suria

Selekeh, tak berduit... tapi disayangi kucing, anjing jalanan, “Kalau hujan sanggup tunggu walau basah kuyup”

Pemuda yang bermurah hati memberi makanan kepada kucing dan anjing jalanan setiap hari. Foto ihsan Azman Ali

GAYANYA nampak biasa-biasa saja dengan pakaiannya yang cukup sederhana, jika berselisih dengan pemuda ini mungkin tiada siapa yang ambil peduli.

Namun, dia bukan orang biasa apabila sering dikerumuni sekumpulan kucing dan anjing liar yang menunggunya untuk mendapatkan makanan.

“Kerja jaga parkir kereta di pekan Bukit Mertajam, Pulau Pinang. Separuh atau lebih gajinya dihabiskan untuk membeli makanan kepada kucing dan anjing liar di daerah ini.

“Mulianya hati hang walaupun imej nampak biasa-biasa tapi hati siapa yang tahu. Siapa yang tinggal di kawasan Bukit Mertajam pasti akan terserempak dengan budak ni di lorong-lorong kedai atau bawah jambatan,” kata Azman Ali menerusi perkongsian tularnya ini di laman sosial Facebook pada Khamis.

ARTIKEL BERKAITAN: Tiga ekor kucing selamat berkhatan... Tuan buat pulut kuning dan majlis kesyukuran

ARTIKEL BERKAITAN: “Tuhan lebih sayangkan Comel, saya terharu masih ada rakyat Malaysia yang prihatin”

ARTIKEL BERKAITAN: Penderitaan Masai sentuh hati, pengusaha pusat perlindungan cekal pertahan syurga si bulus

Seorang pemuda sanggup menghabiskan separuh atau lebih gajinya untuk membeli makanan buat kucing dan anjing jalanan.

Azman, 45, berkata, perkongsian tersebut dibuat susulan perbualannya bersama pemuda Melayu bernama Anfalazie dua hari lalu, ketika itu pemuda berkenaan sedang memberikan makanan kepada kucing dan anjing jalanan.

Namun dia yang bertugas di Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) memberitahu dia sebenarnya pertama kali terlihat pemuda berkenaan semasa bertugas di sekitar Bukit Mertajam, pada 2017.

“Dia dulu berambut panjang, pakai baju lusuh dengan seluar pun koyak. Sekali pandang, dia memang nampak selekeh. Tapi apa yang dia buat ternyata berbeza.

“Setiap kali terjumpa, dia biasanya sedang memberi makanan kepada kucing-kucing jalanan, termasuk anjing-anjing liar. Sekarang dia tidak lagi berambut panjang tapi gayanya masih sama begitu sederhana,” katanya kepada mStar.

Tanpa rasa gentar, pemuda ni dikerumuni sekumpulan anjing liar.

Azman berkata, pemuda berusia awal 20an itu seorang yang pemalu tetapi berkongsi minatnya terhadap kucing, malah membela kira-kira 30 ekor kucing di rumah.

Walaupun membela banyak kucing, ia bukan penghalang bagi pemuda itu untuk berkongsi kasihnya kepada haiwan-haiwan di jalanan.

Saya pernah tanya kalau cuti macam mana? Dia cakap dia tak akan pergi ke mana-mana atau bercuti sebab nak beri makan kerana dia sangat sayangkan haiwan-haiwan tu. Kalau dia tak datang, nanti tak ada makanan.

AZMAN ALI

Menurut Azman, pemuda yang berasal dari Seberang Perai, Pulau Pinang itu sering dilihat memberi makanan dua kali setiap hari iaitu pagi dan petang di beberapa lokasi.

“Saya pernah tanya kalau cuti macam mana? Dia cakap dia tak akan pergi ke mana-mana atau bercuti sebab nak beri makan kerana dia sangat sayangkan haiwan-haiwan tu. Kalau dia tak datang, nanti tak ada makanan.

“Kalau hari hujan, dia tetap datang seperti biasa. Kucing dan anjing akan tetap setia menunggunya walaupun dalam keadaan basah kuyup,” ujar bapa dua anak ini yang juga pencinta kucing.

Pemuda yang dulunya berambut panjang sanggup berhenti di tepi jalan untuk memberi makanan kepada kucing.

Azman berkata, dia difahamkan pemuda tersebut memperoleh gaji hanya RM35 sehari selain turut mengambil upah sebagai pekerja pembersihan.

“Dengan gaji yang sikit tu, dia mampu untuk membeli makanan buat kucing dan anjing. Dia beli ikan dan ayam mentah di pasar berdekatan dan difahamkan dia berhutang dulu dan bayar sikit-sikit. 

“Bayangkan setiap hari dia pergi antara tujuh dan 10 lokasi macam buat pusingan sejauh lima kilometer hanya untuk beri makan kepada kucing dan anjing,” katanya.

Keperibadian pemuda itu begitu dikagumi sehingga Azman amat bersimpati dengan lelaki bujang itu yang menunggang motosikal yang agak uzur.

“Kesian tengok motornya, tapi dia kata selagi boleh jalan dah kira ok. Katanya, dia sanggup lebihkan kucing termasuk anjing dari dia dan motornya sendiri. 

“Alahai, sedih dengar. Sekarang ni ada lagi ke anak bujang macam tu? Bagi saya, dia seorang pemuda yang bukan biasa-biasa,” katanya.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!
kucing, anjing, makanan, jalanan

Artikel Lain