suria

Baliklah... "Mak tunggu Acap beli murtabak"

Acap amat rapat dengan ibunya, Siti Maznah Khamis.

MISTERI kehilangan peserta larian Gopeng Ultra Trail 2019 (GUT19) Mohamad Ashraf Hasan atau lebih dikenali sebagai Acap ternyata memberi kesan mendalam terhadap keluarganya terutama ketika umat Islam mula menjalani ibadah puasa di bulan Ramadan.

Jika tahun-tahun sebelumnya tradisi berkumpul adik-beradik untuk sahur dan berbuka puasa di kampung mereka dekat Bukit Pasir, Muar sering ditunggu-tunggu bapa kepada seorang anak ini namun abang sulung Acap, Mohd Zahiruddin berkata sambutan kali ini agak berbeza dan kurang meriah kerana ketiadaan Acap di sisi.

ARTIKEL BERKAITAN: Terkejut jumpa kesan tapak kaki, kata Solo Ambush bukan milik Acap tapi...

ARTIKEL BERKAITAN: Selepas 2 minggu hilang, abang akui "Acap 'champion' jaga mak, adik-beradik lain tak boleh lawan"

"Sebenarnya untuk Ramadan pertama tiap-tiap tahun kami akan berkumpul satu keluarga di rumah mak.

"Kami akan bersahur dan berbuka puasa bersama. Tapi nampaknya tahun ini tak kesampaian kerana Acap masih belum ditemui," katanya ketika dihubungi mStar.

Menurut Mohd Zahiruddin, kebiasaannya adiknya itu akan membeli murtabak kegemaran ibu mereka, Siti Maznah Khamis dekat bazar Ramadan di Muar.

Tradisi berkumpul di kampung mereka sentiasa menjadi amalan Acap dan adik-beradiknya yang lain. - Foto RONNIE CHIN/The Star

"Dia selalu belikan mak murtabak. Mak pun ada cakap tunggu Acap belikan murtabak.

"Sedih jugalah. Jadi saya mohon doa orang ramai di bulan yang mulia ini agar Acap kembali ke pangkuan keluarga dengan selamat," katanya.

Dalam pada itu, seorang lagi abang Acap, Mohammad Azlan berkata adiknya itu akan membeli ayam golek di bazar Ramadan untuk juadah berbuka puasa pada hari pertama Ramadan.

Dia selalu belikan mak murtabak. Mak pun ada cakap tunggu Acap belikan murtabak.

MOHD ZAHIRUDDIN HASAN

Abang sulung Acap

"Dia akan beli ayam golek untuk makan dengan keluarga. Kebiasaannya macam tulah sejak dia mula bekerja," katanya.

Ditanya mengenai status pencarian Acap, Mohammad Azlan berkata tiada sebarang petunjuk baharu ditemui setakat ini.

"Belum ada petunjuk baharu. Tapi sebelum ini adalah orang beritahu dapat petunjuk dalam mimpi selepas solat hajat.

"Tapi bila kami ke kawasan yang dimaksudkan tak jumpa apa-apa. Puas juga kami mencari tapi belum ada tanda-tanda positif," katanya.

Mohd Zahiruddin bersama pasukan mencari Acap semasa di Gopeng. Foto Facebook Denny Lang

Bagaimanapun anak ketiga dari enam beradik itu enggan mendedahkan lokasi petunjuk dalam mimpi itu.

"Kawasan tu memang terkenal dengan binatang berbisa dan orang hilang. Kawasan di sekitar laluan trek tak boleh masuk sembarangan.

"Rujuk dengan orang kampung, mereka lebih tahu sebab mereka dah tinggal di situ hampir puluhan tahun," katanya.

Walaupun sudah memasuki bulan Ramadan, Mohammad Azlan berkata dia akan terus mencari adik keempatnya itu.

"Masih (mencari) walaupun bulan puasa. Selagi larat dari segi kewangan dan sihat tubuh badan. Insya-Allah.

"Dah habis usaha kami buat. Kepada Allah tempat kami berserah," katanya.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain