suria

Lelaki lempang pemandu wanita dibebaskan, “Cukuplah empat malam dalam lokap, pengajaran kepada semua”

"TAK pernah terfikir masuk lokap, cukuplah empat malam. Semua yang berlaku ada pengajaran tersendiri," ujar lelaki yang tindakannya menampar seorang pemandu wanita gara-gara tidak memberi 'signal' Rabu lalu, tular.

Mohd Syukrey Adin, 37, berkongsi pengalamannya bersama mStar selepas insiden tersebut yang berlaku di Jalan Dato' Keramat, Kuala Lumpur, sekali gus menyebabkan dia terpaksa ditahan di lokap selama empat hari.

Menurut Mohd Syukrey, tidak pernah terlintas di fikirannya untuk bermalam di tilam simen itu, tetapi sedar apa yang berlalu ada hikmah tersendiri.

ARTIKEL BERKAITAN: “Kaulah bodoh, kaulah gila” punca wanita makan penumbuk? Isteri kongsi versi penuh kisah suami tumbuk pemandu tak bagi 'signal'

ARTIKEL BERKAITAN : Isteri dedah suami trauma kemalangan dua tahun lalu, "Tu dia naik angin... kami minta maaf"

Dia disiasat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat sehingga menyebabkan kerosakan harta benda dan Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan.

"Semua sudah tahu punca kenapa saya memukul wanita itu dan saya sudah pun menerima hukumannya dengan dua kesalahan.

"Memang perit tetapi dalam masa sama saya berpuas hati kerana saya percaya apa yang berlaku dapat memberikan pengajaran kepada semua," ujarnya.

Mohd Syukrey mencium dahi isterinya Faridah Mohd Yatim selepas dibebaskan dari lokap pada Isnin.

Mengimbas kembali insiden tular itu, Mohd Syukrey sedar situasi seperti itu tidak akan berlaku jika semua pengguna jalan raya mengambil langkah berjaga-jaga dan bertanggungjawab terhadap pemanduan masing-masing.

Saya manusia, ada perasaan tapi saya takkan suka-suka pukul orang lain. Tetapi itulah, bila keadaan tak terkawal, saya terus bertindak macam tu.

MOHD SYUKREY ADIN

Dia juga mengaku marah jika melihat mana-mana pemandu bercakap telefon semasa memandu kerana ia boleh membahayakan nyawa orang lain, terutamanya penunggang motosikal.

"Tetapi dalam insiden hari tu, saya pula dimarahinya. Mungkin kalau dia angkat tangan atau minta maaf benda ni takkan jadi.

"Saya manusia, ada perasaan tapi saya takkan suka-suka pukul orang lain. Tetapi itulah, bila keadaan tak terkawal, saya terus bertindak macam tu.

"Dalam video nampak seperti saya tumbuk, tapi sebenarnya saya hanya tolak muka dia," katanya sambil mengakui perlu lebih bijak mengawal kemarahan selepas ini.

Ketika dalam tahanan polis, Mohd Syukrey berkata dia telah mengaku semua kesalahannya.

"Saya memang mengaku salah dengan apa yang telah saya buat. Alhamdullilah semuanya berjalan lancar. Saya dikenakan denda dan dibebaskan pada Isnin.

"Saya harap pemandu-pemandu kenderaan lain supaya lebih bertanggungjawab. Nyawa kami penunggang motosikal ni terletak di tangan anda.

"Saya dah banyak kali berdepan dengan situasi pemandu macam tu, harap insiden seperti ini tidak berlaku lagi," katanya yang kembali memulakan tugasnya sebagai chef pada Rabu.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!
Syukrey, pukul wanita

Artikel Lain

Tragis! Ibu maut disengat tebuan