suria

Bekas mahasiswi ‘basuh’ pelajar tak reti bersyukur, habis dipecahnya rahsia ‘tambang bas dan 3 peket Maggi’ - “Tak berduit tapi saya tak miskin”

Seorang pelayar yang juga bekas pelajar IPTA berkongsi kisah kesempitan wang satu ketika dahulu sehingga terpaksa mengikat perut.

TATKALA ramai yang tidak mampu menjamah makanan enak kerana hilang sumber mata pencarian gara-gara Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), namun masih wujud insan yang tidak tahu erti bersyukur.

Baru-baru ini tular satu posting di media sosial yang mana seorang pelajar sebuah institusi pengajian tinggi awam (IPTA) memuatnaik gambar makanan percuma yang diagihkan untuk para mahasiswa yang dikuarantin di kolej kediaman masing-masing.

Bersama-sama posting tersebut, pelajar berkenaan menulis: “Ini contoh makanan untuk mahasiswa Universiti Malaya yang duduk dekat kolej kediaman ya. Bukan tak bersyukur tapi tu lah….”

ARTIKEL BERKAITAN: Suami hilang kerja, dua anak sedang sakit tak dapat dirawat - “Syukur kami sekeluarga masih dapat jamah nasi kosong”

ARTIKEL BERKAITAN: Sayu... makcik mualaf sendirian naik wheelchair pergi beli barang selepas dapat BPN, luah ‘impian besar’ kepada ustaz Ebit

Gara-gara posting tersebut, pelajar berkenaan teruk dikecam warga maya yang menyifatkannya tidak pandai bersyukur.

Menerusi ruangan komen, netizen berkata pelajar tersebut sepatutnya bersyukur kerana diberikan makanan secara percuma sedangkan lebih ramai yang terpaksa berjimat cermat dan mengikat perut.

Posting yang dimuat naik seorang pelajar IPTA di Twitter sebelum ia dipadamkan.

Terpanggil untuk berkongsi pengalaman, seorang pelayar Facebook yang juga bekas mahasiswi di IPTA berkenaan, Ijah Amran menceritakan dia pernah mempunyai hanya RM2 dalam dompet untuk bertahan sehingga gaji bulan seterusnya masuk.

“Saya pernah masa tu bulan puasa 1998, duit tinggal RM2. Fikir nak jalan kaki balik rumah (dari Seksyen 17 PJ sampai ke Vista Angkasa, Kerinchi) dan guna RM2 ni beli Maggi atau naik bas… balik rumah bancuh teh O bubuh gula.

“Saya buat keputusan naik bas sebab bulan puasa, tak larat nak berjalan. Minum teh O pun… teh O lah. Alhamdulillah aje.

“Elok saja sebelum balik, siapa entah tinggalkan dua biji putu bambu dekat pantri, jadi itulah juadah berbuka saya. Saya buka puasa dekat pejabat, lepas tu jalan balik ke Kerinchi. Duit tu guna beli Maggi, tahan tiga hari dan lepas tu gaji... lega,” tulisnya pada perkongsian berkenaan.

Sebahagian perkongsian oleh seorang pelayar Facebook mengenai pengalamannya yang pernah kesempitan wang sehingga terpaksa mengikat perut.

Menurut Ijah atau nama sebenarnya Rafizah Amran yang kini menjawat jawatan kanan di sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC),  dia masih mengingati dengan jelas detik ‘kesempitan wang’ itu kerana mencatatnya di dalam diari.

Malah tambahnya, wang gaji juga digunakan sebaiknya hanya untuk membayar sewa rumah, bil, tambang pengangkutan dan makanan, dan tiada langsung yang dapat diperuntukkan untuk membeli pakaian berjenama.

Mengutuk makanan PKP UM? Astaghfirullah dik, makcik tak tau nak cakap apa kat hang. Saya beri sumbangan makanan kepada pelajar di UM yang kurang berkemampuan. Kita bagi biskut kering dengan Maggi aje pun... dia punya menangis macam kita bagi dia tomahawk wagyu steak medium rare.

RAFIZAH AMRAN

PELAYAR FACEBOOK

“Tiada siapa yang tahu mengenai ini, walaupun lebih 20 orang yang tidur menumpang bergilir-gilir di apartment saya ketika itu.

“Sebab, susah macam mana pun, saya pastikan dekat rumah sentiasa ada makanan atau barang yang boleh dimasak supaya yang menumpang tak putus makanan.

“Mereka boleh beritahu anda, ‘makcik’ tak pernah mengeluh pasal makanan atau rezeki. Iya saya tak berduit tapi saya tak miskin,” ujarnya.

Disebabkan itu, dia hairan bagaimana seorang pelajar yang diberikan makanan percuma masih mengeluh soal rezeki.

Salah satu gambar makanan percuma yang dimuat naik oleh pelajar berkenaan.

“Mengutuk makanan PKP UM? Astaghfirullah dik, makcik tak tau nak cakap apa kat hang. Saya beri sumbangan makanan kepada pelajar di UM yang kurang berkemampuan.

“Kita bagi biskut kering dengan Maggi aje pun... dia punya menangis macam kita bagi dia tomahawk wagyu steak medium rare. Ini bukan cerita lama. Cerita November lepas saja.

“Dik, makcik doakan Allah kurniakan awak rezeki and kesihatan supaya awak tak perlu memilih antara tambang bas atau tiga paket Maggi, amin,” tulisnya lagi.

Pelajar berkenaan bagaimanapun sudah memadam tweet berkenaan selepas mendapat kecaman hebat.  

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain