suria

“Saya tekad tak mahu kahwin apatah lagi dengan suami orang” - Tutup hati terima lelaki, ibu tunggal ‘tewas’ dilamar bakal madu

Nur Fathonah diijabkabulkan dengan Samuel Dzul baru-baru ini.

IBU tunggal dua anak ini tekad untuk tidak berkahwin lagi apatah lagi untuk hidup berpoligami selepas mahligai yang dibina bersama suaminya musnah kira-kira dua tahun lalu.

Ketika itu Nur Fathonah Abdul Rahim hanya terfikir untuk bekerja keras demi menampung kehidupan mereka tiga beranak.

"Sesungguhnya tidak pernah terlintas pun dalam diri saya untuk berpoligami. Setelah saya berpisah dengan bekas suami, saya telah bertekad untuk tidak berkahwin lagi apatah lagi akan menerima suami orang.

"Semenjak dari itu, kehidupan saya hanyalah untuk saya dan anak-anak saya sahaja. Saya bertungkus lumus siang dan malam demi untuk mencukupkan keperluan kehidupan," katanya dalam satu posting di Facebook.

ARTIKEL BERKAITAN: Suami terlalu baik... isteri diam-diam ‘hadiah’kan bini baharu untuknya, bahagia tinggal sebumbung

Jelas wanita berusia 30 tahun itu, dia juga cuba merahsiakan statusnya sebagai ibu tunggal daripada diketahui umum.

Nur Fathonah mempunyai dua anak hasil perkahwinan terdahulunya.

"Di mata masyarakat, saya masih isteri orang dan saya sedaya upaya cuba menutup status sebenar saya sebagai ibu tunggal. Ini kerana, bagi saya, saya tidak mahu orang mengambil kesempatan dan saya dipandang rendah dan hina.

"Sememangnya ramai yang tidak tahu dan hanya segelintir keluarga yang betul-betul rapat sahaja yang tahu. Bagi saya, sebagai ibu tunggal, kita tidak patut minta belas ihsan daripada orang lain selagi kita boleh berusaha dengan kudrat yang diberikan," katanya.

Namun pemilik Fathonah Home Spa ini berkata segalanya berubah apabila dipertemukan dengan madunya, Khazatul Atiqah Abu Seman atau lebih mesra disapa Tiqa.

"Suatu hari Allah takdirkan saya bertemu dengan seseorang yang mengubah segalanya. Saya dijemput oleh kakak madu saya sebagai seorang pelawat yang ketika itu saya kenali sebagai seorang kawan ke perjumpaan usahawan Business Networking International (BNI).

"Program ini memerlukan komitmen seawal pukul 6.30 pagi dan di situlah saya diajak oleh kakak madu saya untuk menyertainya. Mengenangkan komitmen untuk menguruskan persekolahan anak-anak di awal pagi saya menolak pelawaan tersebut.

"Oleh kerana itu kakak madu saya mencadangkan untuk saya berbincang dengan suami tentang pengurusan tersebut. Saya rasa serba salah dan berat hati menolak sedangkan kakak madu saya bersungguh-sungguh mengajak saya kerana ingin saya maju dalam perniagaan saya," katanya.

Serba salah menolak pelawaan Tiqa untuk menyertai program itu, Nur Fathonah akhirnya menceritakan status sebenarnya sebagai ibu tunggal.

Nur Fathonah (kiri) mengenali madunya menerusi Facebook.

"Kakak madu saya terkejut lalu memeluk saya dan mengajak saya menjadi madunya. Saya terkejut dan menganggap itu hanyalah gurauan. Saya menerangkan padanya yang saya bukan meminta simpati malah saya ingin menerangkan keadaan sebenar kedudukan saya.

"Saya balik dalam keadaan menyesal kerana membuka cerita mengenai status sebenar saya kepadanya. Kakak madu saya ada cuba menghubungi saya namun saya banyak mengelak hinggalah tibanya bulan Ramadan tahun ini, saya menerima mesej dari kakak madu saya dan bertanya khabar.

"Kakak madu kemudiannya bertanya adakah saya masih available dan mengajak berjumpa. Saya berat hati dan berbelah bahagi namun rasa bersalah kerana banyak kali menolak dan mengelak darinya sedangkan kakak madu seorang yang sangat baik orangnya," katanya.

Justeru wanita dari Pulau Pinang ini menganggap pertemuan kali kedua dengan Tiqa sebagai satu titik tolak dalam kehidupannya.

"Kata-katanya yang saya anggap gurauan pada mulanya rupanya dianggap serius dan kakak madu saya sangat bersungguh-sungguh bercerita tentang impian kehidupan poligami di sudut kaca matanya.

"Dia kemudiannya melamar saya menjadi madunya dan mengatakan firasat hatinya sangat kuat mengatakan mungkin saya orang yang dia cari. Pada masa itu, saya seperti memahami impiannya namun saya lebih kasihankan dia.

"Saya lihat dia bersungguh-sungguh sedangkan saya tidak mempunyai apa-apa perasaan di waktu itu. Namun saya cuba memberi peluang untuk meraikan kesungguhannya dan memberitahunya saya akan fikirkan tentang perkara itu," katanya.

Nur Fathonah menjalankan perniagaan mobile spa ketika ini.

Pada masa sama, Nur Fathonah berkata dia amat tersentuh dengan keprihatinan Tiqa dan kagum melihat kebahagiaan keluarganya.

"Saya diajak berbuka puasa bersama-sama dengan anak-anak dan keluarga kakak madu saya. Di situ, saya mula nampak betapa indahnya keluarga yang dia miliki. Dan saya dapat lihat wajah anak-anak saya, betapa gembiranya mereka bila dapat bersama-sama dengan anak kakak madu saya.

"Kami kemudiannya lebih berhubung rapat melalui WhatsApp. Kakak madu saya sememangnya sangat mengambil berat tentang saya dan anak-anak. Kami menjadi semakin rapat dan kerap berhubung.

"Walaupun berjauhan kami sentiasa rasa lebih dekat kerana dia sememangnya sangat mengambil berat, selalu mengingatkan tentang ibadah dan saya terasa dijaga walaupun jauh. Sejujurnya, saya tak pernah merasa diambil berat mengenai ibadah saya dan dia juga sentiasa mengingatkan saya selalu," katanya.

Kakak madu saya terkejut lalu memeluk saya dan mengajak saya menjadi madunya. Saya terkejut dan menganggap itu hanyalah gurauan. Saya menerangkan padanya yang saya bukan meminta simpati malah saya ingin menerangkan keadaan sebenar kedudukan saya.

NUR FATHONAH ABDUL RAHIM.

Akhirnya Nur Fathonah berkata dia menerima lamaran Tiqa dengan hati terbuka selepas memohon petunjuk dari Allah.

"Saya mula nampak keluarga ini boleh membimbing saya dan anak-anak saya, dari situ saya mula sedar betapa hakikatnya perempuan sebenarnya memerlukan seorang pemimpin. Walaupun sebelum ni saya pernah merasa saya tidak perlu lelaki dalam hidup saya tapi rupanya saya silap.

"Allah menciptakan lelaki itu boleh memimpin dan perempuan perlu dipimpin. Alhamdulillah setelah beberapa kali memohon petunjuk dari Allah saya yakin bahawa Allah sememangnya datangkan mereka untuk saya dan anak-anak.

"Walaupun banyak rintangan yang kami hadapi saat mula-mula proses perkenalan dan sebelum persetujuan, namun sepanjang itu juga Allah sentiasa pegang hati-hati kami untuk bersama dan kuatkan hati kami," katanya yang diijabkabulkan dengan suaminya, Samuel Dzul baru-baru ini.

Pasangan ini diijabkabul dalam satu majlis sederhana baru-baru ini.

Sementara itu, wanita ini turut meminta orang ramai supaya mendaokan kebahagiaannya bersama anak-anak dengan keluarga baharunya.

"Allah membuka mata saya bahawa hidup berpoligami ini sangat indah sebenarnya. Semua kita dapat buat bersama, saling bantu membantu dan lengkap melengkapi, bersama memberi yang terbaik untuk suami, bersama menjaga solat berjemaah bersama, menjaga dan mendidik anak sama-sama, masak bersama, kemas rumah bersama dan banyak lagi manfaatnya.

"Alhamdulillah anak-anak saya juga lebih gembira bersama adik-beradik baru mereka. Pendek kata, terlalu banyak nikmat yang Allah kurniakan buat saya. Mungkin ada segelintir yang cakap, masih baru lagi jadi semuanya nampak indah.

"Tapi bagi saya bila kita buat betul-betul kerana Allah dan kita nampak matlamat kita yang mahukan keselamatan di dunia dan terutamanya di Akhirat, Insya-Allah pasti Allah bantu kita dari semua sudut. Mohon doakan saya dan anak-anak bersama keluarga baru saya bahagia dan selamat dunia akhirat," katanya.

Kisah Nur Fathonah dilamar madunya menjadi tular selepas Tiqa berkongsi perkara itu di Facebooknya Rabu lalu.

Jelas Tiqa dia tampil memberi penjelasan tersebut selepas timbul dakwaan kurang senang sesetengah individu terhadap hubungan suami dan madunya itu.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain