suria

“Kali pertama cuba, semua terus senyum lebar” - Perantau kongsi cara mudah makan kurma yang rasanya ‘enak bukan kepalang’

Kombinasi unik kurma calit mentega yang menjadi pilihan Nurrul Faiz untuk berbuka puasa di Malta.

APABILA bertandang ke negara orang, banyak perkara baharu yang boleh dipelajari.

Begitulah yang dihadapi seorang perantau kelahiran Negeri Sembilan, Mohd Nurrrul Faiz Mohd Taib, 34, yang kini berada di Malta sejak Oktober tahun lalu.

Menerusi posting tular di laman Twitter, Nurrul Faiz berkongsi cara unik untuk menikmati buah kurma yang diperkenalkan oleh rakan perantau dari negara lain.

ARTIKEL BERKAITAN: Lagi sedap daripada nira kelapa! Warga Bangladesh cetus idea hasilkan nira kurma
ARTIKEL BERKAITAN: 
“Dia agih sampai habis semua” - Feri rosak, coklat mahal penumpang Cina jadi 'korban' iftar, lelaki ini buktikan rasis sikap individu!

"Tak pasti ada atau tak rakyat Malaysia amalkan. Aku ni punyalah noob (kurang arif), kat sini baru tahu yang kurma calit mentega memang sedap nak mampus.

"Pekena satu biji kurma masa berbuka boleh 'merebak' jadi 10 biji," tulisnya menerusi posting itu yang menerima lebih 7,400 ulang kicau (Retweet).

Menurut Nurrul Faiz, dia tidak menyangka kombinasi unik dua makanan itu akan menghasilkan satu rasa yang cukup enak dan menyelerakan.

Nurrul Faiz tidak menyangka perkongsiannya di Twitter akan menjadi tular.

"Masa hari pertama puasa, masuk sahaja waktu Maghrib, rakan saya dari Mauritania dan Tunisia terus capai kurma dan calitkan ke dalam bekas mentega.

"Kami yang lain terpegun sebentar sebab amalan itu nampak sangat jelik. Yang makan calit mentega itu pula pelik melihat kami pandang mereka pelik.

"Kemudian saya calit kurma yang agak berjus (basah) ke dalam mentega. Sejurus gigitan pertama selepas Bismillah dilafaz, enaknya bukan kepalang," ujarnya sewaktu dihubungi mStar pada Jumaat.

Sejak detik itu, ia turut menjadi tradisi berbuka puasa Nurrul Faiz sehingga hari ini.

Kawan-kawan lain yang baru kali pertama mencubanya, semua terus senyum lebar. Tak tahu pula sedap macam ni.

MOHD NURRUL FAIZ MOHD TAIB

Malah, dia turut mencuba kurma yang dicalit dengan marjerin namun mengakui kombinasi dengan mentega lebih menyelerakan.

"Kawan-kawan lain yang baru kali pertama mencubanya, semua terus senyum lebar. Tak tahu pula sedap macam ni. Sebab rasa manis kurma dan krim mentega tu sangat sebati.

"Ada sehari tu, ada kawan bawa marjerin semata-mata untuk cuba makan dengan kurma. Sedap juga. Tapi bagi saya, dengan mentega rasanya lebih berkrim dan manis kurma itu masih kekal rasanya," katanya lagi.

Nurrul Faiz bersama rakan-rakannya di Malta.

Mengulas penularan tweet itu, Nurrul Faiz juga tidak menyangka ramai rakyat Malaysia yang terbuka hati untuk mencuba keenakan kurma dengan mentega seperti yang dikongsikan olehnya.

"Saya sendiri pun tak jangka boleh tular macam tu. Saya hanya tweet sebab ia benda yang baharu bagi saya.

"Yang paling saya berpuas hati ialah apabila ada ramai yang balas tweet saya mengatakan tak minat langsung makan kurma sebelum ni, tapi selepas cuba dengan mentega, terus mereka jatuh cinta," ujar Nurrul Faiz lagi.

Bapa kepada seorang cahaya mata itu merupakan petugas di Jabatan Laut Malaysia yang sedang menyambung pelajaran dalam Ijazah Sarjana dalam Perundangan Maritim Antarabangsa di University of Malta.

Selain itu, Nurrul Faiz juga merupakan seorang penulis dan pernah menghasilkan Antologi Cerpen Gila, Gigitan Cinta Tongkahan dan beberapa karya lain.

Malah, dia turut menulis di aplikasi Wattpad dengan akaun nama 'jembalanque'.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain