DALAM kehidupan manusia, sudah jadi fitrah pasti ada naik dan turunnya. Terpulang kepada seseorang individu itu untuk menjadikan detik sukar kehidupannya sebagai motivasi pembakar semangat ataupun hanya terus pasrah dengan ketentuan tuhan. 'Success is the sweetest revenge!' ARTIKEL BERKAITAN: “Berbudi kepada tanah takkan rugi” - Pereka grafik wanita ini rela tinggalkan kehidupan kota, balik Teluk Intan jadi petani ARTIKEL BERKAITAN: Mereka juga manusia! Ramai simpati warga asing terputus bekalan makanan - “Tanpa mereka siapa nak buat kerja-kerja berat” Begitulah kata-kata hikmat yang dipegang oleh Shahrizal Denci, 38, yang kini menjadi bergelar usahawan berjaya apabila memiliki kebun sendiri seluas 20 ekar yang terletak di Kundasang, Sabah. Mengimbau semula kejadian tujuh tahun lalu, Shahrizal memberitahu bahawa dia dipandang rendah oleh ibu kepada bekas kekasihnya kerana hanya bekerja sebagai petani. "Kami telah dua tahun bercinta namun terhalang disebabkan perkerjaan saya sebagai petani dan juga agama kami yang berbeza. Memang hubungan kami tidak direstui. Perkongsian Shahrizal di Twitter mendapat perhatian netizen selepas dia berjaya 'membalas dendam' kepada ibu kepada bekas kekasihnya. "Beberapa tahun selepas itu, aunty ada datang kebun dan cakap 'walaowei... banyak luas ooo', saya hanya mampu gelak je bila tengok reaksinya," ujar Shahrizal yang kini masih berkawan dengan bekas kekasihnya itu. Shahrizal yang merupakan bekas penuntut Universiti Malaysia Perlis dalam jurusan Kejuruteraan Komputer telah membuktikan bahawa dirinya bukan petani biasa, namun kini dia merupakan seorang Agropreneur. "Saya kenal dia ketika kami bekerja di tempat yang sama di Kedah. Tidak lama lepas tu saya pulang ke kampung halaman untuk mulakan perusahaan ini bersama adik saya. "Saya menjadikan kegagalan kisah cinta sebagai motivasi, dan adik saya mencadangkan perniagaan ini memandangkan kami dibesarkan oleh ayah yang bekerja sebagai petani, dan kami tahu selok-belok untuk menanam pokok. "Saya juga menggabungkan kemahiran yang saya pelajari ketika di universiti supaya perniagaan yang saya lakukan ini selaras dengan perkembangan Revolusi Industri 4.0," ujar Shahrizal yang kini memiliki tiga cahaya mata. Shahrizal kini bahagia di samping isteri dan tiga cahaya mata. Kini, Shahrizal mempunyai lebih 20 jenis tanaman antaranya kobis, tomato, lada benggala, salad, lobak putih dan banyak lagi. Namun, disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan, permintaan terhadap hasil perusahaannya sedikit terkesan. "Saya bekalkan kobis kepada sebuah restoran makanan segera di Sabah. Disebabkan PKP, mereka kekurangan pelanggan dan terpaksa memotong 40 peratus permintaan berbanding hari biasa. "Penghantaran sayur-sayuran ke Sarawak dan Brunei juga terpaksa dihentikan buat sementara waktu kerana pada waktu ini mereka tidak menerima produk luar," beritahu Shahrizal yang memulakan perniagaannya pada 2011 dan mempunyai 15 orang kakitangan di bawahnya. Saya menjadikan kegagalan kisah cinta sebagai motivasi, dan adik saya mencadangkan perniagaan ini memandangkan kami dibesarkan oleh ayah yang bekerja sebagai petani dan kami tahu selok-belok menanam pokok. SHAHRIZAL DENCI USAHAWAN Dalam pada itu, meskipun mengalami kerugian pada waktu sebegini, pengurus D&H Plantation ini tetap menghulurkan sumbangan kepada pekerja barisan hadapan dalam menangani wabak Covid-19. "Ahad lalu saya ada sumbangkan sayur-sayuran kepada kakitangan kesihatan dan penduduk di Pitas, Sabah. Majoriti penduduk di situ adalah orang susah berdasarkan pengalaman dua orang pekerja saya yang berasal dari sana. "Buat frontliners di Kundasang pula, mereka boleh datang ke kebun saya untuk mendapatkan sayur secara percuma. Hanya perlu datang dan ambil sahaja tanpa sebarang cas. Shahrizal memberikan sayur percuma buat frontliners yang menetap di Kundasang, Sabah. "Mereka kata sumbangan saya sebanyak 500 kilogram itu besar, tetapi bagi saya jumlah tersebut tidak sebesar pengorbanan mereka yang menggadaikan nyawa sendiri demi menyelamatkan orang lain," ujar pemuda yang berasal dari Kundasang ini. Perkongsian Shahrizal di laman Twitter sehingga kini telah mendapat 2,200 retweet dan 4,400 tanda suka daripada netizen yang rata-rata teruja melihat kejayaan Shahrizal. "Aku pun buat pertanian tapi orang pandang rendah. Terima kasih kerana bagi inspirasi positif," tulis seorang pengguna Twitter. "Biasa la, asal kerja kebun, petani mesti nampak hina di mata orang. Bila nak minta sayur tu tahu pula puji," tambah pengguna lain.