suria

Tukar fikiran minta anak sulung tangguh exam penting, pulang jumpa adik... tepat naluri ibu - “Dia seolah-olah menunggu bertemu saya”

Muhammad Izuan (kanan) kehilangan insan yang paling rapat dengannya selepas adiknya Muhammad Suffian (kiri) meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya.

“TIGA hari berturut-turut selepas solat Isyak, ayah nampak dia baca Al-Quran.”

Demikian cerita Muhammad Izuan Asbudi mengenai perubahan adik keduanya sebelum meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya.

ARTIKEL BERKAITAN: Pemandu lain cuai, penunggang motosikal jadi ‘wanita besi’... patah tulang tengkuk, kepala ditebuk - “Bila fikir semula, saya kagum dengan diri sendiri”

ARTIKEL BERKAITAN: Pemuda usung jenazah, tapi tak mahu sahabat masuk liang - “Saya tak sedap hati... Bunyi gagak tu pelik, macam nak sampaikan sesuatu”

Muhammad Suffian Asbudi, 18, menghembuskan nafas yang terakhir pada pukul 2.40 pagi Selasa, kerana cedera parah pada kepala, selain kecederaan pada anggota badan yang lain.

Menceritakan kembali kemalangan yang menimpa Suffian pada Ahad lalu, Izuan berkata ketika kejadian, adiknya dalam perjalanan untuk kembali ke tempat kerja selepas pulang sebentar menikmati makan tengah hari di rumah.

Allahyarham Muhammad Suffian meninggal dunia akibat kecederaan parah pada kepala selepas dilanggar sebuah kereta ketika dalam perjalanan ke tempat kerja. 

“Sewaktu dalam perjalanan, sebuah kereta keluar dari simpang lalu terus melanggar motosikal yang ditunggangnya. Akibat perlanggaran tersebut, adik saya mengalami pendarahan yang teruk di kepala dan tidak sedarkan diri.

“Ketika dibawa ke hospital, doktor menjalankan CT Brain Scan dan berdasarkan ujian tersebut, empat doktor dari dua buah hospital pakar memaklumkan bahawa peluang arwah sangat tipis.

“Arwah bergantung sepenuhnya kepada mesin sokongan hayat. Jika ada harapan pun, mungkin keadaan arwah tidak seperti sediakala,” ujarnya kepada mStar.

Allahyarham (belakang, kanan) merupakan anak kedua daripada empat adik beradik, disifatkan sebagai seorang anak yang baik dan pemurah. 

Menurut Izuan, arwah adiknya bekerja sambilan di sebuah stesen minyak berdekatan rumah keluarga mereka bagi mengisi masa masa lapang sempena cuti ‘study week’.

“Arwah dan saya sama-sama menuntut di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Terengganu. Saya tidak pulang kerana mengulangkaji memandangkan peperiksaan akhir bakal diadakan pada Rabu. Ketika dapat berita arwah kemalangan, ibu beritahu usah pulang sebab tak mahu saya risau, kerana sedang ulangkaji.

“Namun pada pagi Isnin, ibu tukar fikiran menelefon minta saya pulang. Selepas uruskan hal berkaitan termasuk memaklumkan pihak universiti untuk menangguhkan empat kertas peperiksaan akhir, saya terus pulang naik kapal terbang.

“Sampai saja di lapangan terbang, saya terus bergegas ke hospital pada malam itu juga. Dalam pukul 12 tengah malam, saya pulang sebentar ke rumah namun pada pukul 3 pagi, ibu menelefon memberitahu adik sudah tiada,” ujar pemuda berusia 21 tahun itu.

Antara rakan Allahyarham yang hadir memberi penghormatan terakhir sewaktu pengkebumian. 

Anak sulung daripada empat adik beradik itu menambah, dia bersyukur apabila arwah adiknya dapat ‘pergi’ dengan tenang selepas bertemu dengan seluruh ahli keluarga.

“Saudara mara sebelah ibu dan ayah semua dah menziarahi arwah, cuma tinggal saya saja. Dia seolah-olah menunggu bertemu saya sebelum pergi. Alhamdulillah saya sempat bertemunya beberapa jam sebelum arwah hembuskan nafas terakhir,” kata Izuan.

Allahyarham Suffian dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Taman Mount Austin, Ulu Tiram, Johor pada pukul 11.30 pagi, Selasa lalu.

Arwah seolah-olah menunggu bertemu saya sebelum pergi. Alhamdulillah saya sempat bertemunya beberapa jam sebelum arwah hembuskan nafas terakhir.

MUHAMMAD IZUAN ASBUDI

ABANG

Ramai rakan termasuk dari UnisZA sanggup ‘turun’ ke Johor semata-mata mahu memberi penghormatan terakhir kepada arwah.

Malah, kisah pemergian Suffian turut dikongsi oleh rakan-rakannya di media sosial sehingga menjadi tular, sekali gus menimbulkan rasa sebak daripada netizen.

“Arwah memang seorang adik yang sangat baik. Dia adalah adik yang paling rapat dengan saya sebab sejak sekolah rendah, sekolah menengah hinggalah ke universiti, kami belajar di tempat yang sama. Susah senang memang bersamanya. Langsung tak kedekut dengan keluarga.

“Arwah juga seorang yang senang buat kawan dan seorang yang sangat baik. Memang nampak, ramai kawan arwah datang, siap ada yang tak sempat solat jenazah di masjid, mereka solat pula di kubur. Bila kisahnya viral, ramai orang walaupun yang mengenalinya turut sama mendoakan. Mungkin itulah rezeki arwah,” ujar Izuan mengakhiri bicara.  

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain