suria

Roboh bar, bina surau salah satu usaha jadikan Long Beach di Pulau Perhentian bebas maksiat

Unit Penguatkuasa Daerah Besut, sambil dipantau polis merobohkan bar yang beroperasi tanpa lesen di Long Beach, Pulau Perhentian baru-baru ini.

"JIKA kita hilang pelancong mabuk, maka akan datang pelancong-pelancong dari negara Arab yang mahukan pelancongan patuh syariah," ujar Dr Riduan Mohammad Nor.

Penyelaras Parlimen Besut itu memberitahu, perobohan bar di Long Beach, Pulau Perhentian tidak akan menjejaskan jumlah kehadiran pelancong lain yang mahukan ketenangan.

Ia susulan Unit Penguatkuasa Majlis Daerah Besut dan pihak polis yang turun padang Isnin lalu bagi merobohkan bar beroperasi tanpa lesen yang terdapat di pulau peranginan terkenal itu.

ARTIKEL  BERKAITAN: Taman-Taman Sabah Siasat Aksi Gadis Main Pasir Separuh Bogel Di Pantai Sulug

Menurut Riduan, sebenarnya tindakan telah diambil beberapa kali sebelum ini terhadap penganjur pesta seumpama itu.

"Bar itu diroboh bukan selepas ia viral... pihak penguasa sudah beberapa kali cuba berbuat demikian, namun gagal kerana maklumat serbuan sentiasa bocor.

Sebuah bar di Long Beach diroboh Jumaat lalu.

"Mungkin pihak penganjur ada pasang 'kaki' di jeti untuk menyampai maklumat serbuan.

"Satu lagi faktor menyebabkan bar itu terus beroperasi mungkin sebab keuntungan besar yang diperolehi pihak penganjur.

"Tetapi setakat ini ada juga antara mereka (penganjur) yang ditahan dan dikenakan tindakan oleh mahkamah kerana menjual arak," jelasnya kepada mStar.

Kami akan menaikkan sebuah papan tanda yang memaparkan tentang enakmen Agama Islam Terengganu berkaitan hukuman tegas kepada peminum arak atau khamar.

DR RIDUAN MUHAMMAD NOR

Penyelaras Parlimen Besut 

Dalam pada itu, Riduan memberitahu, banyak desakan di media sosial meminta pihaknya supaya menjadikan Pulau Perhentian sebagai tempat bebas maksiat.

Katanya, beberapa usaha diambil termasuklah membina tempat beribadat yang dinamakan Surau Awam Long Beach Mosque secara gotong-royong April lalu, untuk kemudahan pelancong beragama Islam, penduduk setempat dan pekerja chalet di situ.

Pulau Perhentian Kecil kini mempunyai tempat beribadat dinamakan Surau Awam Long Beach Mosque. -foto Teganukite

"Pihak MPKK (Majlis Pengurusan Komuniti Kampung), Kampung Pulau Perhentian juga telah mengambil inisiatif membina sendiri sebuah surau di Long Beach dan melaungkan azan lima kali sehari sejak ia mula beroperasi Mei lalu.

Riduan mahu melihat Pulau Perhentian bebas maksiat.

"Untuk mengekang aktiviti tidak sihat ini daripada terus berlaku, kita perlu menguar-uarkan kepada pelancong bahawa Long Beach ini adalah tempat untuk menenangkan fikiran.

"Ia bukan tempat pesta arak. Dan InsyaAllah kami akan menaikkan sebuah papan tanda yang memaparkan tentang Enakmen Agama Islam Terengganu berkaitan hukuman tegas kepada peminum arak atau khamar.

"Malah jawatankuasa peringkat Daerah Besut juga akan sentiasa memantau Pulau Perhentian dan Long Beach ini," tambahnya.

Video dan gambar wanita separuh bogel sedang menari viral di media sosial. 

Sebelum ini tular dua rakaman video berdurasi 30 saat dan sembilan saat berserta gambar seorang wanita sedang menari dalam keadaan separuh bogel bersama seorang lelaki di sebuah chalet di pulau terkenal itu.

Bagaimanapun video yang tersebar itu adalah video lama, dikatakan dirakam pada  tahun 2017.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!
Long beach, Pulau Perhentian, bar, maksiat

Artikel Lain