suria

“Tak tahu berapa jumlah duit syiling tapi bunyi keceng, keceng” - Guru sebak pelajar duduk rumah papan ‘biasa-biasa’ derma bantu 3 beradik yatim piatu

Kisah seorang pelajar susah yang mahu menderma mengundang sebak seorang guru. Gambar sekadar hiasan Foto duit: Facebook Muhammad Yusof/Foto pelajar: SAIFUL BAHRI/The Star

PELBAGAI kisah hari pertama sesi persekolahan sempena tahun 2020 dilakar, termasuk bagi guru-guru dan pelajar di sekolah berasrama.

Namun coretan seorang guru sekolah menengah ini begitu menyentuh perasaan sehingga perkongsiannya di laman sosial menjadi tular.

ARTIKEL BERKAITAN: "Dulu saya pun hidup susah, tapi Alvin 10 kali lebih daif" - Pengetua menangis lihat pondok usang pelajar

ARTIKEL BERKAITAN: “Bayangkan Kalau Anak Sendiri Tak Makan”

Menerusi perkongsian Muhammad Yusof, beliau memaparkan kisah menyedihkan mengenai tiga beradik yatim piatu yang mendaftar masuk ke sekolah tempat dia mengajar.

“Kasihan mereka. Di saat anak-anak membesar dengan kasih sayang mak ayah, mereka tiga beradik diuji dengan kehilangan mak dan ayah pada usia muda. 

“Besar betul dugaan mereka,” ujar Muhammad Yusof sambil menambah dia telah mengedarkan sampul surat kepada pelajar-pelajar asrama bagi membantu meringankan beban tiga beradik itu.

Seorang pelajar menderma duit syiling. 

Walaupun kebiasaannya pada pembukaan sesi persekolahan, ibu bapa akan memberi lebih wang belanja untuk anak-anak mereka, tetapi katanya, kebanyakan pelajarnya bukan dalam kalangan orang senang.

“Aku tahu kebanyakan mak bapa mereka bukannya orang senang. Ada yang kerja kilang, ada yang kerja tukang cuci, ada yang menjual kat pasar malam,” katanya sambil menekankan bahawa sumbangan derma adalah seikhlas hati.

Muhammad Yusof berkata, dia disapa oleh seorang pelajar dengan panggilan Ustaz yang menyuarakan hasrat untuk memberi sumbangan kepada adik-beradik itu.

“Aku kenal dia ni sebab aku pernah hantar dia ke rumah. Keluarganya nampak macam orang agak susah. Rumah pun rumah papan biasa-biasa.

“Dia pun keluarkan duit syiling dan masukkan ke dalam sampul surat putih yang aku bawa. Aku tak tahu berapa jumlah. Yang aku tahu duit syiling sebab bunyi keceng, keceng,” katanya.

Sedekah ni bukan kira banyak ke sikit, yang penting kita ikhlas. Selagi kita boleh sedekah, sedekahlah. Selagi kita boleh tolong orang, tolonglah

MUHAMMAD YUSOF

Sebagai tanda prihatin terhadap semua pelajarnya, guru tersebut bertanyakan tentang perbelanjaan budak berkenaan selepas menderma.

“Aku tanya awak ada duit tak ni nanti nak pergi kantin makan macam mana? Aku saja tanya sebab aku tahu latar belakang keluarga dia.

“Budak tu kata tak apa ustaz, bapa saya pesan kalau ada kutipan derma untuk anak yatim, orang susah, kena bagi derma. Saya syukur ada mak ayah lagi ustaz. Kesian mereka tak ada mak ayah dah,” katanya. 

Sebahagian komen netizen mengenai kemulihan hati pelajar berkenaan dan kisah tiga beradik yatim piatu.

Penjelasan pelajar tersebut mengundang sebak Muhammad Yusof, dan pada masa sama amat bersetuju dengan perkara itu.

“Kita jangan tunggu bila ada duit baru nak sedekah. Bila rasa senang baru nak sedekah. Kadang-kadang kita yang dewasa, yang berduit ni pun tak mampu nak jadi macam budak ni kan?,” tambahnya.

Menurut Muhammad Yusof, dia mempelajari sesuatu daripada pelajar berkenaan mengenai kisah anak itu yang mahu bersedekah.

“Sedekah ni bukan kira banyak ke sikit, yang penting kita ikhlas. Selagi kita boleh sedekah, sedekahlah. Selagi kita boleh tolong orang, tolonglah.

“Sampai masanya nanti, Tuhan akan mudahkan orang lain untuk bantu kita, masa kita susah,” katanya.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain