SEMPENA kedatangan bulan Ramadan dan Syawal yang mulia ini, pelbagai cara digunakan untuk melariskan jualan termasuk produk makanan seperti kek lapis Sarawak. Perkongsian seorang peniaga di laman sosial mendapat perhatian apabila nama beberapa selebriti tanah air digunakan untuk 'memancing' pelanggan. Menerusi akaun Twitter @ibuempire, nama selebriti terkenal Neelofa turut digunakan untuk kek lapis Sarawak yang dijualnya sehingga ia turut mendapat perhatian pelakon dan pengacara itu. “Di kek lapiskannya kita ye? Semoga rezeki dimurahkan sepanjang Ramadan ini,” menurut Neelofa di akaun Twitter miliknya pada malam Isnin sehingga menjadi tular. ARTIKEL BERKAITAN: Yuna terliur selepas fesyennya jadi 'modal' sembang kek lapis, peniaga tak tolak rezeki ARTIKEL BERKAITAN: Neelofa Kekal Ikon Wanita Antara senarai kek lapis yang dijual termasuk kek lapis Neelofas. Foto Twitter ibuempire Perkongsian itu bukan sahaja diulang kicau lebih 1,700 kali sejak ia mengundang pelbagai reaksi netizen, tetapi ramai juga yang mahu mendapatkan kek tersebut. “Nanti bila ada orang nak tempah ‘Neelofa satu’,” kata seorang pengguna Twitter, @aliep_M. “Bagus Kak Lofa ni. Tak marah atau pun saman orang ni kat mahkamah ke apa ke sebab guna nama. Dan awak doakan dia dimurahkan rezeki pula. Sungguh baik,” ujar @syamimsalleh. “Hahaha lepas tu nanti kalau dah beli tu mesti orang tanya ‘sedap tak Neelofa tu?’ Janggal bunyi dia,” kata @zafffiiiirah24 secara berseloroh. Perkongsian Neelofa di Twitter miliknya mengenai kek lapis menggunakan namanya menjadi tular. Kek lapis Neelofa yang tular itu merupakan antara 40 hingga 50 jenis kek lapis Sarawak yang dijual oleh pasangan suami isteri di Batu Caves, Selangor. Peniaga berkenaan, Muhammad Sharizzul Sani Mohd Sarif, 29, berkata, dia bersama isterinya, Nur Farhani Selahudin, 27, baru menjadi ejen menjual kek lapis Sarawak, sejak sebulan lalu. “Kami amat terkejut bila mendapat respon daripada Neelofa pasal kek lapis tu. Neelofa bukan marah tapi tulisannya di Twitter dengan nada berjenaka selain mendoakan kami dimurahkan rezeki. “Kami benar-benar tak sangka Neelofa yang merupakan artis popular dan seorang usahawan yang mempunyai empayar perniagaannya sendiri tidak lokek untuk membantu kami sebagai peniaga kecil secara tidak langsung,” katanya kepada mStar. Kek lapis Neelofa mula mendapat perhatian dalam kalangan pelanggan. Mengenai kek lapis Neelofa, Muhammad Sharizzul yang merupakan pekerja penghantaran di sebuah syarikat di Kuala Lumpur berkata, kek lapis berwarna ungu, putih dan merah jambu itu berperisa vanila. Sejak berniaga sebulan lalu, tiada satu pun tempahan melibatkan kek lapis Neelofa. Kek lapis Neelofa bagaimanapun mula mendapat sambutan sejak perkongsian Neelofa sendiri di Twitter. MUHAMMAD SHARIZZUL Jelasnya, nama-nama kek lapis telah ditetapkan oleh pembekal sehingga mereka turut tertanya-tanya mengapa antaranya dinamakan sempena nama selebriti termasuk Neelofa. “Sejak berniaga sebulan lalu, tiada satu pun tempahan melibatkan kek lapis Neelofa. Kek lapis Neelofa bagaimanapun mula mendapat sambutan sejak perkongsian Neelofa sendiri di Twitter,” kata bapa kepada dua anak ini. Muhammad Sharizzul (kiri) menjadi ejen menjual kek lapis Sarawak bersama isterinya, Nur Farhani. Menurut Muhammad Sharizzul, khidmat penghantaran dibuat di sekitar Kuala Lumpur malah ia turut mendapat permintaan dari Serdang, Selangor. “Isteri saya ambil keputusan untuk berhenti kerja semasa mengandungkan anak kedua (kini berusia empat bulan). Sekarang, isteri dah boleh berniaga dari rumah dan saya membantu dari segi penghantaran. “Sekarang pun dah ada yang mahu menempah kek lapis untuk Hari Raya. Terima kasih Neelofa kerana mendoakan kami dimurahkan rezeki. Kalau diberi kesempatan, kami boleh beri Neelofa rasa kek lapis Neelofa nanti,” katanya sambil menambah antara nama selebriti lain untuk kek lapis yang dijualnya adalah Aaron Aziz dan Erra Fazira.