ALAM persekolahan peringkat menengah selalu dikaitkan dengan pembentukan jiwa remaja yang baru berjinak-jinak dengan dunia percintaan. Ada yang menganggap 'cinta monyet' di bangku sekolah sebagai sia-sia dan buang masa. Sebaliknya ada juga yang menjadikannya sebagai dorongan untuk lebih berjaya dalam pelajaran. Namun tidak semua yang mampu mengimbangkan perasaan cinta dan pelajaran ketika di alam persekolahan. ARTIKEL BERKAITAN: Penangan cinta monyet, pelajar berkurung selepas awek lesap... ibu juga jadi penyelamat, “Saya terdiam, faham apa yang mama sampaikan” ARTIKEL BERKAITAN: Rasa 'cinta' murid tahun 3 terbongkar, pelajar senior jumpa surat tercicir dalam van, “Walaupun kau coklat, aku tetap suka kau” Bagi Nurhaizatul Alya Mohd Haizul, dia membuktikan cinta monyet zaman sekolah bersama Kama Muharris Kama Renzi telah memberi inspirasi kepada mereka untuk terus berjaya dalam pelajaran. Norhaizatul atau lebih mesra disapa Alya memberitahu, dia mengenali Kama sejak mula melangkah ke sekolah menengah di Presint 8, Putrajaya. Alya berkongsi gambar bersama Kama bermula PT3 sehingga tamat pengajian di UM. "Sebenarnya kami adalah kawan baik sebelum serius menjalinkan hubungan cinta pada usia 15 tahun. Ketika itu kami telah mula bersaing untuk mendapatkan markah terbaik dalam peperiksaan. "Saya bersyukur kerana Kama seorang yang sentiasa bersemangat untuk bersaing antara satu sama lain sehinggalah tamat peringkat sekolah menengah. "Sebaik sahaja tamat SPM, kami berjaya meneruskan pengajian di Universiti Malaya (UM), dalam kursus yang sama Diploma Pengurusan Perniagaan," kongsi gadis berusia 20 tahun ini Alya mStar. Menurut Alya, sepanjang pengajian di universiti, dia dan Kama selalu 'betting' siapa yang akan mendapat keputusan hingga memperoleh Anugerah Dekan. "Hubungan kami bukan seperti orang lain yang sibuk merancang untuk berkahwin selepas tamat pengajian. Kami telah meletakkan penanda aras untuk mengejar cita-cita dan membina kerjaya terlebih dahulu sebelum fikir tentang perkahwinan. Kami masing-masing faham tanggungjawab dan cita-cita untuk berjaya sebelum fikir tentang perkahwinan. NURHAIZATUL ALYA MOHD HAIZUL "Kami masing-masing faham tanggungjawab sebagai anak dan pelajar yang menjadikan saya dan Kama lebih bersemangat untuk menamatkan pengajian dengan cemerlang. "Sebenarnya, selepas SPM sebelum ini Kama mahu menyambung kursus dalam bidang penerbangan untuk menjadi juruterbang. "Tetapi ketika itu, dia meneruskan pengajian di UM dahulu dan sama-sama berjaya menamatkan kursus ini dengan baik," jelas anak sulung daripada dua beradik ini. Alya mengakui hubungan cintanya ini bakal diuji apabila Kama menerima tawaran untuk menjalani kursus sebagai juruterbang di luar negara bermula November ini untuk tempoh lebih kurang dua tahun. "Pada mulanya memang saya terkejut dan berasa sedikit takut kerana pertama kali bercinta jarak jauh ini. Alya dan Kama berkawan sejak Tingkatan 1. "Ada juga yang cuba memberi reaksi negatif mengenai hubungan jarak jauh, tetapi saya mengenali Kama dan tahu impiannya. "Tetapi apabila fikir secara rasional, saya mengaku itu adalah cita-citanya dan saya gembira dia dalam 'perjalanan' membina karier kehidupannya. "Saya pula merancang untuk menyambung pengajian di peringkat ijazah dan sarjana. Selepas itu, kalau ada jodoh baharulah kami akan berbincang untuk melangkah ke fasa seterusnya dalam hubungan ini," katanya yang tinggal di Putrajaya. Alya juga mengaku, hubungan mereka berdua berjalan lancar sejak zaman persekolahan disebabkan restu kedua ibu bapa, malahan keluarga dia dan Kama saling mengenali antara satu sama lain. "Bagi saya setiap hubungan ada pasang surutnya. Sekiranya ada apa-apa isu yang timbul kami lebih suka berbincang dan menyelesaikannya dengan baik," ujarnya. Alya bakal berjauhan dengan Kama yang akan terbang menjalani kursus juruterbang November ini. Alya berkongsi saat manis bersama Kama selepas majlis konvokesyennya Rabu lalu di laman Twitter dan mendapat lebih 8,000 ulang kicau. Rata-rata netizen turut teruja dengan pencapaian pasangan kekasih ini dan turut meminta tip mengekalkan hubungan percintaan.