suria

Video ular sawa makan arnab hidup-hidup cetus kemarahan

Tangkapan skrin video ular sawa mahu memakan seekor arnab.

KEJAM dan tidak berperikemanusiaan, itu yang digambarkan Presiden Persatuan Haiwan Malaysia, Arie Dwi Andika mengenai klip video yang dimuat naik di Instagram oleh sebuah resort pelancongan, menunjukkan seekor ular sawa memakan seekor arnab hidup-hidup.

Klip video berdurasi seminit itu, menunjukkan ular tersebut melilit arnab itu sebelum memakannya, membangkitkan kemarahan netizen dan badan-badan bukan kerajaan (NGO).

Arie berkata, klip video itu tidak sepatutnya dirakam dan dimuat naik untuk tontonan umum.

"Sebagai masyarakat yang bertamadun, kita tidak boleh menjadikan penderitaan haiwan sebagai bentuk hiburan," katanya.

Menerusi semakan StarMetro di akaun Instagram resort tersebut menunjukkan pemilik akaun mengatakan klip itu tidak berbeza dengan apa yang difilemkan dalam program dokumentari haiwan.

Arie bagaimanapun mempunyai pandangan yang berbeza berhubung kenyataan itu.

"Dokumentari menunjukkan haiwan di habitat semula jadi mereka, di mana mereka berkeliaran bebas dan dapat melarikan diri atau mempertahankan diri.

"Klip ini menunjukkan persekitaran buatan manusia dan arnab tidak dapat melarikan diri daripada pemangsa," katanya.

Arie bimbang klip itu akan mempengaruhi orang ramai kurang sensitif terhadap penderitaan haiwan dan menggalakkan resort lain menggunakan kaedah yang sama untuk menarik pengunjung.

Beliau berkata, lesen untuk pameran itu diperlukan sebelum mana-mana pihak boleh mempamerkan hidupan liar kepada orang ramai dan perkongsian di Instagram dianggap sebagai pameran.

Pengurus resort itu berkata, ular sawa Burma yang dinamakan Ratnasari diberikan makan setiap dua minggu dan memakan lima arnab hidup.

"Sekali sebulan, ia diberi makan kambing kecil yang hidup untuk memastikan dia mendapat protein yang mencukupi," katanya. 

Dia berkata, resort itu mempunyai lesen untuk menjaga hidupan liar.

"Kami hanya memuat naik klip untuk tujuan pendidikan.

"Adalah semula jadi untuk ular memakan arnab hidup-hidup," katanya.

Pengarah Jabatan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Selangor, Abd Rahim Othman memberitahu StarMetro bahawa tiada peraturan untuk menyiarkan video haiwan liar dengan cara sedemikian. - The Star

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!
resort, ular, Arie Dwi Andika

Artikel Lain