KANAK-KANAK sememangnya gemar mencuba dan meneroka sesuatu yang baharu ketika sedang membesar. Pada fasa sebegini, ibu bapa berdepan dengan tugas yang tidak kurang hebat cabarannya demi memastikan keselamatan anak mereka. Menerusi catatan di laman Facebook, seorang ibu berkongsi pengalaman cemasnya yang terpaksa berkejar-kejar dari satu hospital ke hospital yang lain gara-gara anak kecilnya tertelan duit syiling. ARTIKEL BERKAITAN: “Kami tengok betul-betul, jari kelingkingnya dah tinggal separuh” - Awas, pintu gril ada bahaya tersembunyi, kanak-kanak ini hancur semua urat! ARTIKEL BERKAITAN: “Rasa sakit sangat...” - Wanita ini terima ‘hadiah’ duka pada hari jadi, sempat atur photoshoot anak sebelum ajal Menurut ibu berkenaan, kejadian tersebut berlaku ketika dia dan anak perempuannya sedang tidur memandangkan sudah pukul 10 malam, manakala suaminya yang sedang menyiapkan kerja di ruang tamu pula tertidur di sofa. Tiba-tiba dia dikejutkan dengan anak lelakinya, Reza yang kelihatan seperti sedang sakit. Berdasarkan gambar yang dikongsi, Reza dianggarkan berusia lingkungan dua tahun. “Reza keluar dan masuk bilik balik tepuk aku yang tengah tidur, aku dengar dia macam tersedak-sedak dan nampak samar-samar dia tercungap dan susah bernafas. Aku terus tepuk-tepuk belakang dia konon nak buat step yang macam aku selalu tengok macam mana nak handle bila anak choking. “Bukan mudah sebab Reza keraskan badan, kepala dongak cuba mencari nafas, sebelah tangan aku tak mampu nak angkat badan dia dengan sebelah lagi tepuk belakang, lagipun dia meronta dengan kuat. “Aku jerit panggil husband... husband tepuk-tepuk dan angkat tangan Reza. Akhirnya dengar bunyi Reza nangis… lega aku! Allahu. Tengah menangis Reza muntah, muntah susu yang dia minum jam 10 malam tadi. Tapi hanya susu,” tulisnya. Keputusan x-ray menunjukkan syiling yang tersekat di tekak antara saluran pernafasan dan makanan kanak-kanak tersebut. Mengesyaki anaknya tertelan sesuatu, dia kemudian membuat carian di internet untuk mendapatkan kepastian. Ketika itu, dia terlihat mulut anaknya penuh dengan air liur iaitu simptom yang dialami seseorang apabila tertelan sesuatu benda, sebagaimana cariannya di internet. “Terus aku ajak husband pergi klinik, jam dah 11.30 malam. Dalam perjalanan muntah lagi, sampai klinik pun muntah lagi masa tunggu giliran jumpa doktor (fast lane), tidak ada x-ray di klinik Azzahran (rosak katanya). “Doktor bagi surat rujukan untuk kami ke Hospital Annur Bangi, x-ray ada tapi ‘on call’ kena tunggu dalam masa 1 jam untuk juru x-ray datang, Reza muntah lagi, dan baru aku perasan Reza ni tak bercakap pun selepas tercekik, dia lemah je mungkin mengantuk juga. “Tengah x-ray dia muntah lagi. Dan dia memang tertelan sesuatu iaitu syiling 20 atau 50 sen! Panik dah aku sebab syiling tu tersekat di tekak dia antara saluran pernafasan dan pemakanan. Jam 1.30 pagi jumpa doktor dan dimaklumkan Hospital Annur tidak ada alat untuk keluarkan syiling tersebut,” cerita ibu itu. Duit syiling 20 sen yang berjaya dikeluarkan dari tekak kanak-kanak tersebut menerusi pembedahan. Dia dan suaminya kemudian dicadangkan untuk pergi mendapatkan rawatan di sebuah hospital swasta berdekatan dengan segera kerana bimbang keadaan anak kecil mereka semakin teruk selagi syiling berkenaan tidak dikeluarkan. Malangnya, hospital swasta berkenaan menolak untuk mengambil anak mereka yang mana penyambut tetamu di situ memberi alasan katil bayi tidak mencukupi ketika itu, sekali gus membuatkan pasangan berkenaan benar-benar kecewa dengan layanan yang diterima. Sebab bilik tak ada mereka tidak mahu rawat anak aku, kalau time itu juga anak aku collapse macam mana? IBU MANGSA “Dia terus tolak kami tanpa tengok x-ray yang aku bagi dia, kemudian aku cakap kami emergency anak dah sesak nafas, kamu nak suruh aku pergi mana lagi? Alasan kamu simple tak ada bilik! And macam ini ke kamu layan customer kamu? “Kemudian doktor lelaki datang dan maklumkan yang tak ada bilik nak stay kalau kena warded nanti. Sebab bilik tak ada mereka tidak mahu rawat anak aku, kalau time itu juga anak aku collapse macam mana? Seorang wanita India datang (pengurus atau ketua jururawat), dia yang terangkan bahawa mereka tidak ada Pakar Bedah Kanak- Kanak. “Aku terus cakap habis apa yang korang nak ding dong dari tadi pasal bilik penuh? Cuba cakap dari mula lagi yang korang tak ada pakar bedah kanak-kanak, mesti kami faham dan terus ke hospital lain," tulisnya. Wanita ini turut memberi penjelasan mengapa dia dan suami memilih hospital swasta, bukan hospital kerajaan. “Mesti korang tertanya kenapa nak pegi private kan? Masa ini kami nak cepat, anak sesak nafas mesti nak rawatan yang cepat, lagipun ia antara panel company husband. Akhirnya hospital terdekat adalah Hospital Kajang, kami terus ke situ,” ujarnya sambil menambah, kakitangan di Hospital Kajang melakukan tindakan dengan pantas sebaik sahaja anaknya dimasukkan ke dalam wad. Reza terpaksa berpindah klinik dan hospital sebanyak empat kali sebelum berjaya dibedah di hospital kelima, HKL. Selepas dua kali x-ray dilakukan, doktor di hospital berkenaan memaklumkan bahawa kedudukan syiling masih tidak berubah. “Kami dicadangkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) kerana (hospital) Kajang tidak ada peralatan yang cukup untuk pembedahan. Pukul 3.30 petang sampai HKL dengan ambulans, pukul 8.30 malam masuk bilik bedah. Aku pangku Reza, dia tidur masa tu lemah sebab dah hampir 20 jam puasa. “Aku masuk sama-sama dalam bilik bedah, doktor biuskan Reza dalam dakapan aku, beberapa saat saja Reza dah lembik dengan air liur banyak keluar berbuih-buih. Doktor bius suruh aku cium dia dan doakan dia kuat dan selamat. Nangis aku! Pukul 10 malam Alhamdulillah syiling berjaya dikeluarkan,” tulisnya lagi. Tidak mahu kes yang menimpa anaknya terjadi kepada keluarga yang lain, wanita ini menasihatkan para ibu bapa agar tidak berlengah mendapat rawatan di hospital kerajaan. “Aku sarankan kepada semua ibu bapa sekiranya Allah uji kamu sama seperti aku, segeralah ke Hospital Besar daerah masing-masing jangan tangguh. Aku takut kes seperti aku berulang kepada kamu dan masa untuk menyelamatkan anak-kamu kamu singkat atau tidak cukup. “Terima kasih semua staff Hospital Kajang dan Hospital Wanita & Kanak Kanak Kuala Lumpur yang melayani kami dengan sangat baik,” akhirinya. Dalam pada itu, menerusi satu posting berasingan, wanita tersebut memaklumkan bahawa pihak hospital swasta yang menolak untuk memberi rawatan kepada anaknya itu sudahpun menghubunginya dan membuat permohonan maaf. “Pengurus dari Jabatan Perkhidmatan Pelanggan dah call buat permohonan maaf dan akan memperbaiki kelemahan perkhidmatan mereka. Terima kasih,”, tulis wanita tersebut.