suria

Gadis gusar ditawar masuk U, mujur simpanan haji mak cukup bayar yuran... “Selepas ini tak tahu macam mana nak teruskan pengajian”

Fazelah (kanan) bersama ibu dan adiknya. Foto kredit: Kampus Uols.

KESUKARAN hidup sejak kehilangan ayah sembilan tahun lalu tidak menghalang gadis ini untuk mengambil alih tugas menjaga ibu dan tiga adik-adiknya.

Biar pun hidup dalam serba kekurangan Nur Fazelah Abu Bakar, tidak pernah memadam hasratnya untuk belajar bersungguh-sungguh sehingga ke menara gading.

Peluang menerima tawaran untuk menyambung pengajian di Universiti Utara Malaysia (UUM) pada 3 September ini dianggap sebagai rezeki keluarga.

ARTIKEL BERKAITAN: Gigih buat 5 kerja sambilan dalam sehari, pelajar ini juga akui ‘tamak’ pointer, “Kampus tak besar, pusing-pusing akan nampak muka saya”

"Orang paling gembira adalah emak, Fatimah Ahmad. Memang mak sangat teruja apabila mendapat tahu saya berjaya menyambung pelajaran di peringkat Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Acara.

"Tawaran ini amat besar bagi saya kerana memang niat saya untuk mengubah hidup keluarga. Kami bukannya orang senang. Mak hanya berniaga kecil-kecil dengan menjual bihun dan kuih-muih.

Ramai warga Twitter prihatin untuk membantu Fazelah.

"Dengan wang itulah mak membesarkan kami empat beradik," ujar anak sulung berusia 20 tahun ini.

Jelas Fazelah sudah menjadi rutin hariannya untuk membantu ibunya menghantar kuih-muih ke gerai-gerai berdekatan Kampung Nongmie di Changlun, Kedah.

"Tidak dinafikan tawaran ke universiti memang menggembirakan saya sekeluarga. Tetapi jauh di sudut hati risau mengenai perbelanjaan kelak.

"Saya ada tanya mak macam mana dengan perbelanjaan nanti. Emak jawab tenang sahaja, "Jangan risau rezeki kamu pasti ada. Yakin sahaja dengan Allah".

Emaklah orang yang paling gembira selepas saya mendapat tawaran menyambung pengajian di UUM.

NUR FAZELAH ABU BAKAR

"Apabila mak cakap macam tu, hati saya pun tenang juga. Mujurlah yuran pengajian sebanyak RM2,133 sudah dijelaskan menggunakan simpanan Tabung Haji mak.

"Selepas ini belum tahu macam mana nak teruskan pengajian, tetapi saya tetap bersemangat untuk belajar bersungguh-sungguh," tambahnya.

Jelas Fazelah, dia agak terkejut apabila kisah kesusahan hidupnya telah jadi viral di Twitter.

"Saya tak ada Twitter. Kawan saya beritahu mengenainya. Saya berasa terharu dan berterima kasih kepada mereka yang telah membantu saya dan keluarga.

Fazelah bakal memulakan pengajiannya September ini.

"Tak mungkin saya mampu membalas satu persatu pertolongan mereka, hanya Allah sahaja yang dapat membalas jasa-jasa itu.

"Alhamdullilah ramai juga memberi sumbangan dan saya akan menggunakannya dengan sebaik mungkin," jelasnya.

Kisah Fazelah menjadi viral di laman Twitter apabila pengguna bernama Sally telah berkongsi dan mendapat lebih 4,000 ulang kicau.

Rata-rata pengguna Twitter yang lain turut memberi respon untuk membantu melancarkan urusan Fazelah dan keluarganya di universiti nanti.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!
Duit, sambung belajar, ijazah

Artikel Lain