suria

Pandangan pertama di kantin sekolah berakhir di pelamin impian, pengantin lelaki rancang semuanya... ambil masa setahun!

Harizal gembira apabila konsep perkahwinan impiannya menjadi realiti pada 11 Januari lalu. FOTO::Karma X Production.

SETIAP pasangan pastinya mengimpikan majlis perkahwinan yang gilang-gemilang bagi meraikan hari bahagia mereka.

Begitu juga dengan jurugambar ini yang mana impian untuk disatukan dengan pasangannya dalam majlis berkonsep garden akhirnya menjadi nyata pada 11 Januari lalu di Johor Bahru, Johor.

Bercerita kepada mStar, Muhammad Harizal Borhan, 24, mengakui gembira apabila melihat segala penat lelahnya direalisasikan dengan sempurna dalam majlis itu.

ARTIKEL BERKAITAN:Pengantin mahu pelamin belon, perancang bandar penuhi impian kawan sejam sebelum majlis - “Kali pertama buat dekorasi, saya pun tak yakin”

ARTIKEL BERKAITAN: Perancang Perkahwinan 'Buat Hal' Lagi, Reka Pelamin 'Yuna Tak Yuna Sangat'

"Saya sebenarnya jurugambar perkahwinan. Jadi saya sudah banyak lihat majlis kahwin. Dari situ saya pilih konsep yang berkenan di hati.

"Dalam setahun juga saya rancang semuanya. Saya hanya maklumkan kepada perancang bahawa saya nak tema garden, tapi mereka yang hasilkan sebegitu rupa.

Posting Harizal yang tular di Twitter.

"First time tengok selepas pelamin siap, memang tak sangka. Alhamdulillah, dapat apa yang saya nak hasil bantuan rakan-rakan," ujarnya sewaktu dihubungi.

Mengulas lanjut majlis serba meriah yang dihadiri sekitar 1,000 tetamu itu, Harizal bersyukur segalanya berjalan dengan lancar.

Malah katanya, pengalaman empat tahun dalam kerjaya sebagai jurugambar membolehkan dia mengumpul kenalan dalam kalangan pemain industri, sekali gus memudahkan urusannya dalam mendapatkan perkhidmatan terbaik menjelang hari bahagia.

Harizal dan isterinya sepakat memilih tema berkenaan untuk hari bahagia mereka. (Kredit:Karma X Production)

Selain itu, isterinya, Dayang Mirza Awang Mohdar, 23, juga seiring dengan idea dan pendapatnya dalam pemilihan konsep itu, sekali gus memudahkan urusan penghasilan majlis impian mereka.

"Saya dah rancang semuanya. Isteri banyak ikut pendapat saya, tak ada idea bercanggah. Alhamdulillah banyak benda dipermudahkan," ujarnya yang mengeluarkan belanja sekitar RM50,000 untuk majlis tersebut.

Ada satu masa tu kawan bawa kamera DSLR ke sekolah. Ambil gambar kami berdua pakai uniform sekolah. Itu kali pertama ambil gambar bersama.

MUHAMMAD HARIZAL BORHAN

JURUGAMBAR

Bercerita mengenai pasangannya, Harizal mengakui mula mengenali wanita itu sewaktu mereka sama-sama menuntut di sekolah Menengah Tun Syed Nasir Ismail beberapa tahun lalu.

Kata Harizal, dia tidak menyangka pandangan pertama sewaktu berada di kantin sekolah akan membawa mereka lebih jauh sehingga disatukan sebagai suami isteri.

Foto pertama mereka sewaktu di zaman persekolahan.

"Kali pertama jumpa di kantin sekolah. Jadi kami berkenalan. Ada satu masa tu kawan bawa kamera DSLR ke sekolah.

"Ambil gambar kami berdua pakai uniform sekolah. Itu kali pertama ambil gambar bersama. Masa tu saya pun tak jadi photographer lagi.

Majlis berkonsep dalam taman yang berlangung pada 11 Januari lalu. (Kredit:Karma X Production)

"Dia seorang yang bertanggungjawab dan sayang saya sepenuh hati," ujarnya lagi.

Sementara itu, Harizal juga berpendapat seseorang itu perlu mengukur baju di badan sendiri dan bersikap realistik dalam mengajurkan majlis bahagia masing-masing.

Foto sekitar majlis perkahwinan mereka. (Kredit:Karma X Production)

Ujarnya lagi, banyak penyedia perkhidmatan perkahwinan yang boleh merealisasikan idea dan konsep menarik dengan harga yang berpatutan.

Dalam pada itu, posting Harizal mengenai majlis impian tersebut menerima lebih 12,000 perkongsian di Twitter.

Pelamin yang menjadi paksi penyatuan dua pasangan itu pada 11 Januari lalu.

Malah, rata-rata netizen turut menzahirkan ucapan tahniah, tak kurang juga yang memuji keindahan dekorasi serta konsep majlis berkenaan.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!
kahwin, impian, garden, kos, konsep

Artikel Lain