SUSULAN isu seorang pelajar tingkatan lima di sebuah sekolah menengah di Pengkalan Hulu, Perak dihalau pengetua sekolah terbabit pada Selasa, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Hulu Perak tampil menjelaskan situasi sebenar berkaitan kes itu. PPD Hulu Perak ketika dihubungi mStar memaklumkan timbul salah faham berkenaan status pelajar itu untuk meneruskan persekolahan di sekolah tersebut. "Berdasarkan apa yang disiarkan media, bagi pihak PPD Hulu Perak mendapati ada laporan tak betul berkaitan perkara itu. "Ada salah faham timbul antara waris berkenaan status pelajar itu untuk bersekolah. "Dari segi dasar kita tak ada halangan cuma bila melibatkan kes buang sekolah ada prosedur operasi standard (SOP) dan prosedur lain yang kita kena ikut," kata sumber. Menurut sumber itu, mana-mana pelajar yang bertukar atau dibuang sekolah memang perlu melalui proses PPD untuk mendapat kelulusan dalam tempoh dua minggu. "Untuk dua minggu pertama ini memang kita akan panggil ibu bapa dan pelajar untuk hadir sesi kaunseling. Mangsa menunjukkan laporan polis yang dibuatnya pada Selasa. "Bagi kes pelajar dibuang sekolah, memang kita akan keluarkan satu surat kelulusan, selepas itu barulah pelajar itu dibenarkan masuk semula ke sekolah," katanya. Namun, bagi kes membabitkan pelajar itu, sumber PPD Hulu Perak ini memaklumkan, pelajar tersebut sebenarnya belum mendapat kelulusan untuk hadir semula ke sekolah. "Surat kelulusan tak dapat lagi. Saya dapat maklumat daripada pihak sekolah pelajar ini masuk ke sekolah dan berjumpa dengan pegetua semalam (Selasa). "Masa pertemuan itu pengetua maklumkan pelajar itu kena tunggu surat kelulusan daripada PPD lepas itu barulah boleh masuk sekolah. Jadi pelajar kena tunggulah sehingga dapat surat," katanya. Tapi pelajar itu tidak serah ketiga-tiga surat itu dan gagal hadir ke sekolah untuk berbincang mengenai permasalahan dihadapi pelajar. SUMBER PPD HULU PERAK. Malah kata sumber itu lagi, bagi kes buang sekolah dan lain-lain, pihak PPD akan terlebih dahulu memanggil waris dan pelajar untuk hadir sesi kaunseling secara berkelompok. "Jadi maknanya tiada halangan pelajar itu bersekolah cuma mengikut kes, kita akan buat sesi kaunseling berkelompok. "Kita akan panggil ibu bapa dan pelajar, lepas tu kita buat aku janji supaya kesalahan itu tidak berulang lagi," katanya. Mengenai tindakan buang sekolah, sumber itu berkata pihak sekolah akan keluarkan tiga kali surat amaran kepada pelajar. "Kali pertama sekiranya pelajar itu tidak hadir tiga kali berturut-turut, sekolah akan keluarkan satu surat amaran. Bila keluarkan satu surat amaran kepada waris, jadi waris perlu jawab surat amaran tu atau kita panggil datang ke sekolah untuk berbincang. Laporan polis yang dibuat Syafiq untuk mempertahankan adiknya. "Hanya selepas tiga kali kalau pelajar tidak hadir untuk kali ketujuh berturut-turut, kita akan keluarkan surat amaran kedua. Selepas 14 hari berturut-turut kita akan keluarkan surat amaran ketiga, kemudian baru buang sekolah. "Jadi untuk kes pelajar terbabit ada tiga kali surat yang dikeluarkan untuk dijawab waris dan seterusnya perlu ke datang sekolah untuk berbincang apa masalah yang dihadapi pelajar itu. Tapi isunya sekarang, waris tidak hadir dan berbincang dengan pihak sekolah," katanya. Malah katanya lagi, tindakan buang sekolah di peringkat PPD memerlukan bukti ketiga-tiga surat amaran yang sudah dikeluarkan pihak sekolah kepada waris. "Kita perlu bukti surat yang sekolah dah serah dekat waris tiga kali surat amaran. Lepas tu barulah kita boleh buang sekolah. "Tapi pelajar itu tidak serah ketiga-tiga surat itu dan gagal hadir ke sekolah untuk berbincang mengenai permasalahan dihadapi pelajar," katanya. Dalam pada itu, sumber berkata, kes membabitkan pelajar itu sebenarnya sudah selesai pada petang Selasa. "Kalau ikutkan dah settle. Dalam perjumpaan semalam kami dah beri kebenaran kepada pelajar itu bersekolah semula. "Jadi waris boleh datang untuk proses pendaftaran di sekolah yang sama pagi Rabu. Malah kami turut minta permuafakatan antara waris dan pihak sekolah. "Pada saya kita ada banyak isu seperti ini dan tak ada masalah sebenarnya. Semua waris datang ke sekolah untuk berbincang. Sudah jadi amalan semua sekolah akan menerima pelajar yang dibuang sekolah," katanya.