suria

Lain yang ditunggu, dirindu, bos yang muncul depan pagar... kru kabin terpinga kemudian “rasa cool giler”

Arman (kiri) yang merupakan kru kabin AirAsia terkejut apabila pesanan makanannya dihantar ke rumah oleh majikannya, CEO AirAsia X Malaysia, Benyamin Ismail. Foto Abdul Rahman Ramli/instagram santan.asean

KEBANYAKAN masa seorang pemuda sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dihabiskan dengan duduk di rumah.

Justeru, dia sama sekali tidak menyangka menerima kejutan besar dalam hidupnya apabila membuat pesanan penghantaran makanan. 

“Giler terharu bila CEO (ketua pegawai eksekutif) kau datang rumah sebagai delivery boy hantar makanan aku order. Respect you bos,” tulisnya di laman Twitter dengan memuat naik fotonya bersama CEO AirAsia X Malaysia, Benyamin Ismail di luar rumahnya.

ARTIKEL BERKAITAN: Dulu di awan biru, kini Nasi Lemak Pak Nasser boleh dinikmati di Santan dan T&CO!

Pemuda berkenaan, Abdul Rahman Ramli, 36, berkata, dia gemar memasak dan banyak mencuba pelbagai resepi baharu di rumah sepanjang tempoh PKP.

Arman (kanan) menunjukkan bungkusan makanan yang dihantar oleh Benyamin.

Dia yang merupakan kru kabin di syarikat penerbangan tambang rendah itu mengakui amat merindui keenakan hidangan semasa bertugas di awan biru.

“Kali terakhir saya bertugas adalah akhir Februari lalu, dan syarikat mula mengurangkan operasi sebelum menggantung perkhidmatan susulan penularan Covid-19 dan pelaksanaan PKP.

“Dah lama tak terbang, jadi saya rindu makan dalam pesawat terutama hidangan nasi lemak. Sebab dah selalu masak, jadi kenapa tidak saya buat pesanan menerusi perkhidmatan Santan,” katanya kepada mStar yang merujuk kepada perkhidmatan menu penerbangan, yang juga mempunyai restoran makanan segera Asean pertama di Kuala Lumpur, Santan dan T&CO.

Kemunculan bosnya, Benyamin di hadapan pintu pagar di kediamannya di Shah Alam pada petang Jumaat mengejutkan kru kabin yang telah berkhidmat selama 12 tahun bersama syarikat penerbangan itu.

Nasi lemak ayam berempah dan ayam goreng yang dipesan Arman.

Malah, ia membuatkan Abdul Rahman atau lebih mesra dengan panggilan Arman terpinga-pinga sebaik melihat Benyamin membawa bungkusan makanan.

“Kenapa tiba-tiba bos muncul, apa buat luar pintu pagar rumah ni? Masa tu memang terkejut dan nervous. Pada masa sama, fikir juga tentang makanan sebab dah lapar sangat.

“Saya tanya khabar bos dan beliau beritahu turut membantu buat penghantaran makanan. Rasa ‘cool gila’ sebab CEO sendiri turun padang,” katanya dengan nada teruja sambil menambah Benyamin menghantar pesanannya iaitu nasi lemak ayam berempah dan ayam goreng.

Arman melepaskan rindu menikmati hidangan semasa bertugas di awan biru.

Walaupun masih tidak mempercayai kejutan yang diterimanya, Arman menyifatkan Benyamin sebagai seorang bos yang peramah dan mesra dengan semua termasuk kakitangannya.

“Apa yang beliau buat menjadi inspirasi. Beliau membuatkan saya tenang apabila diberikan penerangan mengenai situasi semasa berkaitan operasi syarikat yang terjejas akibat Covid-19.

Kenapa tiba-tiba bos muncul, apa buat luar pintu pagar rumah ni? Memang terkejut dan nervous. Pada masa sama, fikir juga tentang makanan sebab dah lapar sangat.

ARMAN

“Saya amat bersyukur kerana diberikan peluang berharga dapat bersemuka dengan beliau ketika ini. Dahlah dapat lepaskan rindu makan nasi lemak, bos yang hantar pula tu.

“Walaupun sekejap kerana perlu patuhi arahan PKP tapi amat bermakna buat saya, terima kasih bos!” tambahnya.

Arman terharu diberi peluang untuk bertemu dengan majikannya dalam tempoh PKP.

Mengenai komen-komen netizen yang melihat wajahnya dan majikan seakan sama, Arman yang merupakan anak kelapan daripada 10 adik-beradik itu mempunyai pandangan yang berbeza.

“Bagi saya, tak ada ah sama pun. Mungkin kebetulan kami ada misai dan masa tu mata saya agak sepet sebab tengah cuaca panas terik ketika itu,” katanya.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain