DISERANG strok hanya beberapa bulan sebelum melangsungkan perkahwinan, namun ia langsung tidak mematahkan semangat Mohd Aliff Mohd Saidi untuk meneruskan majlis bagi meraikan hari bahagianya. Video resepsi Mohd Aliff, 32, yang menunjukkan dirinya duduk di kerusi roda sambil ditolak oleh pasangannya, Hazreen Affiza Muhammad, 30, ternyata mengundang sebak netizen sehingga ia menjadi tular di laman Twitter. Bercakap kepada mStar, pengantin perempuan yang mesra disapa Yin mengakui kagum dengan semangat suaminya yang nekad meneruskan majlis biarpun dalam keadaan kurang sihat. ARTIKEL BERKAITAN: “Mama jelah sanding nanti, kita nak nikah je” - Anak mulut masin, mak ayah jadi ‘pengantin’ di majlis perkahwinan idamannya ARTIKEL BERKAITAN: Hantaran hangus sejam selepas siap, tapi semasa kemas rumah pengantin tak sangka terjumpa sesuatu yang istimewa "Dia kena strok pertama pada bulan puasa hari tu, kaki sebelah kanan keras dan terus tak boleh bergerak... serangan strok kedua berlaku seminggu selepas itu. "Strok ketiga pula berlaku pada 16 Ogos lalu ketika dia berada di surau untuk mengerjakan solat Maghrib bersama ayahnya. "Semangat dia kuat dan tidak pernah pudar. Dia masih mahu teruskan majlis itu walaupun tahu keadaannya tidak mengizinkan," ujar Yin sewaktu dihubungi pada Rabu. Saya mencintai Aliff dengan sepenuh hati. Saya menerima kekurangan dirinya dan selama empat tahun perkenalan, kami mengharungi susah dan senang bersama. HAZREEN AFFIZA Mengakui sebak memikirkan keadaan kesihatan suaminya, Yin turut mengimbas saat mereka diarak memasuki dewan sewaktu majlis resepsi yang berlangsung di Dewan Willqadry Grandeur, Putrajaya pada Ahad lalu, sehari selepas diijabkabulkan. Selain dirinya sendiri yang membisikkan kata-kata semangat untuk suami, hadirin yang terdiri daripada keluarga dan sahabat turut terharu melihat mereka pada waktu itu. "Melihatkan keadaan dia ketika itu membuatkan saya rasa sebak, tapi dia sangat tenang. Saya cakap kat dia, kita boleh buat. "Alhamdulillah semua berjalan lancar. Tetamu juga sangat terharu, sedih dan gembira dalam satu masa. Saya bersyukur dapat keluarga dan kawan yang sangat supportive. Foto dua mempelai ketika majlis perkahwinan mereka. "Keadaan sekeliling yang positif membuatkan saya lebih yakin untuk meneruskan majlis," kata Yin lagi. Berkenalan sekitar empat tahun lalu, Yin juga mengharapkan suaminya yang kini perlu menerima rawatan berkala dapat sembuh secepat yang mungkin. Malah, dia juga menerima segala ketentuan yang berlaku dan sanggup mengharungi susah senang bersama sebagai suami isteri. "Saya mencintai Aliff dengan sepenuh hati. Saya menerima kekurangan dirinya dan selama empat tahun perkenalan, kami mengharungi susah dan senang bersama. "Saya yakin dan berharap semoga dia akan pulih dan sihat seperti dahulu. Saya akan terus dan tidak akan berhenti membantu Aliff untuk pulih seperti sedia kala," katanya lagi. Paparan skrin posting tular pasangan itu. Antara yang turut hadir pada majlis itu adalah pasangan pelakon Fasha Sandha dan suaminya, Aidil Aziz yang juga rakan baik kepada pengantin lelaki. View this post on Instagram Selamat pengantin baru. Kita doakan agar pengantin lelaki cepat sihat seperti sedia kala. Baca kisah mereka di mStar, boleh swipe up Ig Story:Highlight. #mstaronline #mstarMoi A post shared by mStar (@mstaronlineofficial) on Sep 18, 2019 at 9:22pm PDT Ujar Fasha, dia tidak mampu menahan air mata sewaktu melihat pasangan pengantin berjalan menuju ke pelamin. "Tak pernah air mata turun tak berhenti. Jenuh juga tahan untuk sembunyikan. Gugur juga air mata melihat pasangan ini. "Paling kagum dengan isteri yang menerima kekurangan suami yang tiba-tiba diserang strok tiga kali sebelum berlangsungnya perkahwinan. Kuat dan tabahnya Yin," tulis Fasha di Instagramnya. Dalam pada itu, video resepsi mereka yang tular sehingga kini menerima lebih 70,000 tontonan. Video yang dimuat naik oleh adik kepada pengantin perempuan itu turut dihujani dengan pelbagai komen netizen. "Tak tahu kenapa berair mata aku tengok video ni. "Tahniah buat mereka berdua. Semoga kekal hingga ke jannah true love sad story. "Mata masuk habuk dan terharu," tulis beberapa pelayar Twitter.