SEORANG pemuda menjadi perhatian selepas kisahnya menjadi tular apabila menggunakan upahnya menjaga parkir kereta untuk membeli makanan untuk anjing dan kucing jalanan. Namun, upah RM30 sehari itu tidak mencukupi untuk menampung kos harian bagi makanan haiwan-haiwan itu berupa ayam dan ikan menyebabkan dia terpaksa berhutang dengan peniaga pasar sementara menunggu gaji tetapnya sebagai pekerja pembersihan sebanyak RM850 sebulan. ARTIKEL BERKAITAN: Anjing, kucing jalanan makan 'mewah' kerana lelaki ini berhutang - "Saya makan nasi dengan telur goreng cicah kicap dah cukup" ARTIKEL BERKAITAN: Selekeh, tak berduit... tapi disayangi kucing, anjing jalanan, “Kalau hujan sanggup tunggu walau basah kuyup” Seorang pemuda sanggup menghabiskan separuh atau lebih separuh gajinya untuk membeli makanan kucing dan anjing jalanan. Pemuda itu, Anfalazie Anuar, 30, berkata dia bukan sengaja mahu berhutang tetapi dua kerja dalam satu masa yang dilakukannya tidak mendapat bayaran serentak. "Kerja jaga parkir kereta tu dapat upah harian dan hanya buat dua minggu setiap bulan, dan upahnya tak cukup untuk tampung kos makanan anjing dan kucing kira-kira RM50 sehari. "Sementara tunggu dapat gaji tetap akhir bulan, saya berhutang untuk baki kos tersebut. Jadi, saya taklah sentiasa berhutang sebab memang bayar dari semasa ke semasa kerana yang utama beri makan kepada haiwan-haiwan tu setiap hari," katanya kepada mStar. mStar sebelum ini melaporkan Anfalazie atau lebih mesra dengan panggilan Ann memberi makanan kepada kucing dan anjing jalanan di sekitar Bukit Mertajam, Pulau Pinang, selepas ia dikongsi oleh seorang pengguna Facebook, Azman Ali. Anfalazie Anuar. Pemuda yang berasal dari Butterworth, Seberang Prai ini tidak menyangka kisahnya itu tular hanya dia memberi makanan kepada haiwan-haiwan tersebut yang telah bertahun-tahun lamanya dilakukannya. "Saya memang tak sangka sebab saya ni sebenarnya pemalu orangnya. Memang terkejut sangat bila dapat perhatian dan ramai mula bertanyakan tentang saya. "Saya juga senang hati bila ramai dapat terima apa yang saya lakukan untuk anjing dan kucing jalanan. Orang lain ada juga buat, bukan saya seorang saja. Kasihkan binatang ni memang tanggungjawab bersama," katanya. Kalau dulu, saya selalu pening kepala fikir macam mana nak uruskan upah dan gaji yang saya terima dengan perbelanjaan peribadi dengan nak beli makanan haiwan-haiwan tu lagi. Sekarang saya dah tak ada hutang, syukur. ANFALAZIE ANUAR Sejak kisahnya tular, Ann menerima banyak mesej dan panggilan untuk menawarkan bantuan selepas nombor telefonnya turut dikongsikan di media sosial. Anak sulung daripada tiga beradik itu menjelaskan bahawa kebanyakan bantuan yang diterima dalam bentuk kewangan untuk digunakan bagi menampung perbelanjaan makanan kucing dan anjing. Ann tidak pernah gentar semasa memberi makanan kepada anjing-anjing jalanan. "Syukur, ramai yang tampil membantu. Apa yang saya paling gembira buat masa ini, saya dah langsai hutang-hutang beli makanan kucing dan anjing berjumlah lebih RM1,000. "Kalau dulu, saya selalu pening kepala fikir macam mana nak uruskan upah dan gaji yang saya terima dengan perbelanjaan peribadi dengan nak beli makanan haiwan-haiwan tu lagi. "Sekarang saya dah tak berhutang, syukur. Ada baki untuk beli makanan lagi, boleh tampung sementara saya bayar guna upah dan gaji saya sendiri," ujar Ann dengan nada ceria. Rezeki yang diterima Ann dikongsi bersama haiwan. Kisah Ann yang terpaksa meminjam motosikal adiknya untuk memudahkannya ke lebih 10 lokasi di sekitar Bukit Mertajam untuk memberi makan kepada kucing dan anjing jalanan setiap pagi dan petang berikutan motosikal miliknya rosak turut mendapat perhatian. "Ada individu yang tampil tawar bantuan untuk baiki motosikal saya yang rosak. Sebelum ni, saya tak fikir untuk baiki sebab duit saya yang ada cukup-cukup untuk tampung perbelanjaan diri saya dan beli makanan kucing dan anjing. Itu pun ada adik-adik turut membantu. "Saya sedang pertimbangkan tawaran itu sebab masih terkejut dengan perhatian ramai. Apa yang lebih penting, saya mahu melancarkan urusan beli makanan haiwan. Saya tak pasti boleh bertahan sampai bila, tapi saya kini tak perlu lagi berhutang. "Kepada orang ramai yang baik hati menghulurkan bantuan dan sumbangan, saya mengucapkan berbanyak terima kasih. Jasa kalian hanya Tuhan yang dapat membalasnya. Anda juga sama-sama berkongsi membuat kebaikan untuk haiwan-hawain ini," katanya.