SIAPA sangka kedai makan di tepi jalan yang beroperasi di Kampung Kuala Kenau, Sungai Lembing di Kuantan, Pahang sekelip mata menjadi perhatian ramai. Semuanya selepas Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan mencemar duli menikmati mi bandung di Kedai Makan Wan Masturah. Tunku Azizah sewaktu bertanyakan tentang mi bandung dari dalam kereta yang dipandu oleh Al-Sultan Abdullah. Menerusi video yang tular di media sosial selepas dikongsikan oleh pengguna Twitter, Nur Madihah, dalam keadaan hujan renyai-renyai kereta yang dinaiki Tunku Azizah berhenti di hadapan gerainya sebelum baginda bertanyakan tentang mi bandung hanya melalui tingkap. Ramai yang terhibur dengan gelagat bersahaja Tunku Azizah, selain memuji sikap rendah diri yang ditunjukkan baginda. ARTIKEL BERKAITAN: Comelnya! Tunku Azizah singgah kedai tepi jalan tanya mi bandung, siap ada permintaan - “Janji tau, ambil nombor telefon dia” Pengguna Twitter berkenaan, Nur Madihah Ahmad Rosdi berkata, Agong dan Raja Permaisuri sebelum itu berada di Sungai Lembing untuk berjumpa dengan rakyat. Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah bersama rakyat sewaktu menikmati hidangan mi bandung. Gadis berusia 23 tahun itu berkata, dia kemudian menyedari konvoi diraja itu akan melalui jalan di hadapan kedai makan yang diusahakan keluarganya. “Pada awalnya kami nak lambai saja pada Agong dan Raja Permaisuri, tapi tak sangka tiba-tiba Tuanku Permaisuri Agong tanya nak mi bandung. “Kedai makan kami memang terkenal dengan mi bandung, selain mi jawa dan mi kari,” katanya kepada mStar sambil menambah kereta yang dinaiki Tunku Azizah dipandu oleh Al-Sultan Abdullah, bersama konvoi pengiring. Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah bersama dua putera baginda menikmati mi bandung, mi jawa dan mi sup. Nur Madihah yang berasal dari Kuantan, Pahang itu berkata, ia merupakan pertama kali Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah berkenan mencemar duli ke kedai makan milik keluarga yang telah beroperasi sejak kira-kira 20 tahun lalu. “Bagaimanapun, mak ada beritahu yang ayahanda Agong iaitu Almarhum Paduka Ayahanda Sultan Ahmad Shah Al-Musta’in Billah Shah ibni Almarhum Sultan Abu Bakar pernah berkenan mencemar duli ke kedai makan ni, tapi dah lama dulu," katanya. Menurutnya, dua putera baginda turut serta iaitu Tengku Arif Bendahara, Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah dan Tengku Panglima Muda, Tengku Ahmad Ismail Muadzam Shah. Kedai Makan Wan Masturah kini menjadi perhatian ramai. Foto homestayu1.blogspot.com Menurutnya, Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah berkongsi mi bandung, manakala kedua-dua putera baginda masing-masing menikmati mi jawa dan mi sup. Nur Madihah memberitahu, dia sendiri membuat persiapan untuk bahan-bahan mi bandung berkenaan, sebelum ia dimasak oleh seorang pekerja dan ibu saudaranya. Memang rasa gemuruh, tapi pada masa sama bertuah dan terharu kerana hidangan kami yang menjadi kegemaran orang Kuantan khususnya turut dinikmati baginda. NUR MADIHAH “Saya sampai terketar-ketar tangan nak sediakan bahan-bahan untuk mi bandung tu. Ye lah, yang datang nak rasa mi bandung tu Agong dan Raja Permaisuri. “Memang rasa gemuruh, tapi pada masa sama bertuah dan terharu kerana hidangan kami yang menjadi kegemaran orang Kuantan khususnya turut dinikmati baginda yang cukup mesra dan peramah,” katanya sambil menambah Tunku Azizah turut meminta resepi mi bandung. Kehadiran Tunku Azizah (tengah) amat disenangi rakyat. Anak keempat daripada lima beradik itu berkata, Kedai Makan Wan Masturah beroperasi dari pukul 9 pagi hingga 6.30 petang. Bagaimanapun katanya, kedai makan mereka terpaksa ditutup lebih awal pada Ahad berikutan sambutan hangat daripada orang ramai selepas video yang tular. “Biasanya hujung minggu kami memang sediakan satu periuk besar kuah mi bandung, dan kedai tutup pukul 6.30 petang atau dilanjutkan sehingga 7 malam. “Tapi hari ini, kedai kami terpaksa tutup lebih awal kerana bahan-bahan dan kuah dah habis pada pukul 4 petang. Ramai betul nak makan mi bandung, penangan santapan Agong dan Raja Permaisuri. Kami bersyukur dan berterima kasih yang tak terhingga,” kata Nur Madihah. View this post on Instagram A post shared by mStar (@mstaronlineofficial) on Sep 14, 2019 at 8:16pm PDT View this post on Instagram A post shared by mStar (@mstaronlineofficial) on Sep 14, 2019 at 10:09pm PDT