suria

Tren tak penuh tapi tetap datang dekat, duduk rapat! Gadis lega lelaki gila seks akhirnya ditangkap - “Satu je saya nak pesan...”

'FLASHER' ada di mana-mana! Khas buat golongan wanita, anda perlu sentiasa berjaga-jaga untuk mengelak sebarang kejadian yang tak diingini.

Tular berita mengenai tindakan seorang lelaki menunjukkan kemaluannya di dalam koc Transit Aliran Ringan (LRT) pada 3 September lalu sekali gus mengundang trauma buat mangsa yang merupakan seorang gadis.

Menurut Nur Afiqah So:Fian, 25, ketika kejadian dia menaiki pengangkutan awam Putra Kelana Jaya Lane dari stesen KLCC ke Glenmarie Shah Alam.

ARTIKEL BERKAITAN: Diraba lelaki ketika baru berusia 10 tahun buat wanita ini trauma sepanjang hayat, "Tiada maaf untuk pedofilia... mereputlah dalam penjara selamanya"

"Masa saya duduk di dalam tren tu, ada seorang lelaki dalam lingkungan 30 tahun berdiri terlalu rapat depan saya dan beberapa kali menolak kaki saya dengan lututnya, bergesel-gesel macam nak ambik perhatian saya.

"Tapi saya tak layan, lepas tu lebih kurang 20 minit kemudian lelaki tu menunjukkan kemaluannya kepada saya," kata Afiqah kepada mStar.

Berdepan pengalaman pertama seumpamanya,  barista sambilan berusia 25 tahun ini  trauma sehingga menggigil berdepan dengan lelaki yang bertindak sedemikian.

"Mula-mula tu agak peliklah kenapa tiba-tiba lelaki tu datang dekat dengan saya sedangkan tren tak penuh. Tapi saya buat tak tahu je sampailah tiba-tiba dia buat perkara tak senonoh depan saya. Saya terkejut sehingga terdiam tak boleh fikir nak buat apa.

"Kemudian saya terus hubungi talian hotline Rapid KL untuk memaklumkan kejadian tersebut. Masa saya tengah cakap dengan polis bantuan, lelaki tu terus larikan diri turun di stesen Lembah Subang," kongsinya lagi.

Satu je saya nak pesan, walaupun anda ada di tempat awam, tolonglah berada dalam kelompok yang ada ramai wanita. Kalau boleh sentiasa bawa anti-rape alarm atau gunakan alat semburan lada sebab bahaya ada di mana-mana

NOR AFIQAH SOFIAN

MANGSA

Susulan itu juga Afiqah telah diminta melakukan proses pengecaman lelaki tersebut berdasarkan rakaman CCTV oleh polis bantuan di stesen Lembah Subang.

"Selepas buat pengecaman, polis bantuan minta saya terus membuat laporan polis," kata Afiqah selepas membuat laporan rasmi kejadian itu di Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya.

Posting yang dimuat naik oleh Akif memaparkan salinan laporan polis menarik perhatian netizen.

Terdahulu pada 4 September, tular satu posting yang dimuat naik di laman Twitter @akifzain9  yang juga teman lelaki kepada Afiqah dengan kapsyen 'Tolong berhati-hati terutamanya wanita semasa menggunakan pengangkutan awam.' Posting ini meraih kira-kira 11,600 ulang kicau (retweet).

Selepas tujuh hari membuat pengecaman, Akif sekali lagi membuat bebenang (thread) pada 10 September lalu di posting tersebut memaklumkan bahawa lelaki itu akhirnya berjaya ditangkap dan mengaku bersalah.

"Lelaki tu mengaku bersalah dan pihak polis akan membuka semula kes tersebut. Dan saya diminta untuk hadir ke mahkamah bagi memberi keterangan sebagai saksi. Namun, tarikh perbicaraan kes tersebut saya belum tahu lagi," kata Afiqah.

Afiqah berharap golongan wanita perlu lebih berhati-hati jika keluar berseorangan.

"Satu je saya nak pesan, walaupun anda berada di tempat awam, tolonglah berada dalam kelompok yang ada ramai wanita. Kalau boleh sentiasa bawa anti-rape alarm atau gunakan alat semburan lada (pepper spray) sebab bahaya ada di mana-mana," nasihatnya.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!
Gadis, trauma, bergesel-gesel

Artikel Lain