suria

Muka jerawat teruk selepas mandi kolam, pakwe terus minta putus... tapi tak sampai 2 bulan, kulit gadis ini alami transformasi ‘wow’!

Alia pernah ditinggalkan kekasih sewaktu mengalami masalah jerawat yang teruk.

JERAWAT naik mendadak memang mengerikan terutamanya di bahagian muka! 

Boleh dikatakan ramai yang mengalami masalah kulit berjerawat akan hilang keyakinan diri untuk berdepan dengan masyarakat.

ARTIKEL BERKAITAN: Muka jerawat teruk bertahun-tahun, siap bernanah... sehinggalah suatu hari rakan bapa suruh pantang - “Enam bulan saya tak sentuh langsung”

Tapi jarang-jarang pula kita lihat seseorang itu ditinggalkan kekasih atas alasan masalah jerawat yang meradang di kulit muka. 

Namun begitulah perkongsian seorang pelayar Twitter, apabila dia ditinggalkan kekasih hati yang dikenalinya selama tiga tahun selepas kulit wajahnya tiba-tiba dipenuhi jerawat pasir dan batu. 

Perkongsian foto transformasi wajah Alia yang berlaku dalam tempoh kira-kira sebulan.

Berkongsi kisah dengan mStar, Nur Alia Basyirah Mohd Sulaimi menceritakan pengalaman pahitnya ketika berdepan dengan masalah jerawat.

Bagaimanapun dia bernasib baik kerana 'mimpi ngeri' itu hanya dilaluinya sekitar dua bulan, sebelum kulit wajahnya kini kembali normal.

Menurut Alia, dia menyedari kemunculan jerawat pasir di sekitar pipi dan dahinya selepas mandi kolam sewaktu bercuti bersama keluarga di Kelantan pada September. 

"Pengalaman buruk masa jerawat tengah penuh di muka bila ramai orang yang tegur kulit wajah saya. Siap cakap 'tak reti cuci muka ke?' 

"Sejujurnya, saya rasa down sangat-sangat. Rasa sedih sampai saya nangis cakap kat ibu, kenapa jerawat boleh tumbuh banyak-banyak kat muka saya. Lepas tu, break pula dengan boyfriend. Dia siap tegur tanya 'kenapa muka saya banyak jerawat'. Lepas break up tu, single la saya sampai sekarang. 

"Sebenarnya, dulu kulit muka saya bersih. Jerawat susah tumbuh. Nak naik satu dua pun susah. Tapi beberapa hari selepas mandi kolam ada banyak bintik kecil keluar kat muka," katanya. 

Kulit wajah Alia kembali normal selepas sebulan mencuba produk penjagaan kulit.

Pelajar berusia 19 tahun ini kemudian mengambil keputusan untuk mencuba satu produk penjagaan kulit yang tular di media sosial, sekitar Oktober.

Tambah Nur Alia atau mesra disapa Alia, dia terdetik untuk mencuba produk muka tersebut selepas melihat banyak testimoni positif di Twitter. 

Dalam pada itu, Alia memberitahu bahawa dia turut mengamalkan doa menyembuhkan jerawat serta doa naik seri wajah sebagai salah satu bentuk ikhtiar. 

"At first saya ragu-ragu juga nak cuba produk ni. Tapi bila baca kandungannya yang bebas bahan kimia, saya pun berani untuk cuba. Malah, banyak review dan testimoni positif daripada pengguna lain buat saya nekad. 

"Alhamdulillah, dalam masa satu bulan, kulit saya beransur pulih. Selain itu, saya ada juga amalkan doa menyembuhkan jerawat, dan doa penaik seri wajah supaya kulit muka saya kembali normal. 

Selain menggunakan produk penjagaan kulit, Alia juga mengamalkan bacaan doa.

"Kira macam saya dah berusaha, dan saya ikhtiar selepas make an effort," tambahnya yang mendapatkan semula kulit wajah normalnya pada November.

Selepas apa yang berlaku Alia berkata dia kini lebih gembira dengan kulit wajahnya dan menganggap apa yang berlaku ada hikmahnya.

"Saya rasa diri saya berhak dapat seseorang yang lebih baik. Bila saya sedar bekas teman lelaki hanya pandang rupa dan mengaku keluar dengan perempuan lain, saya pun tak tahu nak cakap apa.

"Saya lepaskan dia dan tak akan kembali kepadanya," katanya, positif.

Perkongsian Alia yang memuatnaik foto transformasi wajahnya hanya dalam masa sebulan lebih di Twitter menerima lebih dari 500 ulang kicau dan 1,500 tanda suka. 

Rata-rata netizen memuji kemulusan kulit Alia yang bersih dan cantik menerusi ruangan komen. 

"Ya Allah cantiknya your skin. 

"Oh my god, cantik gila kulit!" komen beberapa netizen.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!
jerawat, single, doa, produk

Artikel Lain