suria

Sama-sama hidap kanser, hubungan pasangan kekasih tak goyah, “Kami selalu berjanji... kena kuat dan lawan apa saja”

Egy (kiri) bersama Izham menjalani rawatan di hospital. Foto kredit: Egy Instagram

MANUSIA hanya merancang, selebihnya hanya Dia yang menentukan perjalanan hidup dan mati kita.

Seperti sudah jatuh ditimpa tangga, penghidap kanser Limfoma Hodgkin Klasik berusia 27 tahun, Azira Baharum reda dengan catatan perjalanan hidupnya setakat ini.

Selepas didiagnosis kanser tahap 3, Azira atau lebih mesra dipanggil Egy tetap tabah apabila mendapat tahu teman lelakinya, Mohamad Izham Abdul K, 31, kembali berdepan dengan penyakit yang sama.

ARTIKEL BERKAITAN: "Saya rasa teruk terima duit derma" - Gadis hidap kanser limfoma rayu bantuan, beli 'naskhah cinta'

ARTIKEL BERKAITAN“Saya terpaksa pakai tuala wanita, pampers” - Tiga tahun latihan, lelaki ini reda tak dapat pentauliahan

"Sebelum sakit kami memang merancang untuk berkahwin tahun ini. Namun semuanya hanya sekadar perancangan memandangkan kami berdua kini berjuang dengan penyakit yang sama.

"Sebenarnya kami berkenalan melalui keluarga dan hubungan saya dengan Izham semakin rapat selepas disahkan mengalami penyakit ini.

Izham dan Egy sentiasa positif berjuang dengan penyakit kanser ini.

"Memandangkan Izham pernah mengalami penyakit ini dan pulih sejak tiga tahun lalu, dia banyak membantu saya.

"Dia juga didiagnosis menghidap kanser tahap 3 pada usia 26 tahun (2014), sama umur dengan saya ketika didianogsis tahun lalu," ceritanya kepada mStar.

Bagaimanapun, menurut Egy, berita Izham 'bersih' daripada penyakit ini hanya sementara sahaja.

"Pada Disember tahun lalu, dia mengalami batuk berpanjangan dan doktor memutuskan supaya dia jalani rawatan dan imbasan mendapati tumor itu masih aktif.

"Saya terima berita ini dengan hati terbuka, tiada penyesalan atau putus asa.

Azira atau lebih mesti dipanggil Egy berjanji akan terus berjuang berdepan dengan kanser Limfoma Hodgkin Klasik.

"Anggap semua yang berlaku ada hikmahnya. Tuhan tidak dengan sengaja duga kita.

"Melihat Izham ada bersama telah mempermudahkan urusan saya dalam membuat rawatan kerana dia tahu dan pernah melaluinya sendiri," jelas gadis kelahiran Seremban ini.

Bercerita mengenai keadaan semasanya, Egy memberitahu, dia kini berulang-alik menjalani rawatan kimoterapi.

"Doktor beritahu saya perlu menjalani empat 'cycle' kimoterapi. Izham pula dalam proses untuk mulakan rawatan dan sedikit lambat kerana ubat-ubatan yang digunakan agak mahal.

"Walaupun kami berdua mempunyai masalah kesihatan, tapi tak rasa susah kerana masing-masing sentiasa untuk satu sama lain.

Izham kini dalam proses jalani rawatan dan memerlukan sumbangan untuk biayai kos ubatan yang tinggi.

"Dari awal berkenalan memang dah faham tentang keadaan masing masing, malahan kami jadi lebih memahami tentang kemahuan dan keperluan masing masing.

"Dugaan macam ni, buat hubungan kami semakin kuat. Kami selalu berjanji, kena sihat untuk 'keep on' ada antara satu sama lain. Kena kuat dan lawan apa saja.

"Malah paling penting bagi kami untuk terus kuat adalah sokongan semua orang, terutama keluarga dan tambah mengharukan apabila semua saudara mara menyenangi hubungan kami ini.

"Izham dan saya selalu berangan untuk memberi kesan postif pada orang keliling memandangkan kita selalu dengar yang negatif saja mengenai penyakit kanser," jelasnya tetap tersenyum biarpun dalam kesakitan selepas menjalani rawatan kimoterapi.

Dalam pada itu, tabung dana dilancarkan untuk Izham bagi mengumpul jumlah untuk rawatan lebih kurang RM350,000.

"Pada mulanya tabung dilancarkan untuk membantu Izham sahaja tapi memandang saya juga memerlukan sumbangan, ada kawan yang buat keputusan untuk kutip derma buat saya juga.

"Saya nak sihat, saya mahu dia juga sihat supaya kami berdua dapat hidup seperti pasangan lain, berkahwin dan berbahagia.

"Tapi jika sebaliknya, saya dan Izham tetap bersyukur serta reda," jelas anak bogsu daripada lima adik beradik ini.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!
Egy, Izham, Limfoma Hogkin Klasik

Artikel Lain