“SATU jam pertama buat kerja, kami dah diganggu.” Demikian cerita seorang pemuda yang berdepan dengan pengalaman mistik ketika mengikut rakan-rakannya menebang pokok hiasan terbiar di sebuah daerah di utara tanah air, baru-baru ini. Hanya mahu dikenali sebagai Khairul, pemuda berusia 20 tahun ini berkata, gangguan mistik tersebut bermula pada waktu petang dan berlarutan hingga malam. ARTIKEL BERKAITAN: Gadis ada deria ke-6 terkena gangguan mistik,histeria - “Tiba-tiba katil yang tak ada orang itu bergoyang” ARTIKEL BERKAITAN: “Dia kata dah OK sambil tunjuk tali merah di tangannya” - Suka-suka main ‘Truth or Dare’ di asrama berakhir pengalaman ngeri seumur hidup “Seorang rakan saya, Imran memang suka mengumpul pokok-pokok hiasan dan tanaman landskap. Biasanya pokok-pokok yang diambil ini adalah pokok terbiar sama ada di kawasan hutan ataupun tepi jalan. “Jadi baru-baru ini, Imran ajak saya dan seorang lagi rakan kami, Hakim untuk membantunya menebang dan mengambil satu pokok terbiar ala-ala bonsai daripada spesies bunga kertas. Posting yang dimuatnaik oleh Khairul mengenai pengalaman mistik yang dialaminya menjadi tular di Twitter. “Ketika sampai dalam lingkungan pukul 4.15 petang, kami pun mula mencantas dan menebang rimbunan pokok tersebut. Sedang ralit buat kerja, tiba-tiba hidung menangkap satu bau yang kurang enak seperti bau telur tembelang. “Ingatkan nak abaikan saja, tapi Hakim pula menegur… biasalah mulut lelaki muda kan. Selepas dia tegur, bau itu makin kuat. Tak tahu dari mana puncanya. Imran kemudian terus ambil sebotol air dari kereta dan membacakan ayat suci Al Quran, dan merenjiskan ke pokok tersebut dan syukur bau itu beransur-ansur hilang,” ceritanya. Tambah Khairul, kebiasaannya kerja menebang dan mengeluarkan akar pokok terbiar hanya mengambil masa selama dua atau tiga jam sahaja dan mampu diselesaikan sebelum waktu Maghrib. Bagaimanapun disebabkan saiz pokok berkenaan yang agak besar, ia mengambil masa yang lama memandangkan mereka hanya bekerja bertiga sahaja. Inilah pokok terbiar daripada spesies bunga kertas yang diambil Khairul dan rakan-rakannya. “Walaupun penat, kami teruskan juga kerana ketika itu hanya nak keluarkan akar pokok dari dalam tanah sahaja. Jam dah menunjukkan pukul 8 malam dan dalam keadaan hujan renyai-renyai, ekor mata saya ternampak sosok dua lembaga dari sebuah rumah usang yang tidak jauh dari pokok itu. “Imran yang perasan saya terkedu turut berpaling ke arah sama. Kemudian dia berkata ‘dah la, buat tak nampak ja sambung kerja sikit je lagi ni, lepas tu kita balik’. “Lembaga itu memang perhatikan kami buat kerja. Dalam hati ni memang baca macam-macam tapi kami terus buat kerja sebab fikir nak balik je,” katanya yang merupakan seorang pelajar di sebuah politeknik. Selepas dia tegur, bau itu makin kuat. Tak tahu dari mana puncanya. Imran kemudian terus ambil sebotol air dari kereta dan membacakan ayat suci Al Quran dan kemudian merenjiskan ke pokok tersebut. KHAIRUL Menjelang pukul 10.45 malam, selepas kira-kira enam jam bekerja tanpa henti, pokok tersebut akhirnya berjaya ditumbangkan. “Kami berdepan masalah untuk menaikkan pokok tersebut ke dalam kereta pacuan empat roda pula sebab beratnya dianggarkan kira-kira 140 kilogram. Memang tak terdaya kudrat kami, tapi kami teruskan juga. “Tengah bersusah payah nak naikkan ke atas pikap itu, tiba-tiba kedengaran bunyi mengilai pula. Daripada 1,2,3 up, terus kami laung 1,2,3 Allah sambil berusaha angkat pokok tu. Dalam beberapa minit, Alhamdulillah bunyi mengilai itu hilang,” ceritanya. Khairul berkata, selepas berhempas pulas selama 15 minit, mereka akhirnya berjaya menaikkan pokok tersebut. Khairul berkongsi pengalaman yang dialaminya menerusi satu bebenang di Twitter. “Lega rasanya bila dah selesai. Waktu tu kami dah barai, dengan penat dan lapar… semua ada. Ketika perjalanan pulang, ada beberapa kereta yang memotong, dan saya perasan penumpangnya mesti tutup muka. Tak tahu mereka nampak apa. “Selepas isi perut, kami pulang ke rumah masing-masing. Alhamdulillah, tiada apa yang berlaku walaupun risau ada ‘benda’ ikut. Cuma, Imran sahaja beritahu malam itu dia tak boleh tidur sampai pagi,” ceritanya. Menurut Khairul, ia adalah pengalaman pertamanya mengalami gangguan sepanjang empat kali mengikut rakannya menebang pokok terbiar. “Tak tahulah nak serik atau tidak, sebab bagi saya, ia sebahagian daripada rezeki sampingan untuk saya yang masih bergelar pelajar. Cuma, apa yang boleh diteladani daripada kisah ini, pertama jangan tegur kalau ada sesuatu yang pelik. “Niat dalam hati nak cari rezeki, sebab selagi mana kita tak kacau ‘dia’, pasti ‘dia’ tak kacau kita. Paling penting, jaga mulut. InsyaAllah tak ada apa yang tidak diingini berlaku kelak,” ujarnya mengakhiri bicara.