BERAT mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Begitulah penderitaan yang ditanggung ibu kepada lima orang anak yang disahkan menghidap kanser lidah tahap 4 sejak Mei tahun lalu. Lebih menyedihkan, Rosimah Ismail, 49, kini tidak lagi boleh bercakap kerana lidahnya sudah keras sepenuhnya. Menurut anak keduanya, Nurul Shafina Mazani, ibunya itu kini hanya berkomunikasi dengan mereka menulis di atas kertas. ARTIKEL BERKAITAN: Pembedahan keluarkan bayi berjaya, suami hampir rebah doktor beritahu lidah isteri perlu dipotong ‘semua’ dan segera, “Sayang dah nak mati ke?” ARTIKEL BERKAITAN:Suami kongsi kisah tragis di sebalik pokok bentuk love di kubur ‘bidadari’, “Kalau dia dah tak ada tolong jangan beritahu saya” "Kali terakhir mak bercakap hujung bulan Disember lalu. Sekarang dia tak boleh bercakap dah sebab lidah dah keras sepenuhnya. Bibir pun bengkak. "Dia hanya tulis je apa dia nak. Berat badan dia pun semakin susut. Dulu 58 kilogram tapi sekarang dah susut kepada 30 lebih kilogram," katanya kepada mStar. Nurul Shafina atau lebih mesra disapa Fina turut berkongsi kisah ibunya itu di Facebook dan memohon orang ramai agar mendoakan kesihatan ibunya. Fina (kanan) bersama Rosimah (tengah) ketika ibunya masih sihat. "Saya harap ada keajaiban berlaku. Sebelum-sebelum ni family je yang tahu mak sakit. Tapi bila sampai satu tahap doktor cakap dah tak boleh buat apa memang saya sedih sangat. "Doktor cakap kena bersedia dan start reda dari sekarang. Sejak dari tu saya down sangat-sangat. Jadi saya minta doa orang ramai. Harap ada doa termakbul antara kita," katanya. Mengenai penyakit ibunya itu, Fina berkata pada mulanya ibunya hanya mengalami sakit seperti ulser di bahagian lidah sebelum disahkan menghidap kanser pada April tahun lalu. "Sebelum tu mak ada ulser kat lidah. Tapi lepas makan ubat OK. Lepas tu dua tiga tahun jadi lagi, kiranya kejap OK kejap tak. "Jadi kami bawa pergi klinik berdekatan. Lepas tu mereka suruh ambil sel (isi) lidah, pergi hantar dekat makmal. Bila check dah ada kanser tu. "Dalam masa beberapa hari tu doktor suggest buat pembedahan dekat lidah sebab takut sel agresif," katanya. Wajah terkini ibu Fina (kanan) yang sedang bertarung melawan kanser lidah tahap 4. Selepas pembedahan untuk membuang separuh daripada lidah yang ada sel kanser, Fina berkata keadaan ibunya nampak baik sebelum kembali sakit kurang sebulan kemudian. "Selepas pembedahan mak OK boleh makan dan bercakap, boleh dikatakan macam dah sembuh. "Masa buang separuh lidah tu doktor ambil isi bawah dagu tampal dekat lidah, jadi dia boleh bercakap macam biasa. "Tapi dekat nak raya tahun lepas doktor suruh buat CT scan dan bila check ada lagi sel kanser tu. Masa tu doktor beritahu kanser mak dah tahap empat," katanya. Buat masa ini Fina berkata ibunya sudah tidak lagi meneruskan rawatan kemoterapi dan ditempatkan di wad paliatif di Hospital Bukit Mertajam, Pulau Pinang. "Sekarang kanser tu dah merebak dekat leher. Leher dah berlubang... dalam sangat. Dulu sebelah kanan je sekarang dah jadi belah kiri pula. "Rasanya sel dah makan dari dari dalam. Sebelum ni bernanah macam bengkak, lepas tu pecah tu yang berlubang. Saya tengok mak seksa sangat. Fina bersama ibunya semasa majlis pertunangannya pada 28 Disember lalu. "Sekarang dia duduk wad paliatif. Mak dah stop kemoterafi sebab dah tak larat. Dia hanya bergantung dengan ubat tahan sakit je," katanya. Dalam pada itu, Fina berkata dia sepatutnya disatukan ke jenjang pelamin bersama jejaka pilihannya Disember lalu tetapi terpaksa menangguhkan hasratnya itu selepas keadaan ibunya tidak mengizinkan. "Saya bertunang 28 Disember lalu. Sepatutnya saya plan nak kahwin bulan Disember tu tapi sebab saya kena jaga mak jadi tak tahu lagi. "Kalau boleh saya nak mak tengok saya pada hari bahagia saya. Sedih jugalah bila 'mak cakap sempat ke mak nak tengok Fina naik pelamin?' "Masa kenduri tunang tempoh hari tengah sakit-sakit tu mak gigih bantu masak dan kemas rumah. Tapi dia mai pegang tangan minta maaf kat saya sebab tak boleh prepare lagi elok," katanya.