suria

Sebar kebaikan di Aidilfitri... Dulu bapa tolong bayar tol kereta lain, kini anak beri duit raya kepada orang tak dikenali

Amin bersikap prihatin memberikan duit raya kepada pekerja yang berkerja di Hari Raya.

BILA tiba musim raya, pasti ramai yang mengambil kesempatan bercuti bagi meraikan lebaran bersama keluarga tercinta namun ada segelintir individu yang terpaksa menjalankan tugas.

Terbaharu, sikap prihatin seorang pemuda melakukan 'sesi beri duit raya' kepada pekerja yang bekerja di Hari Raya menunjukkan zaman ini masih wujud individu yang bersikap mengambil berat dan baik hati.

Sebagai salah satu usaha menyebarkan kebaikan di bulan Syawal, Nurul Amin Md Jamean atau mesra disapa Amin mengambil peluang menggunakan tanda pagar (hashtag)DuitRayaMovement pada posting di Twitter miliknya sehingga menjadi perhatian netizen.

ARTIKEL BERKAITAN :Sampul duit raya RM5 bikin panas, mak saudara bengang... “Semalam minta maaf, peluk cium pipi rupanya tak ikhlas”

ARTIKEL BERKAITAN : “Rezeki dia datang seorang, ingatkan nak buat kejutan sudahnya jadi sampah”... Kerana syiling dalam sampul, budak ‘melepas’ duit raya RM10

Antara sampul duit raya yang diberikan Amin kepada  mereka yang bekerja di hari raya.

Ketika dihubungi mStar, pemuda berusia 31 tahun itu berkata, dia telah melakukan 'sesi beri duit raya' kepada pekerja tol, pengawal keselamatan, pekerja di restoran makanan segera dan barista sejak sembilan tahun lepas.

"Sebenarnya saya dah mula bagi duit raya kepada mereka yang bekerja di hari raya sejak umur 22 tahun... ketika itu tahun pertama saya bekerja.

"Setiap kali musim raya bila saya singgah di stesen minyak, di McDonald's dan Starbucks, saya akan hulur duit raya untuk menghargai usaha dan penat lelah mereka bekerja pada hari raya. Saya berikannya pada hari raya pertama sehingga hari ini (raya ke-6).

"Sekurang-kurangnya kita boleh lihat mereka tersenyum gembira dan rasa dihargai sebab perasaan bila bekerja ketika hari raya ini lain sangat, jadi saya faham perasaan mereka," ujarnya yang berasal dari Balakong, Selangor.

Amin juga memberitahu, ada segelintir pekerja yang tersentuh hati dengan tindakannya yang prihatin terhadap mereka sehingga ada yang mengadu nasib kepadanya.

Amin cuba untuk mencontohi sikap prihatin bapanya yang sering memberi duit raya kepada individu yang bekerja di Hari Raya.

Bukan itu sahaja, ada juga yang terpaksa menolak pemberian duit raya yang diberikan Amin atas dasar polisi kerja.

Di sebalik tindakannya itu, Amin berkata ia sebenarnya bertitik tolak daripada amalan bapanya yang sering memberi duit raya secara rawak kepada pekerja yang bertugas di Aidilfitri sejak dia masih kecil, membuatkan dia ingin cuba mencontohi keprihatinan bapanya.

"Saya sengaja tiru cara ayah, sebab dia yang mulakan 'sesi beri duit raya' dengan membayarkan tol untuk beberapa kenderaan setiap kali balik kampung waktu musim raya. Dari situlah, saya cuba ikut cara dia tetapi dengan cara memberi sampul duit raya.

Saya sengaja tiru cara ayah, sebab dia yang mulakan 'sesi beri duit raya' dengan membayarkan tol untuk beberapa kenderaan setiap kali balik kampung waktu musim raya. Dari situlah, saya cuba ikut cara dia tetapi dengan memberi sampul duit raya.

NURUL AMIN MD JAMEAN

"Waktu kecil dahulu, saya masih ingat ketika musim raya mesti ayah akan bayarkan duit tol untuk lima enam buah kereta di belakangnya dalam perjalanan nak balik kampung.

"Setiap tahun boleh dikatakan ayah akan buat macam itu dan tindakan ayah saya membuatkan saya terikut-ikut caranya yang sebegitu," kata Amin yang bekerja di bahagian transaksi perbankan, Menara Maybank di ibu negara.

Video yang dimuat naik Amin menerima pelbagai reaksi daripada pengguna Twitter.

Dalam pada itu, video berdurasi 10 saat itu menjadi perhatian netizen sehingga menerima kira-kira 562,000 tontonan dan diulang kicau sebanyak 19,904 serta mendapat 20,613 tanda suka.

Malah, video yang dimuat naik Amin turut menjadi trending di Twitter dengan ramai yang lain bersama-sama memberikan duit raya kepada individu yang bekerja di hari raya sehingga membawa kepada hashtag 'DuitRayaMovement'.

"Saya tak sangka boleh jadi viral sampai macam tu sekali sebab saya hanya sekadar berkongsi sahaja.

"Daripada #DuitRayaMovement itu, ramai yang berkongsi video bagi duit raya kepada mereka yang bekerja pada hari raya.

"Alhamdulillah, ramai sebenarnya yang masih bersikap prihatin dan tidak salah untuk kita sama-sama sebarkan kebaikan bersama," ujarnya.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!
Syawal, duit raya, kebaikan

Artikel Lain