suria

Wanita dedah detik cemas bersalin di wad ‘asing’, doktor anggap berlaku keajaiban - “Darah keluar macam air terjun”

Bella berterima kasih kepada semua penderma darah yang membantu dirinya dapat meneruskan kehidupan.

SAKIT bersalin adalah sesuatu yang sangat digeruni oleh hampir semua wanita.

Ketika sedang melahirkan anak, tak siapa tahu adakah si ibu dan bayi dalam kandungan akan selamat atau sebaliknya.

Menerusi satu posting oleh seorang wanita yang mahu dikenali sebagai Bella, dia berkongsi pengalamannya ketika bersalin yang jarang dihadapi oleh wanita lain.

ARTIKEL BERKAITAN: Perhatian ibu hamil! Ambil tahu 4+4 perkara jaga kesihatan sebelum bersalin

ARTIKEL BERKAITAN: Baby ‘tunjuk diri’ selepas 3 hari kematian bapa, isteri terkejut suami rupa-rupanya ada ‘instinct’ - “Hari-hari dia paksa saya check”

"Semasa melahirkan anak kedua pada awal Februari lalu, saya kehilangan darah sebanyak 5 liter.

"Untuk menyelamatkan keadaan saya pada ketika itu, doktor memerlukan 14 beg darah untuk dipindahkan ke dalam badan saya supaya saya terus bernyawa," ujar Bella yang menceritakan pengalaman cemasnya ketika berada di dalam bilik bersalin.

Bercerita lanjut kepada mStar, Bella memberitahu dia pada asalnya mahu melahirkan bayi secara normal namun menghadapi komplikasi ketika mengandung anak keduanya itu, menyebabkan kaedah caesar perlu dijalankan.

"Selepas 20 minggu hamil, doktor memberitahu saya yang saya mempunyai masalah placenta accreta iaitu uri melekat pada rahim sekali gus menghalang bayi untuk lahir secara normal.

"Apa yang doktor beritahu, saya berisiko tinggi untuk dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) dan melakukan blood transfusion (pemindahan darah) tetapi sebenarnya risiko saya yang paling besar adalah mati," ujar Bella.

Bella menunjukkan gambar sebelum masuk ke wad pembedahan (kiri) dan selepas tamat pembedahan (kanan). 

Ketika proses pembedahan dijalankan, Bella memberitahu bahawa dia tidak dimasukkan ke wad bersalin untuk ibu dan anak namun dimasukkan ke wad lain.

"Saya dimasukkan ke wad yang berdekatan dengan bank darah supaya doktor mudah untuk memasukkan darah baharu sekiranya terjadi perkara yang tidak diingini.

"Secara kebiasannya proses pembedahan caesar ini akan mengambil masa sekitar 2 jam sahaja tetapi saya pada ketika itu memerlukan 6 jam disebabkan darah keluar sebanyak 5 liter macam 'air terjun'," ujarnya.

Ibu yang berusia 27 tahun ini turut memberitahu bahawa doktor yang bertugas pada waktu itu juga terkejut kerana dia masih mampu bernafas selepas kehilangan darah dengan begitu banyak.

"Dia kata saya ni ibarat mati hidup semula, hilang darah banyak sangat kemudian masuk darah baharu, dah macam overhaul kereta," jelas Bella yang mengulangi ayat doktor tersebut.

Bella yang mendirikan rumah tangga pada 2016 memberitahu dia kini semakin pulih namun masih terasa sakit di bahagian yang dibedah.

"Untuk memantau keadaan saya, doktor ada tebuk dua lubang pada perut saya di bahagian kiri dan kanan. Sekiranya keadaan semakin teruk saya perlu melakukan pembedahan sekali lagi.

'Alhamdulillah saya semakin beransur sihat tetapi masih belum sihat sepenuhnya," kata ibu yang kini mempunyai dua cahaya mata itu.

Sebelum ni saya tak pernah derma sebab takut jarum, tapi lepas ni saya akan mula menderma darah. Sekurang-kurangnya 14 kali!

BELLA

Dalam pada itu, Bella yang baru melahirkan anak lelaki tempoh hari mengucapkan terima kasih yang tak terhingga kepada penderma darah di Malaysia kerana menyelamatkan nyawanya.

"Kalau tak ada darah sebanyak 14 beg, saya tak rasa saya masih hidup sampai sekarang," jelasnya.

Bella berharap selepas kembali sihat, dia ingin menderma darah kerana tahu akan kepentingan menderma darah kepada orang yang memerlukan.

"Sebelum ni saya tak pernah derma sebab takut jarum, tapi lepas ni saya akan mula menderma darah. Sekurang-kurangnya 14 kali!," beritahunya.

Anak sulung Bella kini menjangkau usia satu tahun satu bulan.

Sehingga kini, perkongsian Bella di Twitter telah mendapat sebanyak 17,200 retweet (ulang kicau) dan 22,600 tanda suka.

Rata-rata netizen juga berkongsi pengalaman mereka sebagai pesakit yang pernah mendapatkan bantuan darah.

"Saya nak ucapkan terima kasih kepada penderma. Semasa saya koma saya memerlukan empat beg darah. Tanpa anda, saya tak mungkin ada di sini," tulis seorang gadis.

"Saya mengalami anemia pada dua tahun lepas dan memerlukan sebanyak enam beg darah. Saya tak tahu siapa anda tetapi anda telah menyelamatkan saya," tambah pengguna lain.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!
ibu, hamil, bersalin, caesar, derma darah

Artikel Lain