suria

“Cepat dia jalan” - Siapa nenek jalan bongkok tepi air terjun? Ibu tiba-tiba pengsan

Kelibat wanita dalam bulatan merah dikatakan sebagai nenek kebayan dalam rakaman tular dipercayai di Lata Ulu Kenas, Kuala Kangsar, Perak.

LEWAT kebelakangan ini kita banyak dihidangkan dengan cerita berunsurkan mistik khususnya yang dikaitkan dengan kes kehilangan peserta Gopeng Ultra Trail (GUT) 2019, Mohamad Ashraf Hasan.

Kisah terbaharu, ia tidak lagi melibatkan pemuda yang dikenali sebagai Acap itu sebaliknya tular pula satu video penampakan, kononnya nenek kebayan di sebuah kawasan rekreasi, dipercayai di Lata Ulu Kenas, Kuala Kangsar, Perak.

Dimuat naik menerusi Facebook Aizul Sa'ari Ahmad Serbawi pada Khamis lalu, video berdurasi satu minit 52 saat itu memaparkan tiga kanak-kanak sedang bermain di lokasi tersebut.

ARTIKEL BERKAITAN: Kecoh! Hantu Raya Kampung Gajah cari tuan ketuk pintu rumah... Nama Pak Jago dah busuk

ARTIKEL BERKAITAN: Rakaman suara wanita menangis belum cukup seram... Lelaki ini dedah kisah cekik diri sendiri, mata terjegil

Dalam rakaman sama, kelihatan kelibat seorang wanita dalam keadaan bongkok sedang berjalan di atas batu di bahagian seberang jeram itu.

Namun, kehadiran wanita yang disifatkan netizen sebagai nenek kebayan itu menjadi misteri apabila dia mampu beralih ke jarak yang agak jauh ke hadapan dalam masa yang singkat.

Paparan skrin oleh seorang individu di Twitter bagi membuktikan kehadiran entiti misteri itu.

Segelintir netizen turut membuat paparan skrin (screenshot) kedudukan pergerakan wanita itu, sekali gus menguatkan lagi dakwaan bahawa wujudnya misteri dalam video tersebut.

Malah, individu yang merakam video, dipercayai ibu kepada tiga kanak-kanak berkenaan dikatakan pengsan di penghujung video itu.

Selain mencetuskan rasa takut dalam kalangan netizen yang menonton, sebilangan individu turut meluahkan rasa geram terhadap tiga kanak-kanak itu yang enggan berhenti bermain dan naik ke tebing biarpun sudah dipanggil oleh ibu mereka.

Dalam pada itu, perkongsian video berkenaan turut menerima maklum balas yang berbeza dalam kalangan netizen.

Malah, ada individu yang turut mempersoalkan kesahihan video tersebut.

"Ni rekaan, antara saat 36 ke 38 klip video telah dipotong sambung. Perhatikan je video dan audio pada saat tersebut. Saya tau sebab pernah kerja editor video," tulis Serena Lee di ruangan komen.

"Mak dia pengsan tu last sekali. Dengar suara anak dia cakap ayah mak pengsan ayah mak pengsan," tulis Farid Aidid.

"Cepat dia jalan. Dari batu sebelah kiri ke kanan. Cuma ambik masa lebih kurang 30 saat. Seriau," tulis seorang lagi individu.

"Geram pulak aku kat budak tu ,dah panggil balik, saja buat keras, bermain lagi," tulis Azrol Ilham.

Sehingga kini, pemilik video mahupun individu dalam rakaman tersebut belum tampil membuat sebarang kenyataan mengenai insiden itu.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain