"SUDAH terbiasa. Saya terima dengan reda." Demikian luah seorang jejaka berusia 25 tahun berhubung nasib malang yang menimpa dirinya. Pada penghujung tahun lalu, tangan kiri Mohamad Amiruddin Zakaria atau lebih mesra disapa Don dijangkiti kuman, menyebabkan separuh tapak tangannya terpaksa dipotong. ARTIKEL BERKAITAN: Hikmah kaki dipotong, anggota APMM bersatu kembali dengan keluarga ARTIKEL BERKAITAN: Kudung terkena bom, jiwa kental Syahrain jadi perhatian setiap kali hantar makanan Lebih pilu, tiga jari graduan Akademi Laut Malaysia (Alam) itu turut dipotong, sekali gus melenyapkan impiannya untuk bekerja dalam profesion yang diidam-idamkan selama ini. "Saya pun pelik, tak tahu punca. Mula-mula ia bengkak secara tiba-tiba. Pergi hospital check darah, mereka pun tak tahu punca. "Rupa-rupanya terkena jangkitan kuman. Doktor kata saraf dan salur darah saya dah rosak. Jari pun dah jadi hitam. Posting mengenai Don yang dikongsi di laman Twitter. "Akhirnya tiga jari dipotong, tapak tangan juga turut dibuang separuh," ujarnya kepada mStar. Menurut anak kedua daripada tujuh beradik itu, hidupnya ternyata berubah 360 darjah selepas dia menjalani pembedahan berkenaan. Jika sebelum ini dia boleh membuat kerja sambilan membaiki telefon bimbit, kini keterbasan tangannya menghalang dia meneruskan kerja tersebut sebelum beralih kepada perniagaan minyak wangi secara dalam talian. Saya tak nak raih simpati orang ramai disebabkan keadaan saya macam ni. MOHAMAD AMIRUDDIN ZAKARIA GRADUAN ALAM "Walaupun kekok dan terbatas, saya anggap diri macam biasa. Sedih, dah hampir nak dapat kerja. Sepatutnya bulan Disember dah pergi belayar. "Tak ada rezeki, terpaksa lupakan. Agak stress pada mulanya, tapi Alhamdulillah saya sudah terbiasa. Saya terima dengan reda. "Saya juga tak nak raih simpati orang ramai disebabkan keadaan saya macam ni," ujarnya yang menetap di Pasir Gudang, Johor. Don mengakui reda atas takdir yang tersurat ke atas dirinya. Dalam pada itu, posting mengenai kisah Don yang ditularkan di Twitter oleh seorang individu menerima lebih 10,700 ulang kicau (Retweet). Selain mengakui sedih dengan kisah itu, pelayar Twitter turut meninggalkan komen, mendoakan agar segala urusan Don dipermudahkan Allah.