suria

Gadis bina rumah atuk dan nenek di kampung dalam game, tak boleh lari-lari pun tak apa - “Puncanya abang-abang saya”

Rumah yang dihasilkan Athirah dalam The Sims 4 cukup realistik sehingga menerima pujian ramai.

SEPANJANG berada di rumah dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), banyak aktiviti yang boleh kita lakukan.

Begitu juga dengan gadis ini yang mana dia menjelmakan kampung halaman datuk dan neneknya menerusi permainan simulasi kehidupan, The Sims 4.

Menurut Fatin Nur Athirah Asari, dia rindu untuk pulang ke Kampung Jambi yang terletak di Johor dan mendapat idea untuk membinanya secara maya menerusi permainan berkenaan.

ARTIKEL BERKAITAN: PUBG 'jodohkan' pasangan polis dan tentera, “Keluarga terkejut, betul ke kenal dalam game?”

ARTIKEL BERKAITAN: “Dia tanya kenapa buat dia macam ni?” - Komplot berjaya, gadis buat pakwe 'ketagih' PUBG menangis

Hasil yang cukup teliti dan realistik itu kemudiannya dikongsi menerusi Twitter sehingga menjadi tular.

Bercerita kepada mStar, dia yang mesra disapa Athirah mengakui sudah bermain permainan itu sejak di bangku sekolah rendah.

"Masa sekolah rendah dulu saya main The Sims 3 dengan PlayStation 2 (PS2). Sekarang saya main The Sims 4 menggunakan komputer.



Posting Athirah yang tular di Twitter.

"Itu saya tiru kampung datuk dan nenek, ambil masa dalam dua hari untuk hasilkan. Proses pun agak rumit.

"Bermula dari kosong, saya naikkan tanah, tiang dan dinding dengan merujuk gambar sebenar rumah itu," ujarnya sewaktu dihubungi.

Selain hasil yang cukup mengagumkan, paparan rumah desa dalam permainan itu cukup menjentik nostalgia ramai.

Menurut pelayar Twitter, posting Athirah menyebabkan mereka terimbau kenangan di kampung masing-masing.

Saya suka Kampung Jambi sebab kat sana ramai saudara-mara balik kalau raya, suasana meriah, boleh lari-lari.

FATIN NUR ATHIRAH ASARI

PELAJAR UPM

Lebih pilu, masing-masing masih berteka-teki mengenai nasih sambutan Aidilfitri tahun ini sekiranya PKP disambung ke fasa seterusnya.

"Salah satu sebab saya hasilkan rumah dalam game tu sebab rindu nak balik sana. Tambah-tambah tak ada apa nak buat sepanjang PKP.

"Memang sedih sebab saya pun suka balik kampung. Tak bersedia juga kalau PKP dilanjutkan.



Rumah sebenar yang menjadi rujukan Athirah.

"Saya suka Kampung Jambi sebab kat sana ramai saudara-mara balik kalau raya, suasana meriah, boleh lari-lari," ujarnya dalam nada berseloroh.

Menurut penuntut Universiti Putra Malaysia (UPM) Serdang, Selangor itu, dia mula bermain permainan itu kerana terpengaruh dengan dua abangnya.

Malah, ia turut menjadi salah satu sebab kenapa dia memilih jurusan Sains Komputer (Multimedia) di insitusi pengajian tinggi itu.



Penghasilan rumah dalam The Sims 4 yang cukup teliti oleh Athirah.

"Main game ni puncanya daripada abang-abang saya, saya jadi tertarik nak main juga.

"Ia antara sebab saya pilih bidang tu, selain saya memang minat programming," ujarnya.

Selain itu, Athirah juga berhasrat untuk menjadi pembangun permainan atau pereka grafik seandainya ada rezeki suatu hari nanti.



Rumah sebenar yang menjadi rujukan Athirah dalam The Sims 4.

Dalam pada itu, posting miliknya di twitter sehingga kini menerima lebih 5,800 ulang kicau (Retweet) dan turut dihujani pelbagai komen netizen.

"Ni paling real dan lawa aku pernah tengok.

"Rajinnya nak siapkan, memang nampak real dan cantik," tulis beberapa netizen.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain