suria

Terkejut tengok gambar diri sendiri dalam longkang! Cikgu Matematik viral dedah pernah accident setiap bulan dalam masa setahun

Fathi terbabit dalam satu kemalangan pada Khamis lalu.

SAYA tak ingat langsung apa yang berlaku, demikian kata guru Matematik viral, Fathi Hussein yang terlibat dalam kemalangan pada Khamis lalu, ketika dalam perjalanan untuk pergi mengajar.

Dalam kejadian di Sungai Ramal Dalam, Bangi, Selangor, itu dia yang menaiki sebuah motosikal terjatuh ke dalam longkang selepas dilanggar oleh sebuah kereta Perodua Myvi.

Akibat kejadian itu, dia yang mengalami patah tulang paha terpaksa menjalani pembedahan pada Jumaat lalu.

ARTIKEL BERKAITAN: Sir Uzairi, guru Matematik glamor impi buka stesen TV

ARTIKEL BERKAITAN: Arwah cikgu Hayati terus berceloteh ajar 'Add Math' di YouTube

Bercerita kepada mStar, dia yang mesra disapa Fathi mengakui ini bukan pertama kali dia terbabit dalam kemalangan.

"Ini merupakan kemalangan pertama dalam tahun 2019, dan ia yang paling teruk. Tahun 2018 saya sifar kemalangan.

"Tapi pada tahun 2017, saya tak tahu entah kenapa, hampir setiap bulan saya kemalangan. Ada masanya sampai dua kali sebulan, sampai tak ingat berapa kali. Tapi semuanya kemalangan kecil," kongsinya sewaktu dihubungi pada Isnin.

Saya tak sedar sebelum dan semasa kejadian. Terkejut bila ditunjukkan gambar saya dalam longkang. Saya pun tak sedar waktu orang angkat.

FATHI HUSSEIN

Guru Matematik viral

Bercerita mengenai kejadian malang pada minggu lalu, Fathi ternyata bingung memandangkan dia langsung tidak mengingati apa yang berlaku.

Katanya, dia juga terkejut melihat gambar-gambar sewaktu kejadian yang ditunjukkan kepadanya, sejurus dia sedar daripada kemalangan itu.

"Sejujurnya, saya sampai sekarang tak tahu sebab apa kemalangan. Tak ingat langsung.

"Bila pemandu Myvi tu buat laporan polis, baru saya tahu. Saya tak sedar sebelum dan semasa kejadian.

Fathi kini sedang menerima rawatan di KPJ Damansara.

"Terkejut bila ditunjukkan gambar saya dalam longkang. Saya pun tak sedar waktu orang angkat," katanya lagi.

Mengulas keadaan semasa kesihatannya, Fathi yang kini berada di KPJ Damansara memaklumkan dia mungkin akan kembali mengajar di Math Clinic pada Khamis atau Jumaat ini.

Kata Fathi, biarpun pergerakannya terhad, dia akan ditemani seorang pembantu untuk menguruskan sesi pengajarannya kelak.

Dalam pada itu, Fathi berkata dia tidak serik untuk menunggang motosikal pada masa akan datang.

"Sejujurnya saya tak serik. Saya tak trauma sebab tak ingat apa yang berlaku.

"Pertamanya saya memang minat motor. Kedua, ia memudahkan pergerakan saya.

Fathi popular di laman sosial menerusi video-video miliknya yang mengajar subjek Matematik dalam gaya cukup bersahaja.

"Untuk elak kesesakan trafik, bergerak dari satu pusat Math Clinic ke pusat yang lain, naik motor lebih cepat.

"Tapi buat sementara waktu ni, memang kena naik kereta," ujarnya yang turut menzahirkan rasa syukur atas kata-kata semangat yang ditinggalkan oleh orang ramai menerusi laman sosial miliknya.

Untuk rekod, Fathi bernaung di bawah Math Clinic bersama beberapa guru lain termasuklah Uzairi Mohd Taib atau Sir Uzairi, guru matematik yang pernah tular sebelum ini.

Video-video Fathi yang sedang mengajar formula matematik dalam keadaan bersahaja turut menarik perhatian ramai dan mula tular sejak Julai lalu.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain