suria

“Kalau tak percaya, ikut saya sekali” - Wanita menipu dengan yakin, pakcik teksi sakit lutut tercongok 4 jam tunggu tambang

Seorang wanita yang menipu tidak membayar tambang sebuah teksi Rabu lalu.

"SAYA dah agak dia tidak akan kembali ke teksi memberi tambang," luah seorang pemandu teksi yang mendakwa ditipu penumpang wanita, 31 Julai lalu.

Masih segar dalam ingatan Hamdan Talib, 58, kata-kata seorang wanita yang menyuruhnya menunggu sementara dia pergi mendapatkan wang tambang daripada rakannya di sebuah rumah flat di Taman Serendah Makmur, Rawang.

Mengimbas kembali insiden tersebut, Hamdan mendedahkan dia tergerak hati menyatakan wanita itu tidak akan muncul untuk membayar wang tambang sebanyak RM20.75.

ARTIKEL BERKAITAN: Beri RM120 tapi dapat resit Grab RM1, wanita baik hati tertipu ‘drama’ penumpang hamil

ARTIKEL BERKAITAN: Selepas penumpang bogel, pemandu Grab trauma nyaris disamun

"Saya nampak dia melambai-lambai tangan di tepi sebuah stesen minyak sebelum ke Rawang.

"Saya berhentikan teksi dan dia cakap mahu pergi ke Taman Serendah Makmur. Jadi saya pun terus bersetuju dan membawanya ke destinasi yang diminta.

Hamdan akui kerja sebagai pemandu teksi banyak persaingan pada masa sekarang. Gambar hiasan.

"Dalam perjalanan dia ada memberitahu mahu ke rumah kawannya di sana. Saya angguk dan diam sahaja.

"Apabila sampai di destinasi, dia cakap beg duitnya hilang di stesen minyak tadi. Jadi dia minta izin pergi jumpa kawannya dan ambil tambang.

"Dia suruh saya tunggu dan ada juga cakap kalau pakcik tak percaya, ikutlah saya sekali.

"Saya hanya tunggu di dalam kereta sahaja memandangkan saya ini tidak boleh berjalan sangat sebab sakit lutut," kongsinya kepada mStar.

Menurut Hamdan, dia sengaja tidak mematikan meter teksinya sebaik sahaja tiba di destinasi.

"Tambangnya adalah RM20.75 dan saya menunggu sehingga meter mencecah RM104. Bayangkan berapa lama saya menunggunya. Dari pukul 9 lebih sehinggalah waktu Zohor 1.30 petang.

Wanita itu suruh saya tunggu sementara dia pergi ambil duit dengan rakannya. Namun sampai pukul 1.30 petang, bayangnya pun tak nampak.

HAMDAN TALIB

Pemandu teksi

"Sementara menunggu wanita itu, kebetulan ada seorang lelaki di bawah flat itu dan kami berborak.

"Dia ada cakap laluan ke flat itu hanya satu jalan sahaja. Jadi tidak ada jalan lain kalau wanita itu mahu larikan diri.

"Jadi saya pun alihkan kereta sedikit di tepi jalan supaya wanita itu nampak jika dia keluar. Namun bayangnya pun tak nampak.

"Kalau nak dikira, ini kali ketiga saya ditipu penumpang tidak membayar tambang. Sebelum ini lelaki, tetapi kali ini wanita pula.

"Ketika dia berjalan ke arah flat itu, saya sempat merakam gambar, namun tidak nampak mukanya," ujar bapa kepada tiga orang anak ini.

Jelas Hamdan, dia ada menghubungi pihak polis memberitahu situasinya ditipu penumpang.

"Biasalah bukan kes serius mereka mana ada layan saya. Mereka ada janji nak hubungi saya balik, tetapi sampai sudah tak ada.

"Sebenarnya teksi ini adalah sumber rezeki saya sejak dinasihatkan berhenti kerja (syarikat swasta) pada tahun 2017.

"Saya sebenarnya tidak berapa sihat selepas mengalami sakit lutut dan tulang belakang. Oleh kerana selalu cuti sakit, jadi syarikat nasihatkan saya berhenti dan menerima pampasan.

Hani turut memuat naik kisah bapanya ditipu penumpang wanita di media sosial.

"Nasib baiklah ketika bekerja dahulu saya sudah membeli teksi ini untuk 'stand by' pada masa depan. Dan betul, saya gunanya sekarang.

"Tetapi bekerja sebagai pemandu teksi ini pada masa sekarang bukanlah mudah kerana terdapat banyak persaingan. Jadi apabila terjadi insiden kena tipu ini, ia sekali gus menjejas sumber pendapatan harian saya.

"Tambahan pula saya bukannya boleh setiap hari memandu, ia bergantung kepada kesihatan saya juga. Kalau lutut dan belakang sakit, terpaksalah saya berehat.

"Sebenar saya kecewa dengan Socso (Pertubuhan Keselamatan Sosial) yang tidak memberi bantuan kepada saya kerana masalah kesihatan.

"Sudah empat kali saya menghantar borang permohonan kerana tidak mampu bekerja tetapi mereka menolaknya walaupun terdapat laporan doktor yang mengesahkan saya layak menerimanya," katanya.

Sebahagian daripada komen netizen mengenai status yang dimuat naik Hani mengenai ayahnya.

Sementara itu kisah Hamdan ditipu penumpang wanita ini menjadi viral di laman Twitter apabila anak bongsunya Hani, 22, berkongsi kisah itu.

Jelas Hani, dia memuat naik kisah ayahnya itu sebagai pengajaran kepada orang lain dan jangan menganiayai orang tua.

"Ya, bapa saya tidak sihat sangat. Sampai hati dia tipu ayah saya. Saya memang tak sangka ramai yang retweet (lebih 9,000 ulang kicau).

"Apa yang membuat kan saya terharu apabila lebih kurang kurang sepuluh orang DM (direct message) meminta nombor akaun bapa untuk membantu bayarkan tambang.

"Tetapi saya menolak kerana bukan tujuan saya untuk meminta derma sebaliknya hanya mahu berkongsi pengalaman," jelas anak bongsu daripada tiga orang adik beradik ini.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!
Penumpang wanita, tipu, tak bayar, tambang

Artikel Lain