga mendorong kepada misteri kehilangan Acap.

Acap masih belum ditemui sejak hilang 23 Mac lalu.

Bagaimanapun Mohd Zahiruddin memberitahu isteri Acap ada menyertai pencarian suaminya tetapi perlu pulang ke Kuala Lumpur untuk menjaga anak mereka yang masih kecil.

"Dia ada pergi tapi tak adalah terlalu jauh ke dalam hutan sebab dia ada anak kecil lagi.

"Kalau saya jadi dia pun better saya jaga anaklah kan. Lagipun anak mereka masih kecil, baru berusia setahun setengah," katanya.

Malah terdapat spekulasi yang mendakwa Hamiza sedang sarat mengandung.

Netizen ni pandai-pandai je. Mereka kata begitu seolah-olah mereka duduk serumah dengan Ashraf.

Mohd Zahiruddin Hasan.

Namun perkara itu dinafikan salah seorang ahli keluarga Acap yang enggan identitinya didedahkan.

"Tak mengandung tapi mereka ada seorang anak yang masih kecil," katanya ringkas.

Dalam pada itu, Mohd Zahiruddin tetap yakin adiknya itu akan kembali bersama keluarga di Muar, Johor.

Hamiza dan Acap dikurniakan seorang anak perempuan yang dikenali sebagai Ecah.

"Naluri saya kuat mengatakan kami akan jumpa balik dengan dia. Dia akan pulang ke pangkuan keluarga.

"Cuma saya tak tahu bila ia akan berlaku tapi saya pasti dia akan balik," katanya.

Diminta mengulas mengenai dakwaan pemuda yang pernah hilang di Bukit Broga, dua tahun lalu, Mohd Azarul Mukhriz Abd Rahman yang mendakwa tidak merasai kehadiran Acap di Gopeng, Mohd Zahiruddin berkata setiap individu berhak untuk menyuarakan pandangan masing-masing.

"Itu pandangan dia... apa yang dia rasa, apa yang dia nampak. Jadi dia ada hak nak mengeluarkan sebarang kenyataan.

"Cuma kita nak sahkan pandangan dia sebagai satu info yang kukuh agak susah kerana kita pun tak nampak. Kita nak buat andaian pun sukar kerana kita sendiri tak tahu apa sebenarnya yang berlaku," katanya.

Acap amat menggemari aktiviti outdoor.

Hari ini genap 20 hari kehilangan Acap dan ia terus menjadi tanda tanya orang ramai.

Pelbagai usaha dilakukan pasukan beruniform, sukarelawan, perawat kerohanian dan kumpulan ustaz bagi mengesan pemuda itu tetapi tiada sebarang petunjuk baharu ditemui setakat ini.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain