SETIAP kali keputusan peperiksaan diumumkan, ia merupakan detik yang paling ditunggu-tunggu oleh setiap individu yang pernah bergelar pelajar sekolah. Kalau dahulu, setiap pelajar akan berbaris panjang untuk mendapatkan slip keputusan peperiksaan masing-masing. Ketika dalam barisan itulah kita akan dapat melihat raut wajah para sahabat sama ada sedih atau gembira selepas menerima slip mereka. Tapi itu dulu... sekarang lebih mudah. ARTIKEL BERKAITAN: Tak sia-sia nama serupa, ibu pula peminat tegar... Siti Nurhaliza dan emak berpeluk terima kejutan Siti Nurhaliza ARTIKEL BERKAITAN: Pelajar Malaysia di Jepun dedah layan permintaan pelik pelanggan, disuruh beli pakaian dalam wanita... termos ‘Made in Malaysia’ pun laris! Keputusan peperiksaan ketika ini boleh sahaja disemak melalui sistem khidmat pesanan ringkas (SMS), tak perlu nak berbaris di sekolah lagi. Itulah yang dilakukan oleh pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Tekek, Pulau Tioman, Pahang, Siti Nurhaliza M Saidin, 18, yang menggunakan kemudahan teknologi untuk menyemak keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang diumumkan pada Khamis. Siti yang merupakan peminat fanatik kumpulan Korea, EXO tidak menyangkakan dirinya berjaya mendapat keputusan cemerlang 8A. Malangnya, tindakan Siti Nurhaliza yang berkongsi video kegembiraannya selepas mendapat 8A dengan menyemak keputusan itu melalui SMS mendapat cercaan orang ramai. Alasannya dia biadab kerana tidak hadir ke sekolah dan berbaris seperti pelajar lain. Bercerita kepada mStar, Siti Nurhaliza menjelaskan, dia bersekolah di sebuah pulau yang menyebabkan keputusan tersebut diterima sedikit lewat berbanding pelajar yang bersekolah di tanah besar. Langkah terbaik katanya bagi memenuhi keterujaan di hati ialah dengan menyemaknya melalui SMS. "Saya semak melalui SMS sebab sekolah saya dalam Pulau Tioman. Slip SPM pula pengetua ambil di Pejabat Pendidikan Daerah Rompin. Saya anak tunggal, bila jadi apa-apa semua saya buat dengan ibu. Sampaikan pergi ke konsert kumpulan Korea, EXO di Kuala Lumpur pun ibu saya teman. SITI NURHALIZA M SAIDIN PELAJAR CEMERLANG 8A "Sejak hari Rabu pengetua dah pergi ke Rompin. Selepas result keluar (pada Khamis), dia terus balik ke Pulau Tioman. Perjalanan feri ke pulau pula ambil masa dua jam, itu pun bergantung kepada air pasang. "Dalam pukul 2 petang baru kami dapat ambil slip peperiksaan. Sebab tu saya semak awal dan rakam video tu untuk jadi kenangan sendiri," ujarnya yang berharap agar netizen lebih faham akan situasi dihadapi oleh pelajar sepertinya sebelum memberi apa-apa kritikan. Dalam pada itu Siti yang mengambil aliran sastera berkata, dia tidak menjangka mampu mendapat gred A bagi kesemua lapan subjek yang diambilnya. Lebih terharu, dia merupakan satu-satunya pelajar yang mendapat keputusan cemerlang di berkenaan. "Saya tak expect pun, sebab masa percubaan SPM saya dapat 6A 2B sahaja. Sekolah saya pun ada 40 orang sahaja pelajar yang ambil peperiksaan SPM. "Aliran yang ada hanya sastera memandangkan jumlah pelajar yang sedikit dan tiada guru yang boleh mengajar subjek sains tulen di sekolah ini," ujarnya. Siti dibesarkan oleh ibunya sendiri selepas ibu bapanya berpisah ketika dia berusia sembilan tahun. Ketika ditanya petuanya dalam pelajaran Siti berkata dia tidak pernah meninggalkan amal ibadah serta menghormati guru. "Menjelang SPM juga, saya tidur lebih awal dan bangun pukul 3 pagi untuk melakukan ulang kaji pelajaran. Mengenai latar belakang keluarganya pula Siti berkata selepas ibu dan ayahnya berpisah, dia dibesarkan oleh ibunya, Siti Ainoon Abdullah, 53. "Saya anak tunggal, bila jadi apa-apa semua saya buat dengan ibu. Sampaikan pergi ke konsert kumpulan Korea, EXO di Kuala Lumpur pun ibu saya teman. "Ibu pun kerja sebagai pelayan restoran. Kalau saya dapat keputusan cemerlang je baru ibu bagi hadiah," ujar Siti yang pernah mendapat keputusan 8A semasa Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3). Diusik mengenai namanya yang mirip seperti artis nombor satu negara, Siti berkata ia memang diinspirasikan daripada nama artis tersebut. "Ibu saya orang Filipina, masa dia nak lahirkan saya, Siti Nurhaliza memang tengah top, sebab tu nama saya diinpirasikan oleh dia," ujarnya sambil ketawa. Siti memberitahu perancangan masa depannya adalah untuk menyambung pengajian di peringkat diploma dalam bidang Pengurusan Perniagaan. Guys, i recorded my reaction untuk sms result #spm2019. Alhamdulillah, i'm so happy guys. I dapat straight A's ?❤️ pic.twitter.com/F3xWLxlEKd — ???????? ???? ? (@loeygranger) March 5, 2020