suria

Personaliti bagai langit dan bumi, 52 saat soalan kuiz lulus cemerlang! - “Enam tahun bercinta baru dapat kahwin, sekarang dah 25 tahun”

Pasangan suami isteri, Abdul Malek Jalil dan Norita Lamat menyertai permainan 'Pasangan Serasi' semasa hari keluarga di Melaka, baru-baru ini. Foto ihsan Muhammad Norazmaly Abdul Malek

JIKA ada soalan kuiz mengenai pasangan, mungkin ada suami atau isteri yang kecut perut kerana bimbang jawapan mereka tidak serasi.

Menerusi satu video yang dikongsikan di media sosial, sepasang suami isteri dikehendaki menjawab soalan kuiz mengenai pasangan masing-masing.

“25 tahun berkahwin disimpulkan dalam tempoh 52 saat,” menurut perkongsian seorang pemuda apabila kedua-dua ibu bapanya berjaya menjawab enam soalan.

ARTIKEL BERKAITAN: “Kami nak bagi ayah kalah…” - Anak pasangan comel main ‘Pie Face Showdown’

ARTIKEL BERKAITAN: Ada master, 24 jam sebelum nikah wanita ini ditanya kenapa pilih pemandu lori sebagai suami – “Keluarga minta wang hantaran ikut kemampuan, tapi pihak lelaki beri lebih...”

ARTIKEL BERKAITAN: Pasangan sekuliah buat ramai tertanya-tanya, dulu macam ‘nerd’ kini mengancam – “Bincang punya bincang keluarga kata lebih baik kahwinkan aje”

Pemuda berkenaan, Muhammad Norazmaly Abdul Malek, 22, berkata, video tersebut dirakamkannya semasa hari keluarga sebelah bapanya di Melaka, baru-baru ini.

Muhammad Norazmaly (dua, kanan) bersama ibu dan ayah serta adik-adiknya pada hari keluarga.

Anak sulung daripada empat beradik itu memberitahu, terdapat lapan permainan yang dianjurkan keluarga besarnya tetapi hanya satu yang meraih perhatian bapanya.

“Ayah saya ni seorang yang pemalu. Banyak permainan dan sukaneka yang kami anjurkan, tapi ayah tak berminat. Dia hanya tengok kami terlibat saja.

“Tapi ayah kemudian tiba-tiba berminat nak sertai satu permainan kuiz ni. Alasan ayah sebab tak penat dan tak keluar peluh,” katanya kepada mStar.

Muhammad Norazmaly berkata, permainan yang dinamakan ‘Pasangan Serasi’ itu memerlukan setiap kumpulan terdiri daripada pasangan suami isteri untuk membuat satu cabutan yang mempunyai enam soalan.

Jelasnya, setiap soalan itu akan ditanya kepada suami isteri yang duduk membelangkangi antara satu sama lain, dan hanya perlu mengangkat tanda sama ada jawapan itu merujuk kepada isteri atau suami.

Pasangan suami isteri ini telah mendirikan rumah tangga selama 25 tahun.

Menerusi video berdurasi 52 saat itu, soalan-soalan yang ‘panas’ itu adalah anak-anak lebih rapat dengan suami atau isteri, siapa paling penyabar, siapa mula memikat semasa bercinta, siapa paling sporting, siapa paling cerewat mengenai makanan dan siapa yang mudah menangis.

“Mula-mula kami anak-anak terkejut sebab ayah dengan sukarela nak sertai permainan ni. Kami bertambah terkejut dalam diam, ayah dan ibu serasi menjawab soalan-soalan tersebut.

“Memang tak sangka sebab ayah ni sebenarnya garang, tegas tapi prihatin terhadap keluarganya. Sayang memang dia tak tunjuk,” ujar pelajar Ijazah Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Pesawat Terbang (Mekanikal) di Universiti Kuala Lumpur-Institut Teknologi Penerbangan Malaysia (UniKL-MIAT) di Sepang, Selangor.

Nenek (sebelah ibu) masa tu kata ibu masih terlalu muda nak kahwin. Jadi mereka kahwin selepas lebih enam tahun, dan bertunang dua tahun sebelum mendirikan rumah tangga.

MUHAMMAD NORAZMALY 

Mengimbas kembali detik perkenalan ibu bapanya, Abdul Malek Jalil, 50, dan Norita Lamat, 49, kata Muhammad Norazmaly, kedua-dua mereka belajar di sekolah yang sama tetapi hanya sekadar rakan biasa.

“Semasa ayah di tingkatan lima, dia terlibat dalam kemalangan motosikal sehingga patah kaki. Ayah terpaksa menangguhkan persekolahan akibat kemalangan itu.

“Ayah menyambung semula persekolahan pada tahun berikutnya dan mereka sama-sama belajar di tingkatan lima sebelum mulai rapat dan bercinta,” katanya.

Perkenalan sejak di sekolah menengah.

Dia yang menetap bersama keluarga di Kampung Alai, Melaka berkata, usia ibu yang masih muda ketika itu menyebabkan kedua-duanya bercinta lebih enam tahun.

“Nenek (sebelah ibu) masa tu kata ibu masih terlalu muda nak kahwin. Jadi mereka kahwin selepas lebih enam tahun, dan bertunang dua tahun sebelum mendirikan rumah tangga.

“Personaliti ibu dan ayah berbeza tapi kedua-dua mereka saling melengkapi. Contohnya, ayah garang bila nak mendisiplinkan anak-anak, jadi ibu pula akan jadi tempat anak-anak mengadu,” katanya secara berseloroh.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!
kahwin, ibu, ayah, jodoh

Artikel Lain