SELEPAS dikecam netizen gara-gara merotan anak perempuannya kerana membuka tudung, usahawan kosmetik Datuk Aliff Syukri tampil mempertahankan tindakannya itu. Dalam video berdurasi 57 saat yang dimuat naik di Instagram, Aliff Syukri meminta orang ramai supaya berhenti mengecamnya. "Habis kau nak tengok anak aku apa, bila dah seksi dah telanjang baru kamu semua nak kata aku kurang didik anak aku. "Apa masalahnya ini anak saya... pandai saya jaga anak saya, tak payah sibuk nak mengutuk, tak payah nak sibuk menghina anak saya," katanya dalam video tersebut. ARTIKEL BERKAITAN: "Rajin upload dalam media sosial akhirnya makan diri Aliff Syukri" ARTIKEL BERKAITAN: Aliff Syukri 'tinggal' anak ajar hidup susah Malah Aliff Syukri berkata dia bertindak demikian atas sebab tertentu. "Saya ni memanglah mulut laser, kuat membebel tapi saya ni tak bodoh tau sayang anak saya sendiri. Saya buat mesti ada sebab. Jaga anak perempuan zaman sekarang kena lebih takut tengok keadaan semasa. Aliff Syukri bersama isteri dan juga anak-anaknya. Foto Instagram Aliff Syukri "Dalam mendidik anak saya ada cara saya. Kadang-kadang peliklah orang yang sibuk cara kita didik anak. Saya ni dahlah jahil, jahat... bukan orang baik, sekolah pun bodoh... takkan saya nak anak saya ikut perangai buruk saya. Saya nak anak yang terbaik," katanya. Dalam pada itu Aliff Syukri turut mendedahkan perangai ibunya yang dianggap jauh lebih garang daripadanya. "Kalaulah kamu semua nak tahu mak saya jauh lebih garang. Dulu mak saya ni pukul dengan getah paip, pijak, lempang, semua cukup pakej. Sebab tu saya jadi sampai hari ni menghargai erti kehidupan. "Orang dulu-dulu ni memang didik anak ada cara mereka. Saya pilih didik anak cara lama... yang nak ikut zaman terpulanglah sebab esok-esok kalau anak saya tak elok saya juga yang dipersalahkan," katanya. Dalam video itu, anak perempuan Aliff Syukri, Qadejah El Zahra, 9, turut memberitahu bapanya itu merotannya kerana bersebab. "Tak... abah pukul adik sebab ada 'reason' (alasan)," katanya menjawab pertanyaan Aliff Syukri mengenai dakwaan orang ramai yang mendakwa dia mendera anaknya itu. Aliff Syukri dikecam selepas merotan anak perempuannya baru-baru ini. Sementara itu, isterinya, Datin Seri Nur Shahida Mohd Rashid menjelaskan sikap sebenar Qadejah selepas perbuatan suaminya dikecam netizen. "Dia (Qadejah) memang 'penyedih'. Kadang-kadang kita kata dengan dia kalau nanti mama mati, dia duduk rumah dia menangis. Dia memang 'penyedih'... dia sensitif," katanya. Pada Selasa sebuah badan bukan kerajaan (NGO) membuat laporan polis ke atas Aliff Syukri kerana perbuatannya merotan anak perempuannya berusia sembilan tahun itu dianggap sebagai penderaan fizikal. Laporan itu oleh Protect and Save The Children (P.S. The Children), ahli Gabungan Hak Kanak-Kanak Malaysia (CRCM) di Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya. CRCM dalam satu kenyataan pada Selasa berkata mereka amat terkesan dengan perbuatan Aliff Syukri. Malah CRCM menggesa polis dan Jabatan Kebajikan Masyarakat untuk mengambil tindakan segera dan menyeluruh terhadap insiden itu.