HAZIQ Abdul Aziz, pemuda yang mengakui dirinya terlibat dalam video hubungan sejenis yang dikaitkan dengan seorang menteri kabinet mendakwa aksi seks di sebuah bilik hotel di Sandakan, Sabah bukan kali pertama berlaku. Pemuda itu yang juga setiausaha sulit kanan seorang timbalan menteri menerusi satu posting di Facebooknya, pada Khamis, mendakwa perbuatan sama pernah dilakukan sebanyak tiga kali sebelum video aksi terbaharu terbongkar awal pagi Rabu. "Pertama sekali di Grand Continental Kuching tiga tahun yang lalu, kemudian di Pullman Kuching semasa Pemilihan Parti pada Oktober tahun lepas. ARTIKEL BERKAITAN: Azmin dakwa video seks kerja jijik, komplot jahat jatuhkan karier politiknya ARTIKEL BERKAITAN: Rakan karib terkejut, "Haziq tak pernah jadi gay" "Kami melakukannya semula di Grand Hyatt KL semasa kamu berkhidmat sebagai Menteri Pengiring kepada Sultan Brunei pada Mac tahun ini dan pertemuan baru-baru ini di Fourpoint Sandakan bulan lepas," katanya. Haziq berkata dia kecewa apabila lelaki mirip menteri kabinet itu didakwa tergamak merakam video aksi seks mereka. “Saya sedari kamu lelaki yang sakit kerana hanya kamu yang yang boleh merakamkan video-video itu sebagai koleksi peribadi selepas menjemput saya ke bilik hotel pada semua kejadian," katanya. Paparan skrin adegan seks dalam video yang tersebar awal pagi Rabu. Dalam pada itu, Haziq mendakwa kekurangan sokongan yang diterimanya selepas membuat pengakuan bersumpah awal pagi Rabu berhubung perkara itu menimbulkan persoalan terhadap keikhlasan kerajaan baharu Pakatan Harapan (PH) dalam melaksanakan agenda reformasi. “Saya dituduh mempunyai agenda politik oleh perdana menteri (Tun Dr Mahathir Mohamad) selepas membuat pengakuan bersumpah," katanya. Dalam kenyataan yang sama, Haziq turut mendakwa menteri kabinet itu turut menghantar setiausaha politiknya untuk bertemu dengannya di sebuah restoran di Putrajaya selepas video tersebut tersebar. “Dia (setiausaha politik) paksa saya untuk menafikan bahawa diri saya dalam video yang tular itu dan meminta saya berbohong untuk dirinya. “Saya mohon lebih masa untuk merujuk kepada ibu bapa saya dan ini menimbulkan kemarahannya. “Selepas saya menolaknya, dia membuat ugutan dan berkata ‘ini’ akan berakhir dalam 48 jam dengan atau tanpa bantuan saya untuk berbohong,” katanya. Haziq turut mendakwa dia bimbang lebih banyak video berkenaan akan disebarkan selepas ini. "Kelebihan yang kamu ada sebagai seorang menteri boleh menafikannya tetapi masa depan saya sudah berakhir. “Kamu juga mempunyai perdana menteri yang berikrar memberi sokongan penuh sebelum sebarang siasatan rasmi dijalankan. “Hanya kebenaran boleh membebaskan saya dan saya amat bimbang dengan keselamatan keluarga dan diri saya,” katanya. Justeru, Haziq juga berharap orang ramai dapat menilai diri sebenar individu mirip menteri kabinet itu yang didakwanya sering memanipulasi dan dikelilingi oleh konco-konconya.