BUKAN mudah untuk bersua muka dengan atlet idola yang biasanya hanya dapat dilihat di televisyen atau di akhbar sahaja.
Namun tuah bagi seorang rider GrabFood yang mendapat 'dua rezeki' dalam satu masa ketika membuat servis penghantaran makanan.
Biarpun baru dua bulan melakukan kerja menghantar makanan secara sambilan, pelajar kolej swasta berusia 22 tahun ini sudah merakam memori indah untuk disimpan sebagai kenangan.
ARTIKEL BERKAITAN: Tiada pasport, tak pernah ke luar negara tiba-tiba Zach King DM hantar mesej ajak jumpa, “Kalau tak pergi, mungkin saya akan menyesal”
ARTIKEL BERKAITAN: “Sign tang dada tu!” - Netizen cemburu Cristiano Ronaldo 'sign' autograf jersi Raf Yaakob
Pelajar jurusan akaun di Kolej Yes, Kuala Lumpur, Syazri Imran berkongsi perasaan teruja apabila dapat memberi khidmatnya kepada bekas perenang tersohor negara, Daniel Bego.
Biarpun sudah lama tidak beraksi di kolam, perenang Sukan Olimpik (2008 dan 2012) itu masih diingati oleh peminat sukan tanah air.
"Rabu lalu saya menerima pesanan untuk menghantar makanan. Apabila tengok namanya, ia sangat 'familiar'. Saya terus menghantar mesej kepadanya untuk pengesahan nama dan alamat.
"Apabila dia cakap memang 'Daniel Bego' memang saya sangat teruja. Memang tak tahu nak cakap apa ketika itu,” katanya kepada mStar.
Dengan penuh rasa teruja, dia terus membuat penghantaran kepadanya sekali gus bersemuka dengan atlet negara yang diminatinya itu.
"Apa yang boleh katakan, dia seorang yang peramah dan kami turut bergambar," katanya yang menghantar set ayam goreng dan air mineral kepada atlet tersebut.
Apabila dia cakap memang 'Daniel Bego' memang saya sangat teruja. Memang tak tahu nak cakap apa ketika itu.
SYAZRI IMRAN
Pelajar/ Rider Grab Food
Jelas Syazri yang berasal dari Bangi ini, dia turut berkongsi pengalaman itu dengan rakan-rakan rider lain di ruangan sembang WhatsApp.
"Ada juga yang seperti tidak percaya. Ada juga yang tak kenal. Tetapi apabila saya tunjuk gambar barulah mereka percaya.
"Saya juga ada beritahu ayah dan ibu bertemu Danial Bego. Ayah dan ibu senyum sahaja,” katanya.
Dalam masa sama kawan-kawan rider lain Syazri turut berkongsi pengalaman mereka yang pernah menghantar makanan kepada pemain bola sepak Amri Yahya dan lain-lain.
"Walaupun ia nampak biasa, tetapi bagi saya, bertemu dengan atlet terkenal tanah air, adalah satu kenangan buat diri saya.
"Saya harap selepas ini ada rezeki saya untuk bertemu dengan jaguh badminton tanah air, Datuk Lee Chong Wei," jelas anak kedua daripada lima orang adik beradik ini.
Dalam pada itu Syazri mengakui sejak membuat kerja sambilan ini, sedikit sebanyak dia sudah mula berdikari.
"Sedikit sebanyak dapat membantu saya dalam perbelanjaan harian. Sebelum ini harapkan duit ayah dan ibu sepenuhnya. Tetapi sekarang setakat duit makan minum tu cukuplah bagi saya.
"Manakala perbelanjaan besar (pengajian) masih dibantu keluarga," jelasnya yang berada di tahun ketiga pengajian.