suria

Pemuda usung jenazah, tapi tak mahu sahabat masuk liang - “Saya tak sedap hati... Bunyi gagak tu pelik, macam nak sampaikan sesuatu”

Asip meninggal dunia pada petang Sabtu lalu akibat kecederaan parah di kepala dan organ dalamannya.

"ASYIK aku ja cari korang. Korang bila nak cari aku?"

Itulah kata-kata terakhir Ahmad Hasif Aminuddin dalam grup WhatsApp bekas pelajar Sekolah Menengah Tun Tuah di Kampung Lapan, Bachang, Melaka beberapa minggu sebelum menghembuskan nafas terakhirnya pada petang Sabtu lalu.

Pemuda berusia 26 tahun itu meninggal dunia di Hospital Sultan Ismail Johor Bahru kira-kira pukul 6.45 petang Sabtu kerana mengalami kecederaan parah selepas terlibat dalam kemalangan jalan raya di Lebuhraya Senai-Desaru.

ARTIKEL BERKAITAN: Tak rapat, tapi rakan 'caring' semacam masa konvo petanda ajal... diajak bergambar beri alasan - “Dia sempat toleh belakang tengok jubah saya”

ARTIKEL BERKAITAN: Video tribute buat Caluq bukti sayang, rakan menangis teresak-esak - “Dia baru lepas gunting rambut sebelum jadi mangsa langgar lari”

Motosikal berkuasa tinggi ditunggangi Ahmad Hasif dipercayai gagal mengelak sebuah kereta yang membuat pusingan U secara tiba-tiba di kawasan yang tidak dibenarkan di lebuh raya berkenaan pada pagi Jumaat lalu.

Hasil bedah siasat mendapati pemuda itu yang bekerja sebagai cef di Desaru, Johor Bahru sejak lima bulan lalu itu mengalami kecederaan parah di kepala dan organ dalamannya.

Keadaan motosikal berkuasa tinggi milik Asip rosak teruk selepas terlibat kemalangan dengan sebuah kereta jenis Grand Livina di Lebuhraya Senai-Desaru.

Kisah pemergian Ahmad Hasif atau lebih mesra disapa Asip dikongsi rakan rapatnya, Muhammad Syahmi Dinie Abdullah di Twitternya.

Perkongsian tersebut turut mengundang sebak netizen.

Menurut Muhammad Syahmi, pemergian Asip benar-benar mengejutkannya memandangkan mereka berkawan rapat sejak kecil.

"Memang saya terkejut dan sedih. Saya cuba tahan air mata tapi tak boleh, saya nangis juga senyap-senyap. Rasa terkilan sebab masa last jumpa dia Februari lepas kami tak borak banyak. 

Sebenarnya banyak benda pelik berlaku. Macam saya sendiri saya dapat rasa ada sesuatu tidak kena dua hari sebelum arwah meninggal.

MUHAMMAD SYAHMI DINIE ABDULLAH.

"Kami sebenarnya agak rapat sebab membesar sama-sama, duduk sebelah menyebelah dalam satu kelas yang sama. Petang-petang bila saya balik dari asrama waktu sekolah menengah kami akan main bola sama-sama.

"Malah kami pergi tadika pun sama-sama. Kebetulan mak arwah suri rumah jadi lepas balik sekolah saya akan duduk dengan keluarga arwah sehinggalah saya darjah lima pada 2005," katanya.

Syahmi (kiri) bertemu kali terakhir dengan Asip (empat dari kanan) pada 16 Februari lalu.

Bukan itu sahaja, Syahmi berkata dia paling terasa kehilangan Asip sewaktu mengusung jenazah arwah.

"Waktu usung arwah dari van jenazah ke liang lahad saya rasa macam tak nak bagi Asip masuk dalam liang lahad pun ada.

"Mulanya sukar untuk saya terima kerana Asip pergi secara mengejut tanpa sempat bertanya khabar. Saya ada terasa sedikit tapi takdir Allah itu cantik.

"Saya tolak tepi perasaan itu cuma saya rasa sedih bila dengar cerita kawan-kawan lain pasal Asip," katanya.

Dedah Syahmi, dia merasa tidak sedap hati beberapa hari sebelum Asip meninggal dunia.

"Sebenarnya banyak benda pelik berlaku. Macam saya sendiri dapat rasa ada sesuatu tidak kena dua hari sebelum Asip meninggal.

"Ada seekor burung gagak dekat luar pejabat saya. Saya selalu dengar bunyi burung gagak tapi kali ni bunyi tu lain sikit... macam nak sampaikan sesuatu.

Jenazah Asip selamat dikebumikan pada pagi Ahad di kampung halamannya di Melaka.

"Masa tu memang saya tak sedap hati. Esoknya saya dapat tahu Asip accident dan petang Sabtu dia disahkan meninggal dunia," katanya yang menyifatkan Asip sebagai seorang sahabat yang baik dan happy go lucky.

Pada masa sama, Syahmi turut berkata beberapa rakan mereka juga berkongsi perlakuan pelik Asip.

"Dia cerita dekat kawan kalau boleh dia nak jumpa semua orang. Masa tu 10 hari sebelum meninggal Asip belanja (makan) satu family dia dan kawan sekolah menengah.

"Lepas tu tiga minggu lepas dia ada kata nak cari kawan kami nama Amir. Dia kata nak minta maaf sebab ada sedikit salah faham antara mereka dua tahun lalu.

"Dia kata nak jumpa Amir dekat KL tapi tak sempat. Masa lepas dapat tahu berita pasal Asip memang Amir meraung. Dia hilang kata-kata sebab sedih dengan berita kematian Asip," katanya.

Jenazah Asif dikebumikan di Perkuburan Kampung Kolek, Kampung Lapan Melaka kira-kira pukul 11 pagi Ahad.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain

38 maut nahas pesawat di Kazakhstan