suria

Selepas 12 tahun gadis dedah nyaris diculik, mungkin senasib Nurin Jazlin... terima kasih Doraemon!

Eva tidak pernah melupakan kisah nyaris jadi mangsa 'Lelaki Kucing' 12 tahun lalu.

SETIAP kali terbaca kisah penculikan dan bunuh melibatkan kanak-kanak, fikiran terus melayang kepada peristiwa paling menyayat hati dan tragis sekitar 12 tahun lalu.

Tiada siapa yang dapat melupakan tragedi pembunuhan kanak-kanak cilik berusia lapan tahun ketika itu, Nurin Jazlin Jaziman yang ditemui dalam keadaan amat menyedihkan, lebih-lebih lagi keluarga mangsa.

Nurin dilaporkan hilang selepas ke pasar malam di sekitar rumahnya di Wangsa Maju pada 20 Ogos 2007.

ARTIKEL BERKAITAN: Lelaki ditahan bantu siasatan kes budak perempuan dibunuh kejam

ARTIKEL BERKAITAN: Hilang lebih 100 hari, tiap kali menjelang Maghrib terdengar suara anak... "Saja panggil abah sebab rindu"

Beberapa hari selepas kehilangannya, polis menjumpai mayat Nurin Jazlin dalam sebuah beg pakaian di sebuah premis perniagaan di Petaling Jaya yang dipercayai dibunuh dengan kejam.

Tetapi siapa sangka pada tahun yang sama, seorang lagi kanak-kanak berusia 11 tahun yang dikenali Eva Natasha nyaris menjadi mangsa culik seorang lelaki yang dipercayai menggunakan umpan makanan kucing untuk memerangkap mangsanya.

Allahyarham Nurin dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Taman Ibu Kota 2007. Foto: ABDUL RAHMAN SENIN/The Star

Bagaimanapun, hanya kerana terbayangkan siri Doraemon akan ditayangkan pada petang tersebut, dia terlepas daripada lelaki berkenaan yang dipercayai cuba menculiknya.

Biarpun kejadian telah lama berlaku, tetapi bagi Eva setiap detik dipujuk lelaki itu yang cuba mengumpannya supaya dia pergi ke satu tempat untuk memberi makan kucing masih segar dalam ingatan.

"Kejadian tu memang saya tak boleh lupa sampai sekarang, jadi apa yang membuatkan saya berkongsi cerita lama tu semula disebabkan saya ternampak tweet mengenai kes budak yang pernah diculik dulu. Jadi saya pun teringat balik... macam 'flashback'.

"Selepas kejadian tu memang trauma, tapi tak lama, selepas tu berani macam biasa tapi tetap kena berhati hati juga," katanya kepada mStar.

Mengimbas kembali 'adegan' tersebut, Eva memberitahu ketika itu dia dalam perjalanan pulang ke rumah selepas pulang dari pasar malam di Sri Rampai di ibu negara.

"Seorang lelaki tiba-tiba mengajak saya membantunya memberi makanan kepada kucing. Saya memang suka kucing dan saya tanya di mana kucing itu.

Saya masih ingat lagi muka dan pakaiannya. Dia pakai cermin mata, rambut sikat tepi, baju T-putih dan seluar tiga suku. Tangannya juga pegang beg plastik merah (makanan kucing) tetapi tak tahulah dia betul-betul minta tolong.

EVA NATASHA

"Dia jawab ada di belakang tasik tu sambil tunjuk lombong yang gelap dan mukanya senyum seperti mahu memujuk saya pergi ke sana.

"Ketika itu saya berminat tetapi menolak tawaran lelaki itu kerana teringat mahu menonton Doraemon, jadi saya mahu balik cepat-cepat.

"Saya terus kata padanya, takpelah bang saya takut kucing dan terus berlalu dari situ.

"Saya dengar dia jerit kalau tak nak tolong cakap jelah taknak tolong!" kongsi Eva di laman Twitternya.

Menurut Eva, dia terus menceritakan kejadian itu kepada ibunya kerana masih keliru dengan apa yang berlaku dan selepas itu pergi membuat laporan di balai polis.

"Disebabkan kejadian itu juga saya tak pergi sekolah seminggu kerana membantu siasatan kes Nurin, buat pengecaman muka dan pergi pasar malam Wangsa maju untuk cari lelaki itu.

Keratan akhbar The Star mengenai kanak-kanak hilang sebelum ini turut dikongsi oleh pengguna Twitter.

"Selepas itu keluar pula berita 'lelaki kucing'. Saya masih ingat lagi muka dan pakaiannya. Dia pakai cermin mata, rambut sikat tepi, baju-T putih dan seluar tiga suku.

"Tangannya juga pegang beg plastik merah (makanan kucing) tetapi tak tahulah kalau dia betul-betul minta tolong. Tapi bagi saya tak logik nak bagi kucing makan tapi minta tolong dari budak kecil macam saya ini.

"Sekarang baru saya boleh fikir semua ni kerana dulu asyik teringatkan Doraemon," jelasnya yang kini sudah bekerja di sebuah syarikat swasta.

Tambah gadis itu yang kini berusia 23 tahun, dia tidak boleh bayangkan apa yang berlaku jika dia mengikut lelaki berkenaan memberi makanan kepada kucing.

"Mungkin saya bernasib baik. Sampai sekarang masih teringat lagi bagaimana saya membantu pihak polis dan jadi 'detektif' mencari lelaki itu di sekitar pasar malam Wangsa Maju (Tasik Sri Rampai).

Sebahagian daripada komen warga Twitter mengenai perkongsian yang dimuat naik Eva.

"Malangnya sampai sekarang pembunuh Nurin masih bebas," katanya.

Kes culik bunuh Nurin bukan yang terakhir kerana lima bulan selepas itu seorang lagi kanak-kanak perempuan berusia lima tahun, Sharlinie Mohd Nashar hilang pada 9 Januari 2008 selepas bermain di taman permainan dengan kakaknya yang berusia lapan tahun.

Manakala pada Mac 2008, Mohd Asmawi Jalaludin, 11, turut hilang ketika dalam perjalanan pulang dari tempat permainan di kawasan rumahnya.

Perkongsian Eva itu mendapat perhatian warganet dan mendapat lebih 15,000 ulang kicau.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!
Nurin, culik, bunuh, hampir

Artikel Lain