KEBERANIAN seorang guru berkongsi mengenai kesihatan mentalnya secara terbuka ternyata menarik perhatian ramai. Selain reaksi positif, dia juga turut menerima kesan buruk susulan penularan kisahnya sebelum ini. Ujar Mohamad Safwan Zulqarnain Jebat, kemunculannya dalam sebuah program bual bicara sebuah stesen televisyen tempatan baru-baru ini mengubah kehidupannya 360 darjah. ARTIKEL BERKAITAN: Guru depresi sering menangis sebelum tidur, rasa hidup kosong akhirnya diselamatkan murid sendiri, “Ada syurga di kelasku” ARTIKEL BERKAITAN: Awas! OCPD, MDD buat pemuda ini beberapa kali nak bunuh diri kerana ‘penjara’ ciptaan sendiri Dia yang sebelum ini bekerja secara kontrak sebagai Kumpulan Guru Simpanan Kerajaan (KGSK) di beberapa sekolah mula berhadapan cabaran yang disifatkannya sebagai worst nightmare (mimpi buruk). "Segelintir ibu bapa membatalkan hasrat melantik saya sebagai tutor untuk anak mereka kerana kesihatan mental saya. "Beberapa minggu lalu, saya ditolak permohonan untuk menjadi guru kerana memperjuangkan kesihatan mental secara terbuka dan pernah ada cubaan bunuh diri," katanya berterus terang. Kehadiran murid-murid memberi sinar buat Safwan dalam meneruskan hari-hari mendatang. Bercerita lanjut kepada mStar, dia yang mesra disapa Safwan mengakui sedih dengan realiti yang dihadapinya. Namun kata anak kelahiran Larkin, Johor itu, dia langsung tidak menyesal tampil dalam rancangan bual bicara berkenaan, sekitar dua bulan lalu. "Saya tak menyesal muncul dalam TV. Saya dah perjuangkan secara sendirian hal ini hampir tiga tahun. "Sebelum ini ada pihak berkaitan yang enggan membantu dan kini mereka menerima usaha saya. Ianya menyedihkan dan sukar. Tapi saya kena bergerak ke hadapan. Selepas badai pasti ada pelangi. SAFWAN "Agak sedih dan sukar kerana pada usia 27 tahun, saya perlu menyara diri sendiri. Ada kesusahan dari segi kewangan bila tak ada kerja," ujarnya sewaktu dihubungi. Namun kata Safwan, masih ada lagi ibu bapa yang meneruskan khidmatnya sebagai tutor untuk anak mereka. Malah katanya, dia bersyukur apabila mereka mempercayai bakat serta kebolehannya dalam mendidik pelajar. Dalam pada itu, Safwan mengakui turut berhadapan ugutan bunuh apabila dia aktif memperjuangkan isu kesihatan mental di media sosial. "Saya terima ugutan bunuh, mungkin sebab mereka lihat saya bangga dengan keadaan saya. "Sejujurnya saya bangga dengan diri sendiri sebab berani mencari bantuan dan rawatan untuk keluar dari masalah ini, bukannya bangga dengan keadaan ini. Perkongsian Safwan di Twitter. "Ianya menyedihkan dan sukar. Tapi saya kena bergerak ke hadapan. Selepas badai pasti ada pelangi," ujarnya lagi. Kisah Safwan sebelum ini turut mendapat liputan mStar. Menerusi laporan pada 5 September lalu, dia berkongsi kisah hari terakhirnya mengajar di sebuah sekolah. Kata Safwan, dia yang mula dihantui kemurungan selepas kematian bapanya pada 2013 mula keluar dari kepompong depresi dengan bantuan murid-murid kesayangannya. Malah, dia juga pernah tular kerana kreativitinya menggunakan elemen teater lengkap dengan kostum menarik dalam mengajar subjek Sejarah, Bahasa Inggeris dan Bahasa Melayu buat murid-muridnya.