suria

Dicekup miliki bahan terlarang, ibu beritahu mahkamah anaknya baik, paling boleh diharap - “Nak kerja tolong mak, kumpul duit pergi umrah”

Seorang pesalah di bawah umur 18 tahun berhasrat untuk membawa ibunya menunaikan umrah di Tanah Suci selepas menjalani perintah khidmat masyarakat sebanyak 200 jam selama dua tahun.

PERINTAH menjalani khidmat masyarakat merupakan satu bentuk hukuman bagi memberi keinsafan kepada pesalah di bawah umur 18 tahun.

Oleh kerana masih di bawah umur, mahkamah memerintahkan seorang pemuda menjalani Perintah Khidmat Masyarakat sebanyak 200 jam selama dua tahun, di bawah seliaan Bahagian Perintah Khidmat Masyarakat Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Namun, siapa sangka di sebalik kesalahannya itu, terbongkar keperibadian remaja berkenaan.

ARTIKEL BERKAITAN: Anak buat kejutan bawa mak ke Pulau Tioman, hadiah rantai emas undang drama air mata – “Apa yang saya buat ni tak cukup”

ARTIKEL BERKAITAN: Diduga kopi tumpah, ibu jaga aib dua anak tiba-tiba dapat ‘kejutan’ – “Macam nak luluh jantung saya...”

“Anak ini ada langgar undang-undang. Tapi dalam keluarga dia, dialah yang paling banyak tolong kakak dan ibunya.

“Disebabkan kesalahan kali pertama, kita perintahkan dia buat khidmat masyarakat 200 jam dalam dua tahun,” menurut perkongsian di Facebook Syed Azmi Alhabshi, aktivis yang terkenal sering membantu pelbagai kes kanak-kanak dan remaja.

Seorang ibu terkejut apabila anaknya dicekup kerana memiliki ‘bahan terlarang’.

Bercakap kepada mStar, Syed Azmi berkata, remaja belasan tahun itu dicekup pihak berkuasa kerana memiliki ‘bahan terlarang’.

“Mak dia tidak berapa sihat, dan saya diberitahu oleh ibunya bahawa dialah yang paling boleh diharap dalam keluarganya untuk membantu ibunya.

“Semasa di mahkamah, mak dia terkejut dengan kesalahan yang dilakukan oleh anaknya kerana memaklumkan pelaku seorang anak yang baik dan rajin.

“Berdasarkan pengakuan ibunya, saya berpendapat bahawa anak muda ini mungkin tersilap memilih kawan, pengaruh rakan sebaya atau berada di tempat dan masa yang salah,” katanya yang enggan mengulas lanjut mengenai latar belakang remaja berkenaan.

Syed Azmi bagaimanapun memberitahu pesalah muda itu mempunyai adik-beradik yang ramai.

Syed Azmi berkongsi mengenai seorang pesalah bawah umur yang menjalani perintah khidmat masyarakat. Foto SAMUEL ONG/The Star

Syed Azmi berkata, semasa di mahkamah ibu kepada pesalah muda itu memohon rayuan agar hukuman atau perintah yang dikenakan terhadap anaknya diringankan.

Malah, di mahkamah pihaknya turut bertanyakan mengenai hala tuju pelaku selepas selesai menjalani perintah khidmat masyarakat.

“Kita ada tanya apa yang dia hendak buat selepas ini. Dia jawab, nak kerja tolong mak dan kumpul duit bawa mak pergi umrah. 

“Bayangkan itu jawapannya, masih fikir tentang mak dan nak jaga mak dia. Umur dia belum pun 17 tahun,” katanya.

Seorang pemuda akan menjalani perintah khidmat masyarakat sebanyak 200 jam selama dua tahun di atas kesalahan yang dilakukannya. Gambar sekadar hiasan 

Walaupun pemuda itu tidak bersekolah ketika ini disebabkan faktor keluarga, namun kata Syed Azmi, pesalah muda itu sebelum ini menyertai kelas kemahiran.

“Dan dengan penglibatannya dalam aktiviti Perintah Khidmat Masyarakat, ia akan membentuk sahsiah dirinya. Semoga ia dapat memberikan pengajaran berguna buatnya.

Perintah Khidmat Masyarakat ini membentuk sahsiah diri pelaku. Semoga perintah yang dilakukannya selama dua tahun dapat memberikan pengajaran berguna buatnya.

SYED AZMI

“Dua tahun lambat lagi untuk dia tunaikan hasrat bawa mak dia pergi ke Tanah Suci untuk menunaikan umrah bersama. Dia nak kerja lagi untuk kumpul duit.

“Jadi, saya kata lepas dia habis buat khidmat masyarakat, saya akan hubungi anda semua untuk memberikan sumbangan kepada dua beranak itu,” katanya.

Kerja-kerja pembersihan merupakan antara aktiviti perintah khidmat masyarakat. Gambar sekadar hiasan. Foto AZHAR MAHFOF/The Star

Perintah Khidmat Masyarakat merupakan satu hukuman yang diperintahkan oleh mahkamah yang mana pesalah yang disabitkan hukuman akan melakukan kerja tanpa bayaran yang memberi faedah kepada masyarakat. 

Ia bertujuan untuk memberi pemulihan, pengajaran dan penginsafan bagi mengembalikan kefungsian sosial pesalah dan memberi manfaat kepada masyarakat.

Menurut laman web JKM, antara aktiviti yang dilakukan pesalah muda semasa menjalani perintah khidmat masyarakat adalah pemuliharaan kawasan dan bangunan, kebersihan tempat rekreasi, housekeeping, penyajian makanan dan penyelenggaraan surau.

Dalam pada itu, menerusi posting Syed Azmi di laman sosial, orang ramai boleh menyuarakan hasrat mereka untuk membantu mahu memberikan sumbangan dengan menghantar mesej kepada aktivis itu di talian 0196664779.

“Tulis Tabung Umrah 2020, nama dan nombor telefon. Bila dia habis buat khidmat masyarakat, saya akan hubungi anda semua untuk beri sumbangan tabung umrah mereka,” ujar Syed Azmi.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain