“PADA ketika ini, barulah kita sedar bahawa nikmat kesihatan itu sangat berharga,” demikian kata seorang gadis yang kini terlantar di hospital selepas ditimpa kemalangan baru-baru ini. Hanya mahu dikenali sebagai Shafikah, gadis ini berkongsi cerita mengenai kemalangan yang menimpanya gara-gara kecuaian seorang pemandu kereta. Menurut gadis berusia 23 tahun ini, kejadian berkenaan berlaku pada 13 November lalu ketika dia sedang menunggang motosikal untuk ke tempat kerjanya yang terletak di Batu Berendam, Melaka. ARTIKEL BERKAITAN: “Kami tengok betul-betul, jari kelingkingnya dah tinggal separuh” - Awas, pintu gril ada bahaya tersembunyi, kanak-kanak ini hancur semua urat! ARTIKEL BERKAITAN: Darah keluar banyak sebab salah pasang tiub, doktor kata ‘tak ada masalah’... balik rumah isteri nak pitam tengok suami terketar tahan sakit “Ketika itu pukul 8.30 pagi dan saya menunggang motosikal bersendirian untuk ke tempat kerja yang terletak di Taman Merdeka. Ketika tiba di satu persimpangan lampu isyarat, waktu itu sedang menunggu lampu merah bertukar hijau. “Saya di sebelah lorong kanan sedang bergerak untuk ke hadapan sedikit, tetapi secara tiba-tiba, sebuah kereta yang berada di sebelah kiri saya menukar arah untuk belok ke lorong kanan tanpa beri signal. Tak tahulah dia tak nampak saya ataupun dia sedang fokus pada jalan di hadapan. “Akibatnya, saya terpelanting dan badan terhentak di atas jalan. Selepas kejadian, saya masih sedar, namun berasa sangat sakit dan langsung tidak boleh menggerakkan badan. Mujurlah ada seorang pakcik yang juga orang kampung saya ada di tempat kejadian. “Dialah yang menghubungi ahli keluarga dan ambulans. Malah dia juga yang ambil gambar lokasi kemalangan, butir-butir berkenaan pemandu kereta tersebut bagi pihak saya,” katanya kepada mStar. Shafikah perlu memakai besi halo vest untuk menyokong tulang tengkuknya. Menurut Shafikah, kemalangan tersebut menyebabkan tulang tunjang tengkuk dan empat tulang belakangnya patah. “Saya kini perlu memakai besi ‘halo vest’, iaitu besi yang dipasangkan di kepala untuk menyokong dan meluruskan tulang. Untuk pemasangan besi ini, kepala saya ditebuk untuk memasukkan empat skru, iaitu dua di depan dan dua di belakang. “Alat ini perlu dipakai selama tiga bulan bagi membolehkan tulang-tulang bercantum semula. Ketika pemasangan itu dilakukan, saya dibius namun setiap torehan dan tebukan itu saya dapat rasainya. “Bila difikirkan semula, saya kagum dengan diri sendiri kerana tak sangka mampu melalui semuanya,” katanya yang bekerja sebagai pegawai khidmat pelanggan di sebuah syarikat. Antara komen rakan-rakan yang mendoakan kesembuhan buat Shafikah. Bercerita lebih lanjut, Shafikah berkata pada ketika ini dia yang masih dirawat di hospital hanya mampu duduk dan memerlukan bantuan untuk menguruskan diri. “Pada ketika inilah, saya dapat melihat bagaimana ibu, ayah, kakak dan ahli keluarga lain yang bersusah payah menjaga dan menguruskan saya. Bila terkenang sikap saya sebelum ini yang terlalu ikutkan nafsu muda, saya sebak. “Bila kita sakit, masa inilah nampak bagaimana mereka mencurahkan kasih sayang, dan tidak langsung merungut. Begitu juga dengan rakan-rakan yang sering menziarah dan tidak putus-putus bertanya khabar. “Pada awalnya, ada juga rasa down. Iyalah, sebelum ini sihat dan bebas bergerak. Tapi sekarang hanya terlantar. Namun kata-kata semangat daripada keluarga dan rakan menguatkan semangat saya dan yakin saya akan sembuh semula. “Bila rasa down, terus tersedar kata-kata semangat yang dititipkan. Kata-kata yang saya pegang, Allah itu takkan menguji seseorang hambanya jika hambanya itu tak mampu. Alhamdulillah, dengan kehadiran orang sekeliling yang sentiasa berada di sisi, saya rasa sangat bersyukur,” kata anak kelima daripada enam adik beradik ini lagi. Pada ketika inilah, saya dapat melihat bagaimana ibu, ayah, kakak dan ahli keluarga lain yang bersusah payah menjaga dan menguruskan saya. SHAFIKAH Dalam pada itu, Shafikah berkata kejadian tersebut sememangnya membuatkan dirinya serik untuk menunggang motosikal. “Memang serik. Ini kali pertama saya ditimpa kecelakaan. Ralat juga sebab tempat kejadian itu terletak kira-kira dua minit sahaja lagi untuk saya sampai ke tempat kerja. Tapi saya reda. “Kadang-kadang kecuaian orang lain yang menjadi punca. Oleh itu pesan saya kepada penunggang motosikal di luar sana, lebihkan sikap berhati-hati ketika berada di jalan raya,” ujarnya mengakhiri bicara.