MEDIA sosial digemparkan dengan tindakan seorang bapa dua anak yang mahu menjual buah pinggangnya sendiri kerana kesempitan hidup sehingga terpaksa berhutang dengan Ah Long. Lelaki berkenaan mengaburi orang ramai dengan memegang plakad ingin menderma organ itu, sebelum mengaku mahu menjualnya apabila ada yang mendekati dirinya. Apa yang dilakukannya itu menapat simpati orang ramai tetapi tak kurang juga menerima kecaman hebat di media sosial. Ini termasuk seorang individu yang dikatakan mahu membantunya tetapi menganggap kesusahannya itu hanya rekaan semata-mata gara-gara lambat memberikan respons. ARTIKEL BERKAITAN: Bukan derma, lelaki ini sebenarnya nak jual buah pinggang! Tiada MyKad nak mohon bantuan, “Tak kisah bayar berapa asalkan...” “Saya telah diminta untuk uruskan seseorang yang kononnya berhutang dengan Ah Long sehingga mahu menjual buah pinggangnya untuk membayar hutang Ah Long. “Saya telah menghubungi beliau tetapi tidak berjawab dan kemudiannya menghubungi isterinya untuk bertanyakan hal yang berkaitan seperti berapa banyak hutang dan berapa lagi baki yang perlu dibayar termasuk bunga. “Sampai petang tadi dia tidak memberi respons dan saya anggap sama ada dia tidak berminat ataupun cerita pinjam Ah Long itu hanyalah rekaan untuk dapatkan duit mudah,” menurut satu perkongsian di halaman Facebook pada Ahad lalu yang mendakwa lelaki itu hanya mahu meraih simpati untuk mendapatkan bantuan dengan cara mudah. Perkongsian di Facebook yang mempersoalkan kesahihan kisah seorang lelaki dibebani hutang Ah Long. Bercakap kepada mStar, lelaki tular itu yang hanya mahu dikenali sebagai Saiful mengakui menerima panggilan daripada seorang lelaki pada Ahad lalu, yang mahu membantu menyelesaikan kes hutangnya dengan Ah Long. Bagaimanapun, Saiful, 31, menjelaskan bahawa pada hari berkenaan dia begitu sibuk di rumah mentuanya dekat Bukit Mertajam, Pulau Pinang sempena Hari Raya Aidiladha. “Bukannya saya sengaja tak nak jawab panggilan dia. Saya OK nak berjumpa dengan dia sekiranya dia benar-benar mahu membantu. Saya juga boleh bawa dia jumpa Ah Long tu. “Tapi, dia perlu beri jaminan untuk menyelesaikan kes tersebut secara baik. Jika tidak, ia akan memberi kesan kepada saya dan keluarga terutama soal keselamatan,” katanya kepada mStar. Perbualan antara Saiful dengan individu yang mahu membantu menyelesaikan hutang Ah Long. Saiful yang berasal dari Segamat, Johor itu berkata, setakat ini baki hutang Ah Long mencecah RM1,500 dari jumlah pinjaman sebenar RM3,000. “Hutang Ah Long hanyalah sebahagian daripada masalah kewangan yang saya alami. Saya ada hutang lain yang perlu dilangsaikan. Pinjaman PTPTN (Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional) oleh isteri pun belum bayar,” dakwanya mengenai pinjaman pendidikan yang diterima isterinya semasa belajar di institusi pengajian tinggi namun enggan mengulas lanjut. Saya sekarang tertekan, bila orang salah erti dan tidak faham masalah saya... saya sanggup jual buah pinggang pun orang masih kata tipu. Lebih baik saya buat begini daripada saya meminta-minta nanti orang cakap ada orang lagi susah patut dibantu. SAIFUL Saiful turut mendakwa sudah ada pihak yang mahu membeli buah pinggangnya meskipun mengetahui menjual organ itu adalah satu kesalahan dan dilarang dalam agama Islam. “Orang tu mesej saya Sabtu lalu, katanya mahu mendapatkan buah pinggang untuk anak saudaranya berusia 20 tahun yang sakit. Mereka dari Perlis. “Dia setuju untuk beli dengan harga RM15,000. Dia kata akan bincang lagi nanti dan saya minta untuk jumpa di Pulau Pinang. Harap urusan berjalan lancar,” ujarnya yang berniaga ayam goreng secara kecil-kecilan. Saiful sedang berusaha untuk menyelesaikan hutang Ah Long. Saiful yang mendakwa dia telah mendaftar sebagai pengikrar derma organ sejak 2012 bagaimanapun menjelaskan bahawa pendapatan hariannya masih tidak mencukupi untuk menyara kehidupan sekeluarga dan melangsaikan hutang-hutang. “Saya sekarang tertekan, bila orang salah erti dan tidak faham masalah saya... saya sanggup jual buah pinggang pun orang masih kata tipu. Lebih baik saya buat begini daripada saya meminta-minta nanti orang cakap ada orang lagi susah patut dibantu. “Saya tahu (jual organ) salah, haram tapi apa lagi pilihan yang saya ada? Saya ingin membantu orang lain, dalam masa sama saya juga mahu dibantu. Saya nak selesaikan semua masalah kewangan supaya hidup kami sekeluarga tenang dan bahagia macam orang lain,” katanya.