suria

Dua minggu tak datang sekolah, cikgu nekad ‘selamatkan’ murid dengan motosikalnya

Mohamad Iqbal menceritakan kisah mengenai seorang muridnya yang tidak hadir ke sekolah gara-gara mempunyai masalah pengangkutan.

TUGAS seorang guru bukanlah semata-mata mendidik dan mencurahkan ilmu kepada para pelajar di sekolah, malah golongan ini ibarat ibu bapa kedua untuk anak didik mereka.

Satu perkongsian yang tular di media sosial baru-baru ini sudah cukup membuktikan kasih sayang seorang guru terhadap anak muridnya.

Menerusi sekeping gambar yang dimuatnaik pada perkongsian tersebut, kelihatan seorang guru lelaki menunggang motosikal dibonceng oleh seorang murid lelaki.

ARTIKEL BERKAITAN: Cikgu menangis lihat murid darjah 1 ceria bawa ibu ayah buta lawat sekolah, tunjuk kelasnya- “Mana pondok mak nak tunggu kamu?”

ARTIKEL BERKAITAN: “Sampai basah resit dia” - Ustaz tahan nangis, ibu 6 anak berjurai air mata gara-gara tak mampu bayar yuran

Menulis pada posting tersebut, guru berkenaan, Mohamad Iqbal, menceritakan bahawa dia ketika itu berkunjung ke rumah salah seorang anak muridnya yang sudah dua minggu tidak hadir ke sekolah.

Menurut Mohamad Iqbal, masalah itu disebabkan satu-satunya kenderaan milik keluarga anak muridnya itu rosak sekali gus menyukarkan pelajar itu untuk ke sekolah.

Perkongsian Mohamad Iqbal yang tular di Facebook baru-baru ini.

“Hampir dua minggu tak datang ke sekolah kerana tiada kenderaan. Hanya ada sebuah motosikal yang rosak. Pergi kerja atau ke mana-mana hanya menaiki bas.

“Mak ayah kerja syif yang berbeza. Mak kerja pagi, ayah jaga bayi berusia sembilan bulan dan empat tahun di rumah kerana tak mampu hantar rumah pengasuh, apatah lagi taska. Mak balik malam, ayah pula pergi kerja.

“Kata ibunya ‘Cikgu, maafkan kami sebab tak dapat hantar anak ke sekolah kerana ada masalah pengangkutan’. Tapi jawab saya ‘tak apa puan, saya akan ambil dan hantar setiap hari sehingga anak puan dapat bertukar ke sekolah yang berdekatan dengan rumah’,” tulisnya lagi.

Mohamad Iqbal yang merupakan seorang guru di sebuah sekolah rendah di Putrajaya berkata, dia sempat berpesan kepada wanita itu agar tidak mengabaikan pelajaran anaknya yang baru melangkah memasuki darjah satu.

Saya tolong ikhlas untuk budak-budak ni. Lagipun saya penolong kanan Hal Ehwal Murid (HEM). Memang tugas saya kena pastikan murid-murid di bawah jagaan saya datang ke sekolah walaupun ada masalah kewangan.

MOHAMAD IQBAL

GURU

Sambil melahirkan kesyukuran dan menzahirkan ucapan terima kasih, ujar Mohamad Iqbal, wanita itu juga memohon maaf kerana menyusahkan pihak sekolah.

“Saya jawab ‘tak mengapa puan. Itu memang tugas kami sebagai guru’.

“Saya tolong ikhlas untuk budak-budak ni. Lagipun saya penolong kanan Hal Ehwal Murid (HEM). Memang tugas saya kena pastikan murid-murid di bawah jagaan saya datang ke sekolah walaupun ada masalah kewangan,” katanya.

Antara komen netizen yang memuji tindakan Mohamad Iqbal.

Tambah Mohamad Iqbal, kesempitan hidup bukan alasan untuk malu hadir ke sekolah.

“Pendidikan adalah paling utama. Belajarlah rajin-rajin. Bantu ibu bapa kamu apabila besar nanti. Semoga berjaya wahai anak muridku,” tulisnya lagi.

Posting Mohamad Iqbal menjadi tular dan sehingga kini meraih 407 perkongsian serta dihujani ratusan komen netizen.

Rata-ratanya meluahkan rasa terharu dan menyifatkan tindakan guru berkenaan sebagai satu tindakan yang mulia.

“Alhamdulillah, semoga besar pahala buatmu sahabat dan Allah permudahkan segala urusanmu,” tulis seorang pelayar.

“Tahniah cikgu, satu contoh yang baik. Teruskan niat suci cikgu. Hanya Allah yang mampu balas segala kebaikan cikgu,” komen pelayar yang lain pula. 

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!
motor, guru, pendidikan, kenderaan

Artikel Lain